Pemandu Honda Jazz rempuh penuntut UniSZA diarah jalani pemeriksaan mental

Pemandu Honda Jazz rempuh penuntut UniSZA diarah jalani pemeriksaan mental

MOHD. Izuddin Zakaria (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan pemandu Honda Jazz yang dituduh atas kesalahan memandu hingga meragut nyawa penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), minggu lalu menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru. 

Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah itu terhadap Mohd. Izuddin Zakaria, 32, selepas pertuduhan dibacakan selain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menggantung semua jenis kelas lesen kenderaannya sehingga kes selesai. 

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Februari ini. 

Mengikut pertuduhan, pada 5 Januari lalu pada kira-kira pukul 1.55 petang di lampu isyarat Jalan Kemajuan, di sini tertuduh sebagai pemandu kenderaan Honda Jazz memandu kenderaan secara merbahaya sehingga berlakunya kemalangan menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25. 

Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Sharmimi Harun.

Terdahulu, peguam Ummi Sharmimi memohon jaminan terhadap tertuduh namun ditolak oleh Mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan penuntut UniSZA mempunyai rekod beberapa kali mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor mengesahkan lelaki berusia 32 tahun itu menghidap Major Depression Disoder (MDD) serta mempunyai rekod rawatan seperti yang dinyatakan sejak Januari tahun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN