Air tangan Tunku Azizah juara acar buah

Air tangan Tunku Azizah juara acar buah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia istana yang penuh protokol dan keanggunan, siapa sangka seorang sultanah berjiwa rakyat turun ke dapur, menyingsing lengan lalu menyertai pertandingan memasak seperti wanita biasa?

Itulah keistimewaan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang tetap setia dengan senduk dan kuali.

Tanpa disedari sesiapa, baginda menyertai Pertandingan Masakan Acar Buah sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang di sini baru-baru ini dengan menggunakan nama samaran ‘Aminah Mahmood’.

Pertandingan yang disertai 11 peserta dari seluruh daerah itu berlangsung dengan meriah. Setiap peserta membawa sendiri hidangan siap dari rumah, lalu dinilai oleh panel juri tanpa mengetahui siapa pemiliknya.

Namun segalanya berubah saat keputusan diumumkan. Juri mengangkat nama Aminah Mahmood sebagai juara dengan markah tertinggi dan suasana menjadi hening seketika apabila wanita yang tampil ke hadapan ialah Tengku Ampuan Pahang.

Ketua juri, Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, terkejut dan hampir menitiskan air mata melihat kehadiran baginda di pentas menerima hadiah.

“Sepanjang 39 tahun menjadi juri masakan, belum pernah saya menilai hidangan sultanah,” katanya baru- baru ini.

Katanya, pemilihan hidangan baginda sebagai juara bukanlah atas nama atau darjat, sebaliknya kerana rasa dan mutu masakan yang sangat luar biasa.

“Kuah acar buahnya pekat, tidak berminyak. Setiap hirisan buah direndam sempurna, ada rasa manis, masam dan pedas yang seimbang.

“Rempah ratusnya pula tidak menenggelamkan rasa buah. Sungguh istimewa dan menyelerakan ,” katanya lagi.

Jelasnya, pihak juri menilai berdasarkan beberapa aspek termasuk rasa, penggunaan bahan tradisional, tekstur serta persembahan dan Aminah Mahmood mendapat markah tertinggi dalam semua kategori.

Tengku Ampuan Pahang dalam titahnya mengakui sememangnya gemar memasak dan melihat pertandingan ini sebagai satu ruang untuk mendekati rakyat dengan cara paling semula jadi.

“Saya masak sendiri dari rumah, ikut resipi yang biasa dibuat untuk keluarga.

“Saya tidak pernah tinggalkan dapur. Masakan bagi saya bukan hanya soal rasa, tetapi kasih sayang,” titahnya.

Baginda juga percaya yang air tangan isteri atau ibu membawa keberkatan dalam keluarga.

Justeru, ilmu masakan adalah warisan yang mesti dipelihara oleh setiap generasi.

Karnival WI Pahang itu dirasmikan oleh Tunku Azizah selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak.

Turut mengiringi baginda ialah Che Puan Panglima, Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohammed Moizz dan barisan ahli jawatankuasa WI negeri.

Suasana di karnival bertambah meriah apabila peserta dan pengunjung mula menyedari kehadiran baginda.

DIKAGUMI PESERTA

Sementara itu, seorang peserta dari Chenor, Fauziah Mat Zin, 52, berkata, pengalaman menyertai pertandingan yang sama dengan sultanah adalah sesuatu yang tidak pernah terbayang dalam hidupnya.

“Waktu dia umumkan nama pemenang, kami semua tercari-cari siapa Aminah Mahmood.

“Bila Tengku Ampuan Pahang naik ke pentas, kami semua tersentak kerana rupa-rupanya baginda pun masuk pertandingan macam kami juga,” katanya dengan penuh bangga.

Malah, katanya, rakan-rakan WI yang lain turut menyatakan kekaguman terhadap sikap merendah diri baginda.

Apatah lagi, baginda tidak kekok beramah mesra dan berbual dengan wanita kampung sekali gus menunjukkan teladan yang darjat bukan penghalang untuk seseorang berkongsi minat dan bakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN