PETALING JAYA: Bagai retak menanti belah, isteri kepada pelakon, Azlan Komeng iaitu Nur Nilam Ortiz tampil berkongsi kehadirannya di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, hari ini.
Lengkap mengenakan jubah serba hitam, Nilam juga seolah memberi gambaran bahawa dirinya enggan lagi mempertahankan rumah tangganya bersama Azlan.
“Aku memilih pergi sebab aku ingin menjaga hati. Kita akan menjadi orang asing kembali di mana hati aku adalah tugas aku untuk menjaganya dan hati kau tugas kau untuk menjaganya.
“Selepas ini tiada lagi takdir kita yang bersama ‘kita’,” katanya menerusi sebuah hantaran di TikTok.
Bagaimanapun isteri kepada pelakon tersebut tidak memberitahu sebarang perincian lanjut mengenai tujuan kehadirannya di mahkamah itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen.
Ekoran perkongsian tersebut, rata-rata warganet turut menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan.
Sebelum ini, Nilam telah membuat pendedahan bahawa Azlan didakwa bakal mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita.
Azlan kemudian menafikan dakwaan bahawa isu tersebut sengaja dilakukan demi meraih perhatian warganet.
Untuk rekod, Azlan dan Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022.-UTUSAN