PETALING JAYA: Pelakon, Elfira Loy menyeru agar semua pihak terutama golongan beragama Islam mempelajari ilmu pengurusan jenazah yang mampu memperoleh ganjaran pahala yang besar.
Turut berkongsi pengalamannya menimba ilmu fardhu kifayah itu, Elfira menyifatkan perkara tersebut dapat memberi impak dalam kehidupannya.
“Saya nak orang lain semua belajar cara mandikan jenazah. Saya pernah cuba sekali, belajar dan pernah jadi jenazah. SubhanAllah, saya rasa siapa yang pernah mandikan jenazah akan takut dengan kehidupan di dunia.
“Cubalah, baru saya tahu kenapa orang yang mandikan jenazah pahala dia sebesar gunung Uhud sebab sangat susah dan rasa ketat di dada,” katanya dalam sebuah audio siar.
Dalam masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu menganggap pentingnya untuk seseorang itu mengambil kursus pengurusan jenazah agar dapat berbakti kepada ibu bapa kemudian hari.
“Saya nak semua orang pergi ambil kelas, belajar dan kalau ada peluang, berebutlah untuk mandikan jenazah.
“Boleh jadi satu perubahan dalam hidup awak. Saya tak rasa semua orang berani buat benda itu tetapi kena juga. Ada mak dan ayah, siapa nak mandikan kalau bukan kita,” jelasnya.
Bagai tidak mampu menahan sebak, pelakon drama bersiri Qalesya itu turut menyifatkan melalui kursus pengurusan jenazah tersebut akan menjadi refleksi buat setiap individu untuk menjadi insan lebih baik.
“Awak akan tahu nak meninggal cara macam mana (keadaan). Bila meninggal dah tak boleh buat apa-apa kan, orang yang bersihkan awak.
“Macam mana orang bersihkan awak, mencerminkan bagaimana awak hidup di dunia. Bersih macam mana, amalan bagaimana. Semua itu akan terpancar semasa awak meninggal.
“Tapi awak dah tak boleh buat apa kan, cuma boleh tengok dan rasa orang uruskan awak,” ujarnya.-UTUSAN