Usahawan mikro dan kecil wanita (MSWE) kini terus berkembang merangkumi 21 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dengan kira-kira 241,767 perniagaan dikendalikan oleh golongan itu.
Walaupun mencatatkan perkembangan yang menggalakkan, masih wujud jurang gender yang ketara berikutan Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita (LFPR) menjelang tahun 2033.
LFPR wanita terkini menunjukkan peningkatan pada kadar yang rendah iaitu 56.3 peratus, manakala LFPR lelaki berada pada kadar 82.9 peratus, sekali gus menunjukkan jurang gender yang masih ketara walaupun terdapat peningkatan dalam penyertaan golongan wanita.
Puncanya, terdapat banyak kekangan yang menghalang wanita untuk terus berkembang dalam perniagaan PKS termasuk dalam mendepani cabaran dunia teknologi dan digital yang semakin pesat.
Menurut kajian Strive Malaysia, terdapat tiga cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan wanita iaitu kekangan masa dengan 97 peratus golongan wanita menyatakan kesukaran untuk mengimbangi perniagaan, penjagaan anak dan tanggungjawab rumah tangga.
Pegawai Program Strive Malaysia, Li Yang Lau berkata, ia berpunca daripada norma jantina, di mana wanita sering dianggap sebagai penjaga utama dalam konteks sosial, budaya dan agama di Malaysia.
“Selain itu, lebih 80 peratus MSWE mengakui kebanyakan mereka masih menggunakan teknologi media sosial untuk tujuan peribadi berbanding tujuan perniagaan. Ini seterusnya wujud jurang antara kemahiran digital dan usaha dalam bidang keusahawanan.
“Hanya 50 peratus MSWE menyatakan keyakinan mereka terhadap pengetahuan dan kemahiran kewangan yang hanya terhad kepada rekod asas pendapatan dan perbelanjaan, manakala ramai antara mereka kurang memahami konsep kewangan lebih luas seperti pasaran dinamik atau permohonan pembiayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel berjudul “Empati bertemu Inovasi: Bagaimana Usahawan Wanita Menggunakan Teknologi Bermatlamat & Kepimpinan Empatitik untuk Mentransformasikan Perniagaan), anjuran rangkaian dobi layan diri terkemuka, dobiQueen.
Panel lain, Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif dobiQueen, Nini Tan, Ketua Wanita MyWira di TalentCorp, Natasha Alias dan Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Teoh Ai Ni.
Yang Lau berkata, 78 peratus daripada usahawan wanita memerlukan lebih banyak maklumat daripada institusi kewangan berkaitan pengurusan pinjaman, geran dan maklumat pasaran.
“Laporan terperinci ini menjadi panduan untuk merangka intervensi yang disasarkan bagi memenuhi keperluan unik perniagaan yang dimiliki dan diterajui oleh golongan wanita.
“Kami menyediakan mereka akses mudah kepada alat penilaian kendiri secara percuma, latihan pembangunan kemahiran yang disesuaikan, sumber pembelajaran mikro, serta peluang untuk mendapatkan bimbingan. Ini seterusnya memupuk ekosistem perniagaan yang lebih menyokong melalui Strivers’ Hub,” katanya.
Strive Hub adalah platform digital sehenti yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil yang semakin berkembang, khususnya usahawan wanita.
Kuasai teknologi bantu lancar perniagaan
Nini Tan berkata, usahawan wanita perlu menggunapakai teknologi untuk menyokong perniagaan selain gaya hidup atau sebarang tugasan yang ingin lakukan dengan lebih berkesan.
Justeru, dobiQueen menggabungkan teknologi berorientasikan tujuan bersama pemahaman realiti kehidupan isi rumah di Malaysia yang berdepan dengan kekangan masa disebabkan keperluan mengimbangi kerja, penjagaan anak dan tanggungjawab rumah tangga.
“Sebagai sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dobiQueen ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan misi empati untuk meringankan beban menguruskan rumah tangga.
“Wanita menghabiskan kira-kira 63.6 peratus lebih banyak masa setiap hari untuk tugas ‘tidak berbayar’ berbanding lelaki, dengan wanita terus melakukan penambahan anggaran purata tiga hingga empat jam selepas waktu kerja untuk melakukan tugasan rumah, sekali gus mewujudkan situasi ‘beban berganda’ atau ‘syif kedua’,” katanya.
Jenama itu merevolusikan pengalaman dobi di Malaysia dengan memanfaatkan internet dan teknologi, serta melabur dalam mesin basuh dan pengering berteknologi tinggi terkini.
Syarikat itu menawarkan perkhidmatan inovatif seperti hantar dan jemput, dengan Penyelia Cawangan yang sedia membantu bermula daripada memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh, memindahkannya ke pengering, melipat pakaian sehinggalah menghantar pakaian bersih pelanggan kembali ke rumah melalui inisiatif Penghantaran Ekspres Hari Sama.
“Semua perkhidmatan inovatif ini boleh dirancang dengan mudah melalui aplikasi mudah alih dobiQueen yang mesra pengguna.
“Sebagai rangkaian dobi layan diri terkemuka di Lembah Klang dengan 90 cawangan dan terus berkembang, kami berjaya meringankan beban kerja rumah banyak keluarga.
“Pendorong utama kami ialah pemahaman bahawa wanita perlu mendapat sokongan mengenai peranan mereka dalam masyarakat,” katanya.
Wanita MyWira tangani jurang
Natasha Alias berkata, kedua-dua sektor swasta dan awam telah melaksanakan pelbagai langkah dalam memperkasa wanita dalam masyarakat dengan kerajaan memperuntukkan hampir RM470 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi menyokong usahawan wanita di Malaysia.
“Pada tahun 2024, Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp memperkenalkan Wanita MyWira bagi menangani jurang dalam pasaran tenaga kerja dengan membolehkan lebih ramai wanita menyertai sektor ekonomi Malaysia secara menyeluruh.
“Sebagai agensi yang memacu strategi bakat negara, kami komited menyokong perjalanan kerjaya wanita, daripada kemasukan semula ke bidang kepimpinan serta mengukuhkan sumbangan jangka panjang mereka dalam tenaga kerja,” katanya.
Wanita MyWira menyokong pelbagai lapisan golongan wanita daripada pelajar dan profesional yang kembali bekerja, kepada usahawan dan pemimpin industri, melalui advokasi strategik, pembangunan kemahiran, dan pembabitan majikan. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan laluan sebenar kepada pekerjaan yang bermakna dan mampan.
Pada tahun 2025, ia memperluaskan impak melalui usaha bersasar.
Sumbangan wanita dalam bidang pertanian semakin diiktiraf
Dr. Teoh Ai Ni berkata, berdasarkan kajian jurang gender oleh KRI yang membabitkan 3,300 pengusaha kecil agromakanan, pengeluaran agromakanan mempunyai kepentingan ekonomi yang setara bagi pengusaha kecil lelaki dan wanita.
“Namun, wanita lebih cenderung menghadapi pelbagai cabaran. Dahulu, peranan wanita dalam pengeluaran agromakanan sering tidak diendahkan kerana mereka sering dilabel sebagai ‘isteri petani’ atau pembantu, sekali gus menjadikan mereka sebagai ‘petani ghaib’,” katanya.
Kemajuan ketara dalam kesaksamaan gender dan usaha kerajaan memperkasa wanita, sumbangan wanita dalam sektor pertanian semakin diiktiraf. Bagaimanapun, kadar penyertaan golongan itu masih rendah.
Sebahagiannya disebabkan oleh cabaran spesifik gender yang terus dihadapi wanita dalam sektor pertanian, seperti stereotaip gender, beban kerja penjagaan tidak berbayar yang tinggi dan akses yang rendah kepada sumber, yang menyumbang kepada pengalaman yang tidak seimbang.
“Dengan kemajuan teknologi dan penerapan digital, sektor pertanian kini tidak lagi seberat dahulu.
“Ini membuka lebih banyak peluang kepada wanita yang sebelum ini terhalang oleh stereotaip atau ketidaksamaan dalam akses maklumat dan sumber untuk turut serta dan berjaya dalam pengeluaran agromakanan seperti lelaki.
“Namun, lebih banyak usaha diperlukan untuk mengurangkan ketidaksamaan gender dalam akses kepada sumber bagi pengusaha kecil agromakanan wanita, serta menangani cabaran lain yang lazimnya mengehadkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, seperti beban penjagaan yang tidak setara,” katanya.
Apabila melihat isu penggunaan teknologi dalam kalangan wanita, terdapat banyak lagi batasan bukan sahaja mengenai teknologi tetapi peluang lain untuk menggunakan teknologi.
Teknologi yang digunakan dalam pertanian adalah berbeza iaitu teknologi fundamental seperti mesin dan traktor yang penting dalam membantu usahawan agromakanan menjimatkan masa, tenaga buruh dan kos serta meningkatkan produksi mereka.
Namun, mesin yang ada dalam industri tidak sesuai kerana struktur dan pengendaliannnya tidak mesra wanita sekali gus menghadkan kerja yang boleh dilakukan di ladang atau kebun.
Justeru, kerjasama yang antara institusi awam dan swasta penting bagi mengatasi isu ini kerana sumbangan wanita dalam ekonomi negara tidak boleh lagi dipandang enteng.
Wanita kini mengubah landskap industri melalui empati, inovasi dan daya tahan.
Langkah mengatasi halangan struktur serta membuka akses kepada alat digital, literasi kewangan dan ekosistem sokongan, Malaysia bukan sahaja memperkasa usahawan wanita, tetapi membentuk masa hadapan ekonomi yang lebih inklusif, saksama dan makmur untuk semua.
Malah, membantu wanita meningkatkan ekonomi keluarga.-UTUSAN










