ATM tumpu kesepaduan antara cabang perkhidmatan

ATM tumpu kesepaduan antara cabang perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dengan memberi tumpuan kepada jointness atau kesepaduan antara cabang-cabang perkhidmatan.

Ini sejajar dengan usaha mendukung konsep Angkatan Masa Hadapan serta memastikan keupayaan pertahanan negara kekal relevan dan berdaya tahan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, langkah itu akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 yang menyaksikan Kementerian Pertahanan menerima RM21.74 bilion, meningkat 2.92 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, daripada jumlah itu, RM14.11 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM7.63 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“ATM akan terus memastikan setiap perbelanjaan memberi nilai tambah kepada kesiapsiagaan pertahanan negara serta memperkukuh kerjasama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Nizam berkata, ATM turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan dan kelestarian warga tentera bagi mengekalkan moral, semangat serta iltizam anggota.

“Perhatian terhadap kesejahteraan warga ATM amat penting bagi memastikan semangat juang anggota sentiasa tinggi, di samping mengekalkan profesionalisme dan kecekapan angkatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN