Projek Perusahaan Cendawan Kukur Kulat Sisir, Kampung Sungai Jai, Beranang, Selangor yang diusahakan penduduk berjaya mencatat pendapatan jualan hampir mencecah RM10,000 sebulan.
Keuntungan yang diraih itu sekali gus berjaya memberikan pendapatan sampingan kepada penduduk setempat yang terbabit dalam projek berkenaan yang bermula sejak Disember 2024.
Projek yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sungai Jai itu di bawah Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) yang menggalakkan setiap kampung menghasilkan satu produk dengan dipantau oleh Pejabat
Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Pengurus Projek, Mohammad Zahid Shamsuri berkata, projek penanaman cendawan kukur bermula sejak Oktober 2024, menggunakan dana kerajaan sebanyak RM100,000.
“Dana itu digunakan untuk membina bangsal berkeluasan lebih kurang 400 kaki persegi yang boleh memuatkan 2000 bongkah cendawan kukur di atas tapak yang disewa daripada penduduk.
“Sebelum itu, kami menyertai kursus pengurusan cendawan dengan pengusaha cendawan kukur di Pahang.
“Pada Disember 2024, hasil pertama cendawan dapat dituai menerusi 1,000 bongkah dengan jumlah keseluruhan antara 70 kilogram (kg) hingga 80kg. Maksima hasil tuaian boleh mencecah sehingga 100kg dengan pendapatan mencecah RM10,000 sebulan,” katanya.
Katanya, sebuah bongkah boleh dituai sebanyak tiga kali. Tuaian pertama dan kedua menghasilkan cendawan berkualiti tinggi berbanding tuaian ketiga dan memerlukan cendawan diasingkan mengikut kualiti.
Selepas tuaian ketiga, bongkah cendawan akan diperam selama dua hingga tiga bulan untuk dijadikan baja kompos dan dijual semula kepada industri tanaman sayur dan buah-buahan.
PENJAGAAN RUMIT

Idea asal untuk menyahut seruan satu kampung satu produk tanaman timbul pada Mei 2024 dengan pelbagai pilihan idea untuk menanam betik, bunga kantan atau pisang.
“Bagaimanapun selepas merujuk Pegawai Pembangunan Negeri Selangor, mereka mahukan tanaman dengan tempoh hasil yang cepat, paling kurang empat bulan.
“Idea untuk menanam cendawan diinspirasikan daripada ibu saudara saya yang menanam cendawan kukur di Pahang sejak lima tahun lalu. Akhirnya, selepas persetujuan bersama penduduk, kami mengikuti kursus penanaman dan pengurusan,” katanya.
Bongkah cendawan pula diperoleh daripada pembekal kerana penduduk belum mahir menghasilkan bongkah sendiri memandangkan prosesnya agak rumit.
Selain itu, pihaknya berdepan cabaran kerana penjagaan bongkah dan hasil tanaman yang sangat sensitif. Bongkah tidak boleh terdedah kepada sebarang asap, sampah, asap rokok dan bahan kimia termasuk haruman seperti minyak wangi kerana boleh mempengaruhi perkembangan spora.
“Kami perlu mengawal persekitaran bangsal yang menempatkan bongkah ini. Kalau boleh, tiada sebarang pembakaran terbuka. Selain itu, tidak boleh terdedah kepada cuaca terlalu panas. Jadi, kita pasang aluminium foil di bumbung.
“Bongkah ini juga perlu disiram sebanyak tiga kali sehari. Kita ada jadual untuk penduduk yang bergilir-gilir datang siram pada sebelah pagi, tengah hari dan petang,” katanya.
Seramai 18 penduduk terbabit dalam projek berkenaan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta penduduk setempat seperti suri rumah.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah menyusun bongkah mengikut usia yang berbeza-beza. Ada yang separa matang, tidak matang selain sesetengahnya perlu diperam terlebih dahulu.
Apabila bongkah kelihatan putih, bermakna benihnya sudah bercambah dan sudah boleh ditoreh di bahagian luar bongkah untuk membolehkan cendawan keluar.
Biasanya cendawan akan keluar dalam tempoh seminggu.
“Sebaik cendawan keluar di sekeliling bongkah, ia perlu segera dipotong, jika tidak ia akan rosak. Pada musim menuai paling sibuk kerana banyak kerja perlu dilakukan bermula daripada tuaian, jemuran dan pembungkusan.
“Bagi memasarkan produk, kami menggunakan kaedah dalam dan luar talian.
“Cendawan segar dikategorikan sebagai jualan basah dan dijual sekitar kawasan kampung serta kedai makan. Manakala, cendawan kering dijual melalui pos ke seluruh negara sehingga ke Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Cendawan yang dijemur dan dikeringkan boleh tahan selama seminggu jika disimpan dalam peti sejuk. Setakat ini, permintaan terhadap cendawan kukur agak memberangsangkan kerana ia sesuai untuk pelbagai masakan seperti gulai pucuk paku, goreng tepung, rendang dan sebagainya.
“Dalam tempoh jangka masa panjang, kami merancang untuk memperbesarkan tanaman cendawan ini dengan menambah lagi beberapa bangsal disamping menambah pendapatan penduduk kampung,” katanya.
PENDUDUK GEMBIRA RAIH PENDAPATAN
Suri rumah yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Pembangunan Perniagaan, Mariah Mat Arif, 66, meluahkan rasa gembira kerana masa lapangnya kini terisi dengan bekerja secara sambilan di bangsal penanaman cendawan.
“Antara tugas saya adalah menyiram bongkah tiga kali sehari iaitu di sebelah pagi, tengah hari dan petang. Kalau cendawan sudah tumbuh, ia perlu disiram dua kali sahaja dalam sehari. Sebelum tuaian, tidak perlu disiram bagi mengelakkan ia basah. Kalau hujan juga tidak perlu siram takut terlalu lembap.
“Pendapatan pula bergantung kepada hasil tuaian. Cendawan ini sekejap sahaja sudah ada hasil. Sebulan saya boleh meraih sekitar RM500. Cukuplah dapat buat duit poket. Seronok ada kerja selain buat kerja rumah. Selain siram, saya juga membantu menjemur dan membungkus,” katanya.
Sementara itu, Sarah Zaina, 35, berkata tugasnya pula menjalankan kerja pemasaran dan pentadbiran bagi projek penanaman cendawan kukur berkenaan.
“Tugas ini sememangnya mencabar sebab banyak saingan. Apa yang saya perhatikan, orang muda kurang tahu mengenai cendawan kukur. Mereka tidak tahu hendak makan atau masak cendawan ini. Padahal cendawan ini boleh dijadikan pelbagai hidangan seperti cendawan goreng tepung rangup, karipap cendawan dan rendang.
“Bagaimanapun, saya seronok dengan tugas ini selain dapat menambah pengalaman dan dalam masa sama, membantu menambah pendapatan keluarga selain mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung,” kata bekas pramugari itu.
PERKEMBANGAN POSITIF
Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Tazley berkata, projek itu menunjukkan perkembangan positif dan dijangka lebih berdaya saing di masa hadapan.
“Saya yakin projek ini akan lebih berjaya sekiranya perancangan untuk menambah kapasiti dilakukan dengan membuat kajian pemasaran lebih terperinci.
“Bagi tujuan itu, dana saraan modal tidak mustahil boleh ditambah berdasarkan laporan perlaksanaan projek dalam tempoh setengah tahun yang positif,” katanya.
Mohd. Tazley mewakili Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan ditemui selepas meninjau tapak projek dan menyantuni penduduk Kampung Sungai Jai yang terbabit dalam projek berkenaan, baru-baru ini.
Kesemua 43 kampung di bawah pentadbiran Parlimen Hulu Langat digalakkan untuk memohon dana di bawah projek itu yang akan diajukan kepada pihak ICU Jabatan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan dan diluluskan secara berperingkat.
“Selain projek di Kampung Sungai Jai, kampung lain yang turut menjalankan projek ini adalah Kampung Batu Minangkabau yang menghasilkan produk makanan sejuk beku dan Kampung Rinching Hulu yang menghasilkan tanaman fertigasi, “ katanya.-UTUSAN











