Menyalurkan air dan elektrik menggunakan tenaga solar di Kampung Bongor di Gerik, Perak mungkin kedengaran biasa tetapi impaknya cukup besar ke atas kehidupan seharian penduduk kampung berkenaan.
Kini, mereka sudah tidak perlu mendaki bukit setiap hari untuk mengambil air, malah mempunyai lebih banyak masa terluang untuk menjaga anak-anak.
Kisah itu antara beribu kejayaan yang dicapai Yayasan Hasanah menerusi projek kendaliannya dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusannya, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, sepanjang tahun lalu, kira-kita 814,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dibantu menerusi 214 projek yang dijalankan.
Tahun ini, yayasan berkenaan mempunyai 147 rakan kerjasama baharu dengan peningkatan dalam projek pendidikan dan sosial.
“Sejak Julai 2012, kita sudah menyantuni lebih 3.7 juta rakyat Malaysia kategori B40 di rumah pangsa, kampung Orang Asli sehinggalah nelayan.
“Mereka juga terdiri daripada usahawan, pemimpin komuniti, usahawan agro, pesakit mental dan pejuang alam sekitar.
“Kebanyakannya diberikan kemahiran seperti menjahit, memasak serta berniaga dan sebaik tamat latihan, mereka boleh berdikari bagi menambah sumber pendapatan,” katanya ketika pelancaran Laporan Hasanah 2024 baru-baru ini.

Siti Kamariah berkata, antara kejayaan manis yang diraih yayasan itu ialah apabila melihat perubahan sikap wanita yang dahulunya gelisah dan takut akibat trauma rumah tangga tetapi semakin yakin selepas menyertai program jati diri yang dijalankan.
“Mereka nampak lebih ceria dan berkeyakinan apabila sudah ada pendapatan, malah berani membuat keputusan sendiri.
“Misalnya, program di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, peserta yang dilatih mengait sudah boleh melatih wanita lain dan mencari pendapatan sendiri,” katanya.
Jelasnya, Yayasan Hasanah akan menyambut ulang tahun sedekad pada Julai ini dalam usaha menyantuni masyarakat dengan Khazanah Nasional adalah penyumbang dana utama di samping Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, katanya, aktiviti berimpak sosial ini menuntut masa lama dan kesabaran tinggi bagi menunggu hasilnya kerana bukan mudah untuk mengubah pemikiran seseorang.
Justeru, tiada sebarang tempoh ditetapkan untuk mencapai hasil diingini dalam setiap projek.
Wira kesihatan mental
Nurulhazren Zulkafli, 45, pernah bergelut dengan tekanan mental kesan masalah peribadi yang dihadapinya lima tahun lalu.
Namun, wanita itu berjaya keluar daripadanya selepas menyertai program Harmoni yang dianjurkan Thrive Well iaitu sebuah perusahaan sosial yang menawarkan perkhidmatan penjagaan psikologi lestari kepada komuniti terpinggir dan kurang mendapat perhatian
“Pada 2021, Women of Will (Wow) datang ke kediaman saya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda bagi menjalankan program nutrisi dan kesihatan emosi.
“Saya berpeluang menyertai program itu dan ia membantu saya mengawal stress serta emosi dengan cara betul,” katanya.
Nurulhazren yang kini bergelar Duta Kesihatan Mental berkongsi ilmu pengurusan emosi dan kewangan itu dengan penduduk sekitar PPR Batu Muda yang bergelut isu sama.
Setakat ini, dia sudah membantu 28 wanita untuk keluar daripada tekanan mental dan masalah kewangan, seterusnya mencari sumber pendapatan sendiri.
“Masalah yang kerap ditemui dalam kalangan wanita ini adalah hubungan dengan anak-anak, rumah tangga, kewangan dan rakan sekerja.
“Tugas saya sebagai duta adalah untuk memberi maklumat, sokongan dan kesedaran bagi membantu mereka keluar daripada masalah kewangan,” katanya.
Selain Nurulhazren, terdapat empat lagi Duta Kesihatan Mental di PPR Batu Muda.
Program sama turut dijalankan di PPR Lembah Subang dan Taman Wahyu dengan jumlah keseluruhan seramai 14 orang.

Martabat seni telepuk
Mohd. Azwarin Ahmed, 44, membuka bengkel tekstil telepuk untuk orang awam dengan kerjasama Yayasan Hasanah bagi memartabatkan semula seni berkenaan dalam kalangan umum.
Pemuda ini berguru dengan Adiguru Telepuk iaitu Allahyarham Norhaiza Nordin.
“Kain telepuk adalah pakaian istana yang digayakan untuk istiadat, perkahwinan dan meraikan bayi yang baru lahir.
“Orang kebanyakan atau rakyat dilarang untuk memakainya, sebab itulah masyarakat tidak tahu mengenai kain telepuk.
“Ia banyak dihasilkan antara 1880 sehingga 1920, malah kebanyakan yang dipamerkan di muzium adalah dalam lingkungan usia itu.
“Antara generasi akhir sebelum kami adalah Mak Ungku atau Azah Azah yang memperjuangkan telepuk sebelum seni ini diangkat semula,” katanya.
Katanya, selepas perang dunia kedua tiada yang mengambil berat mengenai telepuk.
Dalam pada itu, katanya, telepuk kurang tahan lasak dan ia tidak boleh di basuh.
Jika bergesel pun ia boleh pudar, justeru, ia hanya dipakai sekali atau eksklusif untuk satu istiadat sahaja.
Bagi generasi kini, telepuk lebih sesuai digayakan dalam bentuk tanjak dan samping bagi lelaki, manakala bagi perempuan pula, dijadikan sebagai selendang kerana lebih mudah dijaga.
“Penghasilan telepuk memerlukan modal besar, jadi, pelanggan perlu duduk dengan saya untuk menentukan hasil kerja diingini.
“Terbaharu, saya buat satu set kain tanjak dan samping, dengan kosnya lebih RM15,600.
“Kadang-kadang telepuk dihasilkan untuk koleksi saya sendiri, tetapi ada orang yang berminat membelinya,” katanya lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.
Hidupkan tarian klasik India
Cinta Abbernaa Dhevi Kukanathan, 26, pada tarian klasik Hindu Bharatanatyam disemai ketika berusia enam tahun.
Minatnya itu disokong oleh keluarga yang sememangnya meminati budaya terutama tarian, nyanyian dan penulisan.
Selain menari, dia juga berbakat dalam nyanyian manakala abangnya mahir bermain biola India.
Kebiasaannya, gadis ini menari seiring dengan gesekan biola abangnya.
“Tarian Bharatanatyam umpama balet tetapi lebih kepada balet India. Cara duduk dan pegang tangan ada struktur tersendiri.
“Tarian ini mengandungi cerita hikayat klasik Hindu, terbahagi kepada cerita dan tarian.
“Bekerja sebagai Ahli Strategi di Khazanah Nasional, memberi peluang untuk saya membuat persembahan di pelbagai pentas termasuk di universiti dan sekolah.
“Selepas tamat sekolah menengah, saya terpilih sebagai penerima biasiswa Yayasan Hasanah yang memberikan sokongan untuk mengekalkan apa yang dilakukan,” katanya.
Katanya, ramai dalam kalangan generasi muda tidak kenal tarian ini, justeru menjadi impiannya agar generasi akan datang dapat mengenali semua bidang seni warisan nenek moyang mereka.










