KUALA Perlis pada malam 9 Mei lalu penuh sesak dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung yang membanjiri segenap ruang Dataran Lok 9, di sini bagi menyaksikan Malam Citra Warna Kuala Perlis 2025.
Program yang menjadi sebahagian daripada Festival Rakyat 2.0 itu tambah istimewa apabila dianjurkan bersempena Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, serta Hari Keputeraan baginda yang ke-82.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat pada program yang cukup gilang-gemilang itu.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Seni Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.
Program berkenaan dianjurkan Persatuan Khazanah Kuala Perlis dan kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis.
Lagu gemalai layang warisan dan persembahan tarian layang mas dari gabungan artis budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri bersama-sama kumpulan Inderasutra dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta kumpulan Bidasari dari Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai pembuka acara memberi keterujaan kepada pengunjung.
Tarian layang mas merupakan salah satu tarian tradisional istana yang berasal dari Perlis dan mempunyai nilai sejarah unik kerana dikatakan tercipta semasa zaman penghantaran ufti bunga emas oleh Raja Perlis kepada Raja Siam sewaktu negeri ini berada di bawah naungan kerajaan Siam.
Selain persembahan seni dan budaya termasuk penampilan istimewa penyanyi, Haziq Rosebi, pengunjung turut terpukau dengan perarakan kereta berhias daripada 13 jabatan dan agensi kerajaan selain pertunjukan kenderaan antik.

Lebih menarik, puluhan ribu pengunjung juga berpeluang menyaksikan kemunculan Myanthonpian dan Sanum, dua ekor gajah yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan.
Turut mencuri tumpuan pada malam tersebut adalah perarakan kayuhan perahu lumba yang menjadi gimik kepada promosi kempen Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025, dijadualkan berlangsung pada September depan.
Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Air Kuala Perlis adalah acara tahunan cukup ikonik yang dinanti-nantikan rakyat dan untuk 2025, ia kembali dengan penjenamaan baharu lebih segar sekali gus bakal menjanjikan pengalaman berharga.
Menariknya, ia bakal menjadi pertandingan bertaraf antarabangsa dan lebih istimewa kali ini dengan kehadiran Perahu Jarum Mas Putra Jamalullail iaitu perahu diraja yang penuh kemegahan.
Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis berkata, penganjuran Malam Citra Warna Kuala Perlis memberi impak cukup besar khususnya dalam menarik kehadiran pengunjung dari luar negara ke negeri ini.
Katanya, edisi kedua itu juga lebih meriah dengan kehadiran pengunjung yang mencecah puluhan ribu sekali gus merancakkan lagi pelancongan negeri bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Ujarnya, ia juga memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat selain tempahan hotel dan inap desa di Perlis yang penuh.

“Malam Citra Warna Kuala Perlis merupakan aset pelancongan negeri dan akan dijadikan sebagai acara tahunan.
“Penganjurannya dapat mengangkat dan menghidupkan kembali badan-badan kesenian di negeri ini, sekali gus mengukuhkan Perlis sebagai destinasi pelancongan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambah Abu Bakar, antara aktiviti menarik lain bersempena Festival Rakyat 2.0 itu adalah pertandingan gusti lengan jemputan antarabangsa Perlis 2025 pada 10 dan 11 Mei lalu di Dataran Lok 9.
Katanya, turut diadakan pada tarikh sama ialah kejohanan tarik tali kelab-kelab antarabangsa Perlis 2025.
“Selain itu, antara acara yang paling mencuri tumpuan adalah Perlis Internasional Open Fight Night 2.0 pada 17 dan 18 Mei depan,” katanya.
Terdahulu, Abu Bakar turut dikenali menerusi usahanya memperkenalkan Eyes of Kuala Perlis, sebuah mercu tanda baharu di Dataran Lok 9 yang kini menjadi pusat tumpuan aktiviti seni, budaya, perhotelan dan kulinari.










