Talassemia merupakan salah satu penyakit darah keturunan berkaitan penghasilan protein haemoglobin (hb) yang tidak normal.
Apabila ia tidak normal, ini memberi gejala seperti keletihan dan tanda-tanda pada badan seperti berwajah pucat.
Pakar Hematopatologi, Jabatan Patologi dan Makmal Perubatan, Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (Hosza), Dr. Hafizuddin Mohamed Fauzi berkata, penyakit ini berpunca daripada mutasi genetik yang diwarisi daripada ibu bapa.
Secara amnya terdapat dua jenis talasemia iaitu alpha dan beta, yang seterusnya dikategorikan kepada talasemia minor (pembawa), intermedia dan major (pesakit yang memerlukan rawatan transfusi darah seumur hidup).
Pembawa talasemia biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya mengalami kekurangan jumlah hb yang sedikit.
Oleh itu, ramai yang tidak sedar mereka adalah pembawa sehingga menjalani ujian darah, full blood count (FBC) dan full blood picture (FBP).
Di Malaysia, talasemia menyumbang kepada masalah kesihatan awam yang serius dan dianggarkan 1 daripada 20 rakyat adalah pembawa.
Malah, saban tahun jumlah pesakitnya meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.
Berdasarkan rekod Daftar Talasemia Kebangsaan (MTR) pada 2020, jumlah pesakit di negara ini adalah sebanyak 8,767 orang dengan Sabah mencatatkan bilangan yang tertinggi, diikuti Selangor, Kedah, Johor dan Perak.

“Kos rawatan bagi seorang pesakit pula boleh mencecah sehingga RM3 juta sepanjang hayat mereka, terutama jika menerima rawatan seperti transfusi darah berkala dan terapi kelasi besi untuk mengurangkan pengumpulan zat besi dalam badan.
“Nilai ini tidak termasuk kos pemindahan sel stem yang merupakan kaedah penyembuhan mutlak.
“Bayangkan beban kewangan yang bakal ditanggung oleh kerajaan jika tiada intervensi dilakukan?,” katanya baru-baru ini.
Sehubungan itu, kata Hafizuddin, kerajaan telah mengambil beberapa langkah proaktif dengan melancarkan program saringan talasemia.
Ia meliputi saringan pra-perkahwinan dan sekolah menengah bagi membuat pengesanan awal individu pembawa, sekali gus mengelakkan kelahiran bayi talasemia major.
“Saringan pra-perkahwinan antara program terawal diperkenalkan kerajaan pada 2005 dengan menyasarkan pasangan yang ingin berkahwin.
“Saringan boleh dilakukan secara sukarela dan percuma di klinik kesihatan awam dan jika didapati kedua-dua pasangan adalah pembawa, khidmat kaunseling genetik akan diberikan oleh kakitangan perubatan terlatih untuk mereka menilai risiko melahirkan anak berstatus talasemia major,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga program saringan talasemia di peringkat sekolah menengah membabitkan pelajar tingkatan empat, sejak 2015.
Kerajaan juga melaksanakan program saringan pada peringkat awal kehamilan atau dikenali sebagai ujian saringan prenatal.
Namun, kesemua usaha-usaha tersebut adalah sia-sia jika tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Justeru, penggunaan platform media sosial dan bantuan selebriti sebagai duta kempen dilihat mampu menyebarluaskan tentang talasemia dan kepentingan membuat saringan.









