KUALA LUMPUR: Acara All Star Influencer Award (ASIA) 2025 kembali untuk tahun ketiga dengan menghimpunkan seramai 80 pencipta kandungan dari 20 negara Asia dan Timur Tengah bermula 20 Julai ini.
Menurut Datuk Abdul Rahman Soltan selaku penganjur, para peserta akan menjelajah ke lapan negeri di seluruh Malaysia serta menghasilkan kandungan kreatif yang menampilkan keindahan, budaya dan keunikan destinasi pelancongan tempatan sebelum melangkah ke malam anugerah.
“Setiap dua negeri akan menerima 20 pencipta kandungan dalam tempoh tertentu, di mana mereka akan terlibat dalam pelbagai eksplorasi dari makanan tempatan, seni budaya, alam semula jadi hinggalah ke cabaran digital,” katanya.
Difahamkan, jelajah itu akan bermula di Johor dan Pahang pada 20 hingga 25 Julai, diikuti Melaka dan Selangor pada 17 hingga 20 Ogos.
Kemudian, aktiviti itu akan diteruskan di Pulau Pinang dan Langkawi antara 14 hingga 20 September, dan akhirnya ke Sabah dari 14 hingga 17 Oktober.
Dalam masa sama, penganjuran ASIA2025 secara tidak langsung menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mempromosikan keindahan, kepelbagaian budaya dan destinasi pelancongan negara kepada seluruh dunia.
“Ini adalah antara platform digital terbaik untuk terus memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan digital dan kreatif di rantau ini.
“Gabungan pengaruh digital dan keunikan budaya tempatan dijangka meningkatkan lagi kesedaran global terhadap tarikan pelancongan Malaysia menjelang tahun 2026,” jelasnya.
Difahamkan, sebuah Majlis Gala Anugerah turut akan diadakan untuk peserta yang menyertai jelajah tersebut pada 19 Oktober ini di sebuah lokasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Lebih menarik lagi, pemenang utama akan menerima wang tunai berjumlah USD15,000 bersama percutian eksklusif ke Dubai.
Bukan itu sahaja, pemenang tempat kedua juga akan membawa pulang USD5,000 dan turut menikmati percutian ke Dubai, manakala tempat ketiga akan menerima USD1,000 serta pakej percutian yang sama.
Manakala, sepuluh peserta terbaik keseluruhan akan dipilih untuk menyertai trip istimewa ke Dubai yang ditaja sepenuhnya sebagai pengiktirafan atas kandungan dan pengaruh hebat yang mereka hasilkan sepanjang program.
Antara 13 kategori anugerah akan dipertandingkan ialah Best Gourmet Award, Best Storyteller, Best Mixed Dance, Best Transition, Best Culture Curator, Best Comedy Maestro, Best Mixed Language, Best State Compilation, Best Content Creation dan Best Influencer Award.
Program berskala besar ini turut mendapat kerjasama dan tajaan daripada pelbagai pihak,
termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia, Tune Talk, Sally Beauty by Sally, Argania, Yute by thelikeyuti, AN by Harissa Adlynn, dan Atlanta Resources.
“Kami mahu Malaysia menjadi hab pencipta kandungan digital serantau. Selain menyatukan
pelbagai budaya, program ini turut memberi peluang untuk peserta mengangkat imej Malaysia ke peringkat lebih tinggi melalui kreativiti mereka,” jelas Datuk Abdul Rahman Soltan.