Jenama beras dan makanan ruji Malaysia, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (Jasmine) melancarkan drama pendek berjudul Seharum Bunga Jasmine.
Ketua Bahagian Penjenamaan dan Pembangunan Produknya, Farhan Hafetz berkata, inisiatif tersebut sekali gus menjadikan Jasmine sebagai antara jenama barangan pengguna cepat laris (FMCG) pertama Malaysia yang menghasilkan kandungan video kreatif di platform digital.
Dalam masa sama, ia mencerminkan inovasi jenama berkenaan dalam meneroka pendekatan pemasaran yang lebih segar dan relevan.
Drama berdurasi tiga minit itu mula disiarkan di platform Tiktok @jasminefoodmy bermula 25 April lalu dengan menampilkan pelakon baharu seperti Auni Yusni, Amin Razak dan Puteri Awani.
“Drama ini membuka lembaran baharu untuk berinteraksi dengan golongan sasar terutama orang muda yang lebih dekat dengan kandungan media sosial,” katanya dalam jamuan Aidilfitri baru-baru ini.










