Bisabolol sering digunakan dalam produk oral, namun kini manfaatnya diperluaskan ke produk pelindung matahari.
Sebatian semula jadi yang diekstrak daripada bunga kamomil itu dikesan dapat menyembuhkan iritasi pada kulit.
Pengasas Ray-diant Suncreen, Muhamad Amirul Sanusi berkata, selain menenangkan keradangan kulit, ia juga membantu melindungi bahagian sensitif.
Namun, tidak banyak produk pelindung matahari di pasaran dihasilkan dengan menggunakan bisabolol.
“Segelintir pengguna yang memiliki kulit sensitif sering mengalami rasa pedih atau ketidakselesaan apabila menggunakan krim pelindung yang tidak sesuai dengan jenis kulit mereka.
“Justeru, dengan formulasi lembut menggunakan bahan tersebut, ia dapat memenuhi keperluan kulit masyarakat Asia yang sensitif terhadap cuaca tropika,” katanya.
Muhamad Amirul berkata, bisabolol juga bermanfaat bagi mereka yang mengalami ekzema dan keadaan kulit tidak seimbang.
Selain itu, ia juga berperanan sebagai agen anti-bakteria semula jadi yang membantu melindungi kulit daripada jerawat.
“Apabila bakteria dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan pori-pori di permukaan muka tersumbat menjadi radang, menghasilkan jerawat merah, bengkak dan kadang kala menyakitkan.
“Dengan adanya bisabolol dalam rutin penjagaan kulit, proses ini dapat dikawal sejak awal lantas mengurangkan risiko jerawat,” katanya.
Gabung dengan vitamin C
Gabungan bisabolol dan vitamin C dalam produk perlindungan cahaya matahari merupakan pilihan terbaik.
Kedua-duanya bukan sahaja melindungi kulit, malah memberi manfaat tambahan untuk kecantikan wajah.
Katanya, vitamin C bertindak menghapuskan radikal bebas yang terbentuk apabila kulit terdedah kepada sinar matahari.
Menurutnya, sinar matahari mempercepatkan penuaan pramatang seperti garis halus, kedutan dan bintik gelap.
Tambah Muhamad Amirul, produk keluaran Ray-diant Sunscreen hadir dengan tekstur yang ringan dan tidak melekit, menjadikannya selesa digunakan setiap hari.
Ia mudah meresap ke dalam kulit tanpa meninggalkan kesan berminyak, sekali gus memberikan perlindungan menyeluruh dan menjaga keselesaan pengguna.
Katanya, produk yang dihasilkan itu, mampu untuk memberikan perlindungan menyeluruh dengan faktor perlindungan matahari (SPF) 50.










