Dalam era digital yang segala-galanya boleh dirakam, dipadam dan diulang cetak, namun jurufoto muda, Muhammad Iqmal Mukhrish Mohamad Sabri memilih haluan berbeza apabila kembali kepada magis analog melalui kamera polaroid.
Pendekatan itu bukan sekadar soal gaya, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap nilai momen yang lahir dan tidak berulang.
Minatnya bermula lima tahun lalu dengan berbekalkan kamera Instax.
Tarikan utamanya bukan sahaja pada tona warna unik, tetapi elemen kejutan ketika menunggu imej muncul secara perlahan-lahan.
“Dengan kamera digital, kita boleh ambil banyak kali dan terus lihat hasilnya, tetapi menerusi polaroid, kita hanya ada satu peluang. Itu yang membuatkan saya lebih teruja,” jelasnya.
Setiap gambar polaroid adalah hasil tunggal.

Ia tidak mempunyai negatif dan tiada salinan yang boleh dihasilkan semula.
Walaupun gambar itu boleh diimbas menggunakan peranti digital, namun kualitinya tidak sama dengan keaslian yang terhasil terus daripada kamera.
Kerana itulah setiap imej polaroid mempunyai nilai peribadi tinggi dan bersifat eksklusif.
Kini, medium itu mendapat sambutan dalam pelbagai acara termasuk pelancaran produk, kafe, acara seni bebas dan dunia fesyen.
Muhammad Iqmal Mukhrish berkata, pelanggan bukan sahaja membeli gambar, tetapi mereka turut membeli momen, yang tidak boleh diulang atau dipalsukan.
Bagaimanapun, fotografi polaroid bukan untuk mereka yang tergesa-gesa.

Kos filem yang tinggi kira-kira RM100 bagi lapan keping gambar, menuntut perancangan teliti.
“Setiap kali saya mahu menekan shutter, saya perlu pastikan cahaya, emosi dan ekspresi sudah tepat. Elemen itu tidak boleh diambil mudah,” katanya.
Di sinilah letaknya keindahan medium tersebut.
Dalam dunia yang bergerak pantas, polaroid memaksa jurufoto untuk memperlahankan langkah, menghargai proses dan memberi tumpuan kepada detik yang bermakna.
Penantian selama lima hingga 10 minit untuk melihat hasil bukanlah satu kekurangan, sebaliknya menjadi pengalaman yang menyempurnakan nilai karya.
Melalui pendekatan ini, dia membuktikan seni fotografi bukan sekadar teknologi canggih, tetapi keberanian menghentikan waktu, menerima ketidaksempurnaan dan merakamkan rasa yang hanya berlaku sekali sahaja.
-Pensyarah kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM, Perak.









