Kementerian Pertahanan rombak pelan anti rasuah

Kementerian Pertahanan rombak pelan anti rasuah

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di sini hari ini. GAMBAR- AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan melaksanakan rombakan berskala besar terhadap Pelan Anti Rasuah kementerian itu  bagi membanteras rasuah serta segala bentuk penyalahgunaan kuasa yang berakar umbi dalam sistem pertahanan negara, khususnya melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut merangkumi semakan dan penambahbaikan menyeluruh terhadap semua proses tender dan perolehan agar selaras dengan amalan terbaik.

“Rasuah atau persepsi terhadap rasuah dalam apa jua bentuk di Kementerian Pertahanan mesti dihentikan. Tiada toleransi terhadap sebarang salah laku.

“Bersedialah untuk kehilangan segala-galanya jika anda menjadi punca sektor keselamatan kita dikompromi,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu kementerian itu di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan pelan anti-rasuah yang diperbaharui itu merupakan antara empat bidang penyesuaian utama kementerian bagi tahun ini, termasuk usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam sistem pertahanan negara.

“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama membersihkan segala bentuk ketirisan dan salah laku tanpa mengira siapa yang terlibat. Rasuah adalah ancaman dalaman yang mampu menewaskan kita tanpa perlu melangkah ke medan perang,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan memperoleh perintah reman selama tujuh hari terhadap bekas panglima tentera, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, bersama dua isterinya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan tender perolehan ketenteraan.

Siasatan itu bermula pada 23 Disember lalu susulan laporan dibuat oleh aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang mendakwa terdapat kemasukan wang tunai dalam jumlah besar ke akaun bank seorang pegawai kanan tentera dan keluarganya daripada syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut memaklumkan seorang lagi pegawai kanan tentera sedang disiasat dan dijangka akan didakwa tidak lama lagi berkaitan kes rasuah.

Menurut beliau, siasatan terhadap pegawai berkenaan hampir selesai dan sekiranya mendapat kelulusan Peguam Negara, pertuduhan akan dikemukakan di mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN