PELBAGAI jenis dan jenama jam pintar kini muncul untuk memenuhi keperluan golongan yang bukan sahaja gemarkan sukan, tetapi juga aktiviti lasak.
Antaranya ialah Garmin Fenix 8, siri baharu yang dilengkapi pelbagai fungsi seperti pembesar suara dan mikrofon bagi membolehkan pengguna menjawab telefon sambil melakukan aktiviti.
Jam ini ditampilkan dalam dua pilihan paparan berbeza sama ada memory-in-pixel (MIP) bersaiz 47 milimeter (mm) atau 51 mm.
Menariknya, jam ini bukan tipikal seperti jam pintar lain yang hanya mempunyai mod kepelbagaian sukan.
Sebaliknya, Fenix 8 mampu mengukur kedalaman air sehingga mencecah 40 meter khusus bagi mereka yang mahu menggabungkan aktiviti daratan dan juga selam skuba mahupun selam bebas.
Bagaimanapun, ia masih belum mampu menandingi fungsi jam lain yang dicipta khusus untuk penyelam seperti siri Descent MK3.
Fenix 8 juga merupakan peranti yang turut dilengkapi sistem kedudukan global (GPS).
Dalam pada itu, ia turut menawarkan paparan pemuka amoled terang atau paparan pengecasan solar untuk hayat bateri yang lebih besar.
Untuk jangka hayat bateri pula, model amoled dengan saiz pemuka 51 mm boleh bertahan sehingga 29 hari dalam mod jam pintar manakala model solar 51 mm dengan paparan sentiasa hidup pula menawarkan sehingga 48 hari.









