Seputar mengenai al-Quran

Seputar mengenai al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AL-Quran telah diturunkan sebanyak tiga peringkat sehingga akhirnya sampai kepada Nabi Muhammad SAW secara berkali-kali dalam tempoh 23 tahun. Peringkat-peringkat tersebut adalah:

Pertama: Al-Quran telah diturunkan secara sekali gus ke al-lawh al-mahfuz yang merupakan satu objek yang berada lebih tinggi dari langit yang ketujuh. Maksud penurunan pertama ini adalah Allah menjadikan seluruh ayat al-Quran berada di al-lawh al-mahfuz.

Menurut Dr. Nuruddin ‘Itr di dalam kitabnya ‘Ulum al-Qur’an al-Karim, al-lawh al-mahfuz adalah satu alam (satu makhluk) yang berada di langit yang agung.
Al-lawh al-mahfuz telah dijadikan untuk dicatat padanya segala takdir yang ditetapkan oleh Allah sama ada yang berlaku atau yang akan berlaku.

Namun menurut beliau, kita tidak mengetahui hakikat sebenar al-lawh al-mahfuz dari sudut fizikalnya kerana ia termasuk di dalam perkara-perkara ghaib.

Kedua: Al-Quran telah diturunkan juga secara sekali gus dari al-lawh al-mahfuz di langit ke-7 ke Bayt al-‘Izzah.

Bayt al-Izzah adalah satu lokasi yang terletak di langit yang pertama. Penurunan kedua ini berlaku pada malam al-Qadr (lailatul qadar).

Penurunan kedua inilah yang dimaksudkan oleh Allah menerusi firmannya di dalam surah al-Qadr: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam qadar.”

Ketiga: Al-Quran telah diturunkan dari Bayt al-Izzah kepada Rasulullah SAW secara berperingkat selama 23 tahun.

 

Ayat pertama, terakhir
Pada siri lepas, saya menyatakan yang ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah ayat pertama sehingga ayat kelima daripada surah al-‘Alaq.

Ini adalah pandangan kebanyakan para ulama. Adapun ayat yang terakhir turun kepada Rasulullah SAW, maka para ulama telah berbeza pendapat kepada 10 pandangan.

Namun ada empat pandangan yang masyhur iaitu:

Pandangan pertama: Ayat terakhir adalah ayat ke-281 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: “Kalian semua gerunlah kepada hari yang kalian akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap jiwa akan mendapat apa yang telah ia telah kerjakan dalam keadaan mereka tidak akan dizalimi.”

Rasulullah SAW selepas penurunan ayat ini hanya hidup dalam masa sembilan malam sahaja sebelum baginda diwafatkan.

Pandangan pertama inilah yang dianggap oleh al-Zarqoniyy di dalam kitab Manahil al-‘Irfan sebagai pandangan yang paling kuat.

Pandangan kedua: Ayat terakhir adalah ayat ke-278 daripada surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang telah beriman. Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah apa yang berbaki daripada riba sekiranya kalian adalah orang-orang yang beriman.”

Pandangan ketiga: Ayat terakhir adalah ayat terpanjang di dalam al-Quran yang membahaskan perihal hutang iaitu ayat ke-282 daripada surah al-Baqarah.

Pandangan keempat: Ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah surah al-Nasr yang bermaksud: “Apabila kemenangan daripada Allah dan pembukaan telah datang. Dan anda telah melihat manusia masuk ke dalam agama Allah secara berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji tuhanmu dan beristighfarlah kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.”

 

Al-Quran datang dengan tujuh huruf
Antara keistimewaan al-Quran adalah ia boleh dibaca dengan pelbagai cara bacaan yang semuanya telah diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.

Antara hikmah kepelbagaian cara bacaan ini adalah bagi meraikan dialek orang Arab yang berbeza-beza antara satu kabilah dengan kabilah lain.

Seluruh cara bacaan ini akhirnya telah dipelajari semenjak zaman-berzaman sehingga ke hari ini.

Al-Imam Ahmad di dalam musnad beliau telah meriwayatkan: Daripada [Saidina] ’Ubayy, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah menemui [Malaikat] Jibril ‘Alayhi al-Salam lalu Rasulullah SAW telah bersabda kepada [Malaikat] Jibril: “Sesungguhnya saya telah diutuskan kepada umat yang ’ummiyy (tidak pandai membaca dan menulis) yang dalam [kalangan] mereka [ada] orang lelaki tua yang lanjut usia, orang perempuan yang lemah yang telah tua dan anak-anak kecil. Beliau [iaitu Malaikat Jibril] telah berkata: Suruhlah mereka lalu mereka hendaklah membaca al-Quran atas tujuh huruf.”

Para ulama telah berbeza pandangan dalam memahami maksud sebenar tujuh huruf.

Menurut Dr. Muhammad Bakr Ismail di dalam kitab beliau Dirosat Fi ‘Ulum al-Qur’an; pandangan yang paling kuat adalah pandangan al-Imam Fakh al-Din al-Roziyy yang menyatakan bahawa maksud tujuh huruf ini adalah perbezaan di dalam bacaan al-Quran dari tujuh sudut:

Perbezaan bacaan kalimah tertentu sama ada dibaca secara tunggal (mufrod), dua (mu-thanna) atau banyak (jam‘) atau sama ada dibaca secara mu-dzakkar atau mu’annath.

Perbezaan bacaan kalimah tertentu dari sudut ilmu al-sorf.

Perbezaan bacaan kalimah tertentu dari sudut al-’i‘rob.

Perbezaan bacaan kalimah tertentu sama ada kalimah itu dibaca atau tidak dibaca sama sekali.

Perbezaan bacaan kalimah tertentu sama ada dibaca lebih awal atau dilewatkan.

Perbezaan bacaan sesuatu kalimah sama ada dibaca dengan huruf tertentu atau dengan huruf yang lain.

Perbezaan bacaan kalimah tertentu mengikut lahjah orang Arab.

 

Ulama utama dalam bidang bacaan al-Quran
Sekalipun al-Quran diwarisi oleh bilangan para ulama yang tidak terbilang dari satu generasi ke generasi lain, namun ada tujuh ulama besar yang menjadi tokoh utama pembacaan al-Quran al-Karim yang mewarisinya daripada guru-guru mereka yang akhirnya berhujung kepada bacaan Rasulullah SAW.

Mereka ialah al-Imam Nafi’ bin ‘Abdul Rohman bin Abu Nu‘aym al-Madaniyy [70-169 hijriah], al-Imam ‘Abdullah bin Ka-thir al-Makkiyy yang turut dikenali dengan panggilan Ibnu Ka-thir [45-120 hijriah], al-Imam Hamzah bin Habib al-Zayyat al-Kufiyy [80-156 hijriah], al-Imam Ali bin Hamzah al-Kisa-’iyy (wafat pada 189 hijriah) dan al-Imam ‘Asim bin Abu al-Najud al-Kufiyy [wafat pada 127 hijriah], al-Imam Abu ‘Amr bin al-‘Ala’ al-Basriyy [lahir pada 68 hijriah] dan yang terakhirnya adalah al-Imam ‘Abdullah bin ‘Amir yang turut dikenali dengan panggilan Ibnu ‘Amir al-Shamiyy [61-118 hijriah].

Bacaan mereka bertujuh akhirnya dikenali dengan al-qiro’at al-sab‘ah yang bermaksud ‘bacaan tujuh’.

Selain mereka, ada tiga orang lagi yang turut meriwayatkan bacaan al-Quran dengan sanad sahih yang bersambung dengan bacaan Rasulullah SAW.

Mereka terdiri daripada al-Imam Ya‘qub bin Ishaq al-Hadhromiyy, al-Imam Abu Ja‘far al-Madaniyy atau nama sebenar beliau Yazid bin al-Qo‘qo‘ [wafat pada 130 hijriah] dan al-Imam Kholaf bin Hisyam al-Bazzar.

Pembacaan al-Quran melalui riwayat 10 orang ulama ini akhirnya dikenali dengan al-qiro’at al-‘ashr (bacaan 10).

-Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN