Walaupun beragama Kristian, keluarga ini tidak melepaskan peluang merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.
Berkongsi cerita, Kata Fifi, ibunya, Ratna pasti akan ‘kalut’ menyediakan juadah raya dan mengemas rumah apabila menjelang raya, sama seperti keluarga muslim yang akan menyambut hari lebaran.
Sejak kecil, ibunya gemar menghidangkan juadah raya pada hari raya pertama dan menghias rumah dengan cantik bagi menghidupkan suasana raya di kediaman mereka.
Lebih menarik, wanita berusia 53 tahun itu juga gigih menganyam ketupat dan membuat sendiri kuih raya untuk santapan mereka sekeluarga di pagi raya.
Antara kuih-muih yang disediakan adalah kuih tart nanas dan kuih makmur.
“Setiap kali pagi raya, ibu pasti akan kejut kami bangun awal pagi untuk mengemas rumah sementara dia sibuk memasak di dapur. Kami juga perlu susun kuih raya cantik-cantik di dalam balang kuih.
“Antara menu wajib yang disediakan adalah bakso, soto, lontong dan gulai lemak daging. Ketupat pun ada. Ibu belajar menganyam ketupat dengan orang tua dulu-dulu dan sehingga kini dia masih menganyam ketupat sehari sebelum raya.
“Selalunya, tidak ada tetamu yang datang pun, kami hanya makan-makan sekeluarga. Cuma ada kuih-muih yang ibu beri kepada rakan-rakan sama ada muslim atau bukan muslim, sekadar untuk meraikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kisah keluarga ini mula tular di aplikasi Tiktok pada hari raya pertama lalu apabila Fifi memuatnaik rakaman video lucu memaparkan ibunya yang ‘kalut’ membuat persiapan raya.
Dia dan adiknya pula dikejutkan awal pagi semata-mata untuk membantu bapa mereka mengemas rumah sedangkan katanya, tiada siapa pun yang akan datang berkunjung.
Video yang dimuatnaik itu mendapat lebih 500,000 tanda suka dan rata-rata pengguna media sosial teruja melihat keluarga itu turut meraikan kemeriahan Syawal.
Di sebalik hiburan yang dipaparkan, maksud tersirat daripada video itu adalah semangat muhibbah yang terus subur di Malaysia di mana perayaan disambut pelbagai kaum sebagai satu keluarga besar.

SEMANGAT KEBERSAMAAN
Bercerita lanjut, kata Fifi, ibunya yang berasal dari Kuala Lumpur itu sangat menggemari hari raya kerana membesar dikelilingi komuniti muslim.
Katanya, semangat kebersamaan dan kemeriahan Adilfitri membuatkan ibunya setiap tahun tidak melepaskan peluang untuk turut meraikan.
Bila tiba hari raya, mereka sekeluarga pasti akan bekerjasama membersihkan rumah serta membantu ibu menyediakan juadah, sekali gus mengeratkan lagi hubungan mereka empat beranak.
Dia juga akan menemani ibunya membeli persiapan juadah raya di pasar dan membeli baju raya untuk turut sama merasai kemeriahan hari raya seperti keluarga muslim.
“Walaupun kami keluarga kristian, tetapi kami membesar dalam komuniti muslim dan itu membuatkan kami tidak kekok dengan sambutan hari raya.
“Malah, kami turut meraikannya di rumah sendiri. Ibu saya yang paling semangat sambut hari raya sampai baju raya pun dia beli. Kemudian, kami akan ambil gambar raya bersama-sama,” kongsinya.
Biarpun sewaktu kecil dia sering tertanya-tanya mengapa ibunya sering meraikan hari raya sedangkan mereka bukan muslim, namun pada akhirnya dia faham kegembiraan setiap individu berbeza-beza.
Katanya, mungkin kerana sudah terbiasa membesar dalam kalangan komuniti muslim sejak kecil menyebabkan ibunya mahu terus menyambut biarpun rakan-rakan dan saudara muslim yang dikenali sudah tiada.
Ia bagaikan menghidupkan semula kenangan indah zaman kecil ibunya menyambut lebaran bersama kenalan muslim terdekat.
Disebabkan itu, dia dan keluarga hanya menurut sahaja kemahuan ibu untuk menyambut hari raya saban tahun.
Lagi pula, tiada apa yang lebih berharga daripada melihat senyuman yang terukir di bibir ibu apabila melihat anak-anak dan suami menikmati juadah raya yang dihidangkan setahun sekali itu.
“Bagi saya sendiri, hari raya adalah satu keraian yang sangat meriah. Suasananya berbeza dan penuh dengan makanan yang sedap-sedap. Walaupun kami bukan muslim, tetapi hidup dalam kalangan komuniti muslim membuatkan kami terasa bahang kemeriahan itu.
“Perasaannya cukup berbeza berbanding hari-hari lain. Keluarga berkumpul bersama-sama, makan bersama-sama dan rasanya sangat luar biasa.
“Sejak awal Ramadan pun saya sudah terasa meriah dan biasanya sejak kecil saya akan tunggu kawan-kawan muslim habis solat tarawih dan kemudian kami akan pergi moreh bersama-sama,” katanya.
Malah, ibunya juga tidak lokek untuk memasak juadah berbuka kepada rakan-rakan muslimnya.
Setiap tahun, ibunya pasti menjemput rakan-rakan muslim untuk berbuka puasa bersama di rumah.
“Hari raya selalunya tidak ada rakan-rakan yang datang berkunjung kerana mereka semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing. Tetapi, semasa bulan puasa kami pasti akan menjemput rakan-rakan untuk iftar bersama.
“Ibu rajin memasak untuk rakan-rakan muslim saya dan menghidangkan juadah istimewa untuk mereka berbuka puasa.
“Ibu pernah puasa sekali-sekala. Saya dan adik pula cuba-cuba juga berpuasa, tetapi kami mampu puasa untuk tidak makan sahajalah,” katanya menutup bicara.-UTUSAN










