Minat dalam bidang kraf tangan bukan sahaja mampu menghidupkan warisan, malah boleh menjadi bahan komersial yang menghasilkan pendapatan lumayan.
Bagi mengimbau sejarah kegemilangan sejarah Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan perjuangan pahlawan Islam sebelum ini, seorang pembuat kraf tangan senjata pedang, Irwan Syamsul, 37, menghasilkan pedang Damascus yang diusahakan di bengkel belakang rumah di Kampung Melayu, bandar Jerantut, Pahang.
Ia bukan sahaja memperkenalkan senjata warisan kepada generasi muda, malah menjana pendapatan memberangsangkan untuknya.
Bakat dan kesungguhan menjadi kunci kejayaan Irwan dalam menghasilkan pedang Damascus, menjadikannya antara segelintir pembuat kraf senjata tradisional yang masih wujud di negara ini.
Keupayaannya mengangkat semula kesenian dan kebudayaan Timur Tengah yang berusia lebih 1,000 tahun sesuatu yang cukup membanggakan.
Menurut Irwan, pada mulanya dia membuat senjata jenis Tekpi (senjata besi bercabang tiga) sebagai bahan kraf tangan untuk jualan.
Ia didorong oleh permintaan ramai pelanggan untuk menjadikan kraf tangan itu sebagai hiasan kediaman.
“Ketika berlaku wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya memasang keinginan untuk meluaskan pembuatan kraf tangan berasaskan besi, iaitu menghasilkan pedang Damascus yang digunakan oleh pahlawan Islam, Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan pejuang sebelumnya.
“Saya berhenti sebagai pemandu lori dan kembali ke kampung isteri di Bera, Pahang dan mula membuat pedang tersebut termasuk Tekpi sebagai sandaran hasil pendapatan untuk saraan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BELAJAR SENDIRI DI MEDIA SOSIAL
Menurut Irwan, dia hanya mempelajari pembuatan pedang Damascus dengan melayari media sosial seperti Facebook dan Tiktok . Menerusi itu, dia juga berpeluang menghubungi tukang besi di seluruh tanah air termasuk negara luar seperti Sepanyol.
Selain itu, dia turut melakukan carian Google dan membaca buku berkenaan pedang itu .
“Malangnya, tukang besi yang saya hubungi enggan mengajarkan kemahiran membuat pedang Damascus, tetapi mujurlah cuma saya dapat kemahiran teknik menempa besi daripada seorang pembuat kraf tangan parang berdekatan tempat tinggal di sini dan kenalan di Kuala Lumpur.
“Saya cuma meneliti kemahiran teknik menempa yang merupakan antara proses penting pembuatan kraf tangan ini (pedang) supaya lebih berkualiti, tahan lama serta mencapai kehendak pelanggan. Malah, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menguasainya,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak ini berkata, dia sudah mengeluarkan modal kira-kira RM10,000 untuk membina relau (memanaskan besi), mesin tempa dan peralatan membuat sarung untuk mempercepatkan permintaan tempahan yang tidak kurang lima bilah sebulan.
“Saya mendapat bekalan besi melalui melalui aplikasi Ali Baba yang dibawa masuk dari negara China, iaitu besi jenis High Nickel Steel (15n20) dan High Tool Steel (SK85) berukuran 121.92 sentimeter (cm) x 243.84cm sekeping.
“Kemudian, besi itu dipotong berukuran 12.7cm x 3.81cm serta disusun berselang seli antara besi jenis 15n20 dan SK85 sebelum dibakar pada suhu 1,000 celsius, kemudiannya ditempa menjadi pedang,” katanya.
Irwan yang juga berminat menelaah buku sejarah Islam zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berkata, dia memilih membuat pedang Damascus kerana senjata seperti ini sangat terkenal ketika Perang Salib sekitar antara abad ke-11 hingga ke-13 Masihi.
“Walaupun tidak sempurna seperti pedang yang digunakan oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi (532H – 589H), tetapi saya yakin inilah realiti senjata Damascus yang digunakan oleh pahlawan Islam tersebut bersama angkatannya membebaskan kota Jerusalem daripada cengkaman pihak Kristian selama hampir 100 tahun.
“Selain itu, keistimewaan pedang Damascus mampu menembus baju zirah (body armor), memotong pedang lawan, membelah perisai dan batu tanpa mengalami kerosakan pada bilahnya sinonim alat persenjataan yang digunakan oleh pahlawan zaman dahulu,” katanya
HIASI DINDING KEDIAMAN, GALERI
Tambah Irwan, air tangannya kini banyak menghiasi dinding-dinding kediaman dan galeri pelanggan.
Dia hanya membuat pedang Damascus, padang Buaya Berenang, Pedang Melayu, Pedang Arab serta sundang berasaskan tempahan pelanggan semata-mata dibeli untuk perhiasan dalam rumah dan galeri.
“Harga sebilah pedang Damascus dijual antara RM1,700 hingga RM1,800 berukuran antara 48.26cm hingga 58.42cm panjang.
Manakala, harga sundang pula dijual dengan harga RM4,000 sebilah dan kebanyakan pelanggan menempah dari serata Semenanjung termasuk Sabah dan Singapura.
Katanya, kayu arang bunga, rengas dan penawar hitam untuk dibuat sarung dan hulu pedang menambah kecantikan dengan hasil seni ukiran peralatan tersebut.
Hingga ke hari ini, Irwan mampu tersenyum melihat hasil seninya merantau jauh hingga ke luar negara.
Tekpi, senjata besi bercabang tiga yang turut dikenali sebagai ‘Raja Segala Senjata’ menjadi karya sulungnya yang mendapat perhatian pembeli dari luar negara, termasuk Singapura, Australia dan Rusia dengan harga antara RM180 hingga RM300.
Tekpi hasil tangannya telah merantau jauh ke Australia, Singapura dan Rusia.
Kesemuanya ditempah melalui promosi yang dilakukan di lama sosial Facebook miliknya.
Setiap bilah senjata bukan sekadar besi yang ditempa, tetapi membawa bersama warisan seni dan jiwa seorang pengkarya.-UTUSAN










