MASYARAKAT Melayu Ulu Tembeling, Jerantut mewarisi membakar lemang menggunakan buluh berwarna kuning sejak 200 tahun lalu ketika musim perayaan dan majlis tertentu di kampung tersebut.
Menurut penduduk, buluh kuning berasal dari Kampung Pasir Raja, Ulu Terengganu dibawa ke Ulu Tembeling, Jerantut oleh nenek moyang ketika menziarahi saudara-mara di sana.
Sebelum itu, penduduk cuma menggunakan buluh berwarna hijau yang kebiasaannya diperoleh di kawasan pinggir kampung dan hutan berdekatan.
Penduduk Kampung Bantal, Japrun Ali, 65, berkata, lemang buluh kuning mungkin agak asing dengan orang luar, tetapi sangat sinonim dengan penduduk di situ kerana ia merupakan warisan generasi terdahulu.
“Lebih unik dan menarik, buluh kuning berasal dari Kampung Pasir Raja, Ulu Terengganu (Terengganu) dan benih pokok itu dibawa oleh orang-orang tua sejak lebih seabad lalu lalu ke Kampung Bantal, lagipun penduduk di sini (Ulu Tembeling) mempunyai pertalian persaudaraan dengan penduduk di sana.
“Orang-orang tua sebelum ini terpaksa berjalan kaki meredah Gunung Mandi Angin dan mendaki Banjaran Terengganu Tengah untuk menziarahi saudara-mara di Kampung Pasir Raja dan membawa pulang benih buluh lemang kuning untuk ditanam berdekatan rumah di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bantal, Ulu Tembeling kira-kira 150 kilometer dengan bandar Jerantut, baru-baru ini.
Perhubungan persaudaraan penduduk Ulu Tembeling dengan Kampung Pasir Raja tidak terputus sehingga kini.
Amalan kunjung-mengunjung melalui jalan bersejarah iaitu laluan Pahlawan Melayu Pahang, Mat Kilau berundur daripada dihambat oleh soldadu British bermula di Sungai Sepia (Kampung Gusai), mendaki Gunung Mandi Angin dan Banjaran Terengganu Tengah masih digunakan.
Tempoh perjalanan biasanya mengambil masa selama sehari hingga dua hari.
“Oleh kerana sudah ada kemudahan perhubungan darat bermula dari Kampung Bantal Seberang ke bandar Jerantut, penduduk boleh menaiki kereta ke bandar Dungun dan seterusnya ke Kuala Jengai, Kampung Pasir Raja di sana,” katanya.
Japrun dan abangnya, Asmayuddin Ali kerap kali ke Kampung Pasir Raja dengan berjalan kaki mengikut laluan yang sama dan tiba di sana dalam masa sehari sahaja kerana Ulu Tembeling dan Kampung Pasir Raja (Ulu Terengganu) cuma dipisahkan Banjaran Terengganu Tengah.
“Kami pun pernah membawa pulang buluh kuning yang ditanam oleh saudara kami di sana dah hasilnya, kini tumbuh seperdu buluh tersebut di depan rumah abang saya.
“Ia digunakan untuk memasak lemang setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha atau untuk majlis tertentu,” katanya.
JIMAT MASA, BERAROMA
Cara membuat lemang buluh kuning lebih kurang sama seperti menggunakan buluh lemang hijau.
Tetapi, ada sedikit kelainan pada tekstur pulut yang siap dimasak sederhana lembut, Aroma pulut yang dibalut daun larik (lerek) menusuk ke hidung ketika buluh dibelah dan disajikan di dalam pinggan.
“Lagipun, keistimewaan buluh kuning ini mampu singkatkan tempoh memasak (membakar) lemang, iaitu tidak lebih dua jam berbanding buluh hijau kadang-kadang hampir tiga jam.
“Pengawalan api cukup mudah kerana buluh kuning cepat meresap panas (haba) bara api selain tidak meninggalkan kesan keras pulut di dalam buluh seperti dimasak dalam buluh hijau,” katanya.
Lemang buluh kuning biasanya dimakan bersama daging rendang dan rasanya sedikit berbeza berbanding lemang biasa.
Sementara itu, Mohd Zaimi Ali, 58, berkata, orang-orang tua di kampung tersebut pernah bercerita, Mat Kilau pernah bersembunyi di Kampung Bantal ketika lari daripada buruan penjajah British pada 1894.
Pahlawan itu diraikan oleh penduduk kampung dengan menghidangkan lemang buluh kuning.
“Ada tiga orang penduduk di sini menanam rumpun buluh lemang kuning untuk kemudahan memasak juadah ini.
“Jadi, boleh dimasak bukan sahaja ketika hari raya. Sekiranya ada pihak yang berhajat untuk memasak dan menikmati lemang ini tidak perlu ke Kampung Pasir Raja lagi,” katanya.
Juadah lemang buluh kuning itu juga kerap disajikan kepada pelancong luar yang singgah untuk aktiviti rekreasi dan riadah di perkampungan Melayu Ulu Tembeling dan Jeram Perahu.-UTUSAN










