SUASANA di tujuh buah perkampungan nelayan Program Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini pada malam 19 April lalu cukup meriah dengan keindahan kilauan cahaya menerangi seluruh perkampungan.
Keindahan itu menyaksikan lebih 15,000 pengunjung tidak melepaskan peluang membanjiri perkampungan nelayan Kuala Perlis bagi menyaksikan keindahan Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alor Jaya, Kampung Tandiap, Kampung Seberang Alor, Kampung Baru Seberang dan Pulau Ketam.
Malah, perkhidmatan ‘choley’ yang dihiasi indah tidak putus-putus membawa pengunjung ke lokasi perkampungan tersebut.
Menariknya, kampung nelayan berkenaan dihias oleh penduduk yang bergotong-royong menceriakan kampung masing-masing bersempena majlis Kilauan Warna-Warni 2025 di Dataran Pulau Ketam.
Program penuh gilang-gemilang dan bersejarah itu dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82.
Ia mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Lebih istimewa, majlis itu diserikan dengan keberangkatan Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin dan Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan menyempurnakan simbolik penyediaan makanan tradisi oleh penduduk kampung tersebut dengan mengacau dodol bersama penduduk setempat.
Abu Bakar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Seni Budaya negeri berkata, majlis kilauan warna-warni itu berlangsung cukup meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung.
Katanya, kehadiran orang ramai itu bukan sahaja membabitkan penduduk di sekitar Kuala Perlis sebaliknya dari seluruh negeri itu dan pengunjung luar yang tidak melepaskan peluang bagi menyaksikan keindahan perkampungan nelayan berkenaan.
“Pelbagai program dan aktiviti telah diadakan antaranya pertandingan keceriaan kampung melibatkan tujuh buah kampung nelayan, penyediaan makanan tradisi selain persembahan artis terkenal seperti Harry Khalifah dan Ahmad Yasin.
“Penduduk di setiap kampung juga bergotong-royong menghias kampung masing-masing dengan cukup indah selain kilauan lampu menerangi perkampungan mereka.
“Malah, kita juga menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan keceriaan kampung sempena majlis berkenaan dengan tempat pertama dimenangi Kampung Tengah membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000 manakala tempat kedua membawa pulang wang tunai RM2,000 selain hadiah sagu hati bernilai RM500,” katanya.
Program kilauan warna-warni itu juga mencerminkan nilai keterbukaan, perpaduan dan semangat kekeluargaan yang menjadi nadi kepada keharmonian rakyat di Perlis.
Selain itu, ia menjadi salah satu platform yang amat bermakna dalam mempromosikan keunikan budaya dan hospitaliti rakyat Perlis kepada para pelancong sama ada dari dalam dan luar negara.
“Program ini beri peluang kepada rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya bersama-sama berkongsi keceriaan,” katanya.-UTUSAN