Hab Teknovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia Sdn. Bhd. (MTDC) berperanan melahirkan generasi muda yang berinovasi dan berdaya saing.
Menurut Pengarah Pusat Keusahawanan dan Pembangunan EKS (UKM-CESMED), Prof. Madya Dr. Muhamad Azry Khoiry, berkata, fokus utamanya melatih pelajar, khususnya di peringkat prasiswazah untuk menjadi pengasas syarikat pemula berteraskan teknologi (start-up).
“Tidak seperti fasiliti akademik lain yang berteraskan penyelidikan semata-mata, hab ini mengetengahkan pelbagai program signature seperti Deep Tech @UKM, yang dirangka khusus bagi mengasah idea pelajar ke arah penghasilan produk teknologi tinggi yang bersifat komersial.
“Kita mahu pelajar masuk ke hab ini dengan hanya sebuah idea dan keluar sebagai pengasas syarikat pemula yang bersedia menembusi pasaran,” katanya.
Hab Teknovasi UKM-MTDC diwujudkan sebagai ‘jambatan emas’ antara makmal dan pasaran sebenar iaitu sebuah pusat sehenti teknologi untuk inovasi terkini serta menjadikan pelajar celik teknologi dan pasaran serentak.
“UKM tidak boleh statik. Kita perlu bergerak seiring dengan arus global dan hab ini adalah simbol kesiapsiagaan UKM dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Hab itu turut menempatkan kemudahan Makers-Lab yang membolehkan pelajar merealisasikan idea mereka daripada peringkat reka bentuk hingga ke pengujian dan penjualan, sekali gus mengubah pendekatan pembelajaran yang selama ini bersifat teori kepada amali dan penyelesaian sebenar.
Azry berkata, pelajar didedahkan kepada keseluruhan kitaran inovasi, bermula daripada cetusan idea, reka bentuk, pembinaan prototaip, ujian pengguna, pembentukanProduk Minimum Berdaya Maju (MVP), sesi pitching hingga ke pasaran.
“Inovasi di sini tidak hanya bersifat akademik, sebaliknya disasarkan untuk menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi industri dan itulah DNA utama Hab Teknovasi ini,” katanya.
Tambahnya, pendekatan ‘From University to Community’ menjadi asas dalam setiap aktiviti hab, di mana pelajar dan penyelidik diberi pendedahan terhadap kajian kes sebenar daripada rakan industri, termasuk cabaran dalam automasi kilang, pengesanan kualiti produk, dan formulasi farmaseutikal halal.
Setiap inovasi yang dihasilkan juga akan ditapis melalui proses penilaian pasaran yang ketat, menjawab persoalan penting seperti ‘boleh jual?’, ‘boleh guna?’, dan ‘boleh ulang guna?’
Banyak projek pelajar tahun akhir dan pascasiswazah mempunyai potensi pasaran, namun sering kali terhenti di ‘meja viva’ tanpa diteruskan kepada peringkat komersial.
“Hab ini diwujudkan untuk mengelakkan idea-idea bernas itu terkubur di bilik seminar. Di sini, kita bangunkan prototaip dan produk sebenar, sekali gus menyediakan ekosistem lengkap yang membimbing pelajar dari fasa idea hingga ke pasaran,” jelasnya.
UKM-CESMED di bawah teraju beliau turut memainkan peranan utama sebagai penganjur program pembangunan inovasi dan keusahawanan pelajar menerusi Hab Teknovasi UKM-MTDC.
“Pelbagai program dirancang bersama Unit Keusahawanan dan Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tempoh dua tahun mendatang di peringkat universiti dan kebangsaan,” ujarnya.
Di samping itu, UKM bakal menjalinkan kolaborasi strategik bersama industri, bukan sekadar melalui program pelajar, tetapi juga melalui penyediaan ruang perundingan dan servis teknikal yang turut menjana pendapatan serta menyokong penggunaan lestari fasiliti ini.
Fasiliti hab turut menyediakan latihan, platform pitching dan proses pengesahan pasaran (market validation) kepada syarikat pemula pelajar dalam usaha menarik pelabur dan meraih dana atau pendanaan lestari.
Pemantauan impak dan penilaian prestasi projek serta syarikat pemula akan dijalankan secara berkala untuk memastikan aktiviti hab sentiasa sejajar dengan keperluan industri semasa dan cabaran Revolusi Industri 4.0 dan 5.0.
Dilancarkan pada 19 Jun baru-baru ini dengan sokongan dana sebanyak RM210,000 daripada MTDC, Hab Teknovasi UKM-MTDC menjadi pemangkin kepada inovasi strategik yang menggabungkan bakat muda, teknologi dan industri bagi menghasilkan penyelesaian dunia sebenar.
Kejayaan hab diukur melalui bilangan prototaip yang dihasilkan, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dimulakan serta pemfailan harta intelek termasuk paten dan reka bentuk industri.
“Hab ini turut menggalakkan kerjasama rentas bidang menjadikan pelajar kejuruteraan, sains, reka bentuk dan perniagaan sebagai pemacu kepada penciptaan idea berimpak tinggi,” ujar Azry.
Daripada sudut impak ekonomi pula, hab itu akan melahirkan syarikat pemula baharu, menarik pelaburan luar dan menjalin kolaborasi industri.-UTUSAN










