Semua petanda anak autisme sudah ada, cuma saya yang menafikannya – Dr. Shazril

Semua petanda anak autisme sudah ada, cuma saya yang menafikannya – Dr. Shazril

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA isteri memberitahu anak mereka ‘berbeza’ kerana autisme, dia sedaya-upaya menafikan hakikat itu.

Bagi doktor selebriti dan personaliti media sosial, Dr. Muhammad Shazril Shaharuddin tidak mungkin Allah memberikan anak yang ‘rosak’ dan tidak sempurna kepada mereka setelah lebih empat tahun menunggu zuriat.

Lantas, dia memberi ‘amaran’ kepada isteri, Dr. Azura Abas agar tidak lagi membangkitkan perkara itu kerana enggan mengambil tahu atau mendengar mengenainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setahun isterinya mendiamkan diri, akhirnya kenyataan sebenar tersingkap di depan mata apabila dia membawa Aezriel, 6, keluar bersiar-siar.

Anak sulungnya itu berterusan mengepak dan bertepuk tangan di samping melompat-lompat.

“Hati saya menangis semahu-mahunya, tidak pernah dalam hidup saya menangis seteruk itu kerana mula menyedari apa yang dikatakan isteri adalah benar belaka.

“Esoknya saya ajak isteri untuk mendapatkan bantuan dan menjalankan pemeriksaan ke atas anak kami.

“Semua petanda sudah ada cuma saya saja yang ‘menutup’ mata. Aezriel disahkan mengalami autisme sederhana dengan pertuturan lewat ketika berusia dua tahun setengah, “ katanya dalam sesi perkongsian di Majlis Pelancaran Sentuhan Autisme Lestari Anak Malaysia (Salam Autisme), baru-baru ini.

Muhammad Shazril berkata, Aezriel sudah menunjukkan tanda-tanda autisme sejak usianya dua bulan dengan menangis selama berjam-jam.

Bagaimanapun, dia dan isteri beranggapan ia mungkin gangguan makhluk halus kerana hanya berlaku pada waktu senja sahaja.

“Dia seperti bayi normal yang gembira, comel dan tersenyum. Tetapi, di usia empat bulan, isteri mengesan yang Aezriel tidak memandangnya ketika menyusu.

“Apabila masuk enam bulan pula, dia tidak menoleh ke arah kami apabila dipanggil namanya. Ketika itu juga, dia dapat tawaran iklan di Amsterdam tetapi proses penggambaran sangat sukar kerana Aezriel menangis tanpa henti apabila didukung model,” katanya.

Terdahulu, ujarnya, perjalanan membesarkan anak autisme tidak semudah disangka, malah mereka melalui episod emosi dan kesukaran.

Ia termasuk bagi memasukkan anaknya ke sekolah dan pusat terapi.

“Setiap pencapaian Aezriel walaupun kecil, cukup membanggakan. Kali pertama dia berjaya menyebut nama saya, cukup menyentuh hati,” katanya.

Terapi awal
Sementara itu, Pengarah Early Autism Project (EAP) Malaysia, Jochebed Isaacs berkata, sebarang program rawatan yang dijalankan akan memberikan hasil berbeza kerana anak-anak autistik memiliki spektrum berbeza.

Justeru, penting untuk ahli keluarga memastikan jurang perkembangan anak masing-masing.

“Sebagai contoh, jika anak berusia lima tahun, tetapi mungkin kemahiran mereka masih di tahap dua atau tiga tahun, ini bermakna mereka ada kelewatan perkembangan.

“Jurang ini semakin melebar seiring dengan masa, jadi, sebab itulah program rawatan intensif diperlukan,” katanya.

Harapannya agar kanak-kanak autistik di tahap satu berupaya bersekolah di sekolah aliran perdana.

Manakala tahap dua mungkin agak lambat sedikit menunjukkan perubahan dan sebaiknya ditempatkan ke sekolah pendidikan khas.

Tahap ketiga pula, pembelajaran mungkin mengambil masa yang panjang seperti belajar untuk ke tandas, duduk, malah melihat ibu bapa mereka.

Katanya, intervensi awal juga penting kerana tingkah laku mencabar yang belum terbentuk.

“Jika anda mengikuti perkembangan kanak-kanak, mereka akan bertutur 10 hingga 100 perkataan di usia 18 bulan.

“Begitu juga jika anda perasan sebarang tingkah laku berulang seperti bertepuk tangan, melompat-lompat, menangis berlebihan kerana perubahan kecil dan meragam.

“Justeru, kami menggalakkan ibu bapa supaya memantau perkembangan anak-anak mereka dan jangan ambil mudah jika si kecil lambat bercakap atau bersikap berbeza daripada kanak-kanak biasa,” katanya.

Kini terdapat banyak aplikasi percuma yang boleh membantu ibu bapa menjejaki perkembangan anak setiap bulan dan tahun.

Jochebed berkata, terapi secara bersemuka dan perseorangan turut diperlukan bagi memastikan tumpuan kanak-kanak tidak terjejas.

Katanya, di usia seawal dua tahun, pembelajaran secara perseorangan amat digalakkan iatu selama 30 jam seminggu.

“Mungkin ramai merasakan ia terlalu lama dan intensif tetapi inilah kaedah terbaik kerana sesetengah kanak-kanak mungkin berada dalam dunianya sendiri.

“Pemilihan aktiviti perlu disesuaikan dengan usia dan menyeronokkan contohnya bagi yang berumur dua tahun, disarankan duduk di lantai dan menggunakan mainan,” katanya.

Selain itu, pengisian terapi perlu mengikut kanak-kanak berkenaan secara individu dan bukan program biasa kerana perbezaan mereka.

Antara yang diajar termasuk untuk ke tandas, berpisah daripada ibu bapa, menggunting rambut dan sebagainya yang memerlukan persediaan dan sokongan.

 

Kerajaan sedia geran
Dalam pada itu, Pengarah Belanjawan Negara, Datuk Indera Ab. Rahim Ab. Rahman berkata, kerajaan memperuntukkan RM30 juta kepada Yayasan Sime Darby (YSD) bagi pelaksanaan tiga program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ia termasuk Program Salam Autism YSD inisiatif hasil sokongan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Ideas Autism Centre ( IAC) dan Early Autism Project Malaysia ( EAP).

Ia membabitkan dua komponen utama iaitu program latihan guru pendidikan khas di peringkat kebangsaan bersama IAC dan Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan.

Diikuti, biasiswa komuniti bagi mengikuti latihan ke arah pensijilan sebagai Applied Behaviour Analysis Technician (ABAT) bersama Early Autism Project Malaysia (EAP).

“Kerajaan sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak autistik mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan sokongan yang terbaik sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang inklusif serta berteraskan nilai ihsan,” katanya.

Yayasan Sime Darby (YSD) menyumbang lebih RM1.1 bilion ke arah inisiatif yang merangkumi lima tonggak iaitu pendidikan, alam sekitar, komuniti & kesihatan, sukan dan seni & budaya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini