Ramai wanita menganggap dengan menurunkan berat badan sehingga kurus dapat membantu mereka memiliki bentuk badan ideal yang diimpikan.
Namun, impian itu belum tentu dapat dicapai jika postur badan masih tidak dibaiki.
Justeru, senaman pilates dapat membantu membentuk tubuh dengan cara yang lebih santai dan terkawal, sesuai bagi mereka yang kurang gemar senaman berpeluh.
Jurulatih Pilates di Bliss Society Putrajaya, Katrina Nur Maria Azman menjelaskan, pilates tidak memerlukan tekanan yang ekstrem pada tubuh atau otot untuk melakukan latihan fizikal itu.
Pilates membantu membentuk tubuh badan dengan menumpukan pada kekuatan otot teras, postur yang betul dan kawalan pergerakan.
“Setiap gerakan dalam pilates mengaktifkan otot-otot terutama di bahagian perut, pinggang, punggung dan paha.
“Hasilnya, tubuh kelihatan lebih kemas, tegap, seimbang dan feminin,” katanya.
Selain itu, pilates juga meningkatkan kesedaran tubuh, menjadikan seseorang peka terhadap cara mereka bergerak dan berdiri, sekali gus membuatkan penampilan lebih menarik.
Katanya, untuk hasil yang lebih konsisten, peserta hanya perlu melakukan senaman dua hingga tiga kali seminggu.
Dengan disiplin dan teknik betul, perubahan dapat dilihat dalam masa empat hingga enam minggu.

JENIS FOKUS
Dalam gerakan standing lunge, tumpuan utama diberikan kepada fleksor pinggul dan otot peha belakang bagi membantu menguatkannya di samping meningkatkan mobiliti serta keseimbangan badan secara menyeluruh.
Sementara itu, latihan papan lengan bawah (forearm plank) memberi fokus kepada penglibatan otot teras dan sambungan pinggul.
Latihan ini sangat berkesan untuk membina kekuatan teras yang stabil selaras bagi menyokong tulang belakang serta mencegah kecederaan.
Bagi latihan kerja lengan (arm work) pula, fokus utama adalah untuk menguatkan pergerakan lenturan siku serta kestabilan postur tubuh.
Ini memastikan setiap pergerakan lengan dilakukan dengan efisien tanpa memberi tekanan kepada sendi bahu, sambil membina kekuatan lengan yang seimbang dan postur teguh.
Beza dengan senaman di gim
Berbeza dengan latihan di gim yang banyak bergantung kepada beban untuk membesarkan otot, pilates pula menggunakan berat badan sendiri serta peralatan seperti reformer untuk menguatkan otot dalaman.
“Ketika membuat senaman pilates, peserta akan diberi tunjuk ajar untuk memberi fokus pada pergerakan kecil yang sangat terkawal dan tepat, tetapi jauh lebih mencabar dengan latihan dibuat di gim.
“Pilates lebih spesifik dalam melatih postur tulang belakang, abdomen dan kekuatan otot kecil yang jarang diberi perhatian dalam rutin biasa,” katanya.

HANYA UNTUK WANITA?
Siapa kata pilates hanya untuk wanita, kerana senaman ini sebenarnya sesuai dan menawarkan banyak manfaat kepada lelaki.
Kini, pilates juga berfungsi sebagai fisioterapi bagi membantu pesakit pulih selepas kecederaan.
Pendek kata, pilates sesuai untuk semua peringkat umur, tidak kira ibu hamil, kanak-kanak dan mereka yang bergiat aktif di gim.
Ia boleh disesuaikan dengan pelbagai keperluan tubuh dan manfaatnya boleh dirasai oleh sesiapa sahaja yang ingin menjaga kesihatan tubuh dengan cara menyeluruh.










