Penggiliran balik beraya di kampung antara suami isteri nampak seperti perkara remeh.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ada segelintir pihak yang memang memandang remeh perkara berkenaan.
“Alah, tiap tahun pun raya.” “Raya di mana pun sama sahaja.” Itu ungkapan yang sering didengari apabila menyentuh mengenai topik balik beraya.
Namun, perkara remeh sebegini yang sebenarnya menjadi api dalam sekam pada perhubungan suami isteri.
Suami atau isteri yang mengabaikan penggiliran beraya di kampung atau bersama keluarga pasangan sebenarnya sedang menoreh luka sedikit demi sedikit dalam jiwa pasangan dan akhirnya menjadi nanah yang sukar diubati.
Kaunselor Perkahwinan, Redzuan Zamberi berkata, banyak kes kaunseling pasangan yang diterima melibatkan penggiliran balik raya yang tidak adil sehingga membuatkan pasangan memendam perasaan lalu menjadi punca pergolakan dalam rumah tangga.
“Awalnya mereka datang sesi kaunseling bukanlah semata-mata sebab isu penggiliran balik beraya tetapi bila kita dalami permasalahan yang terjadi, maka keluarlah semua punca-punca yang menyebabkan hubungan dingin.
“Ada yang selama berkahwin asyik balik raya kampung suami sahaja. Ada juga yang selalu kena balik kampung isteri sahaja. Balik kampung isteri selalunya sebab isteri orang berada dan tidak selesa tidur beramai-ramai di kampung suami ketika raya.
“Bila bergaduh, maka keluarlah segala ungkitan-ungkitan ini. Ada satu kes, isteri kata dia selama ini berkorban balik beraya di kampung suami setiap tahun, tetapi bila tiba masa ibu dia sakit, suami tetap tidak mahu pulang ke kampung dan akhirnya tercetus perbalahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, perkara sebegitu seharusnya dielakkan kerana perkahwinan bukan sahaja ikatan yang terjalin antara suami dan isteri, tetapi juga keluarga.
Suami atau isteri tidak patut menidakkan hak pasangan untuk bersama keluarga walaupun sudah berkahwin.
“Kita bukan sekadar berkahwin dengan pasangan sahaja tetapi dengan keluarganya juga. Kena ingat pasangan pun ada adik-beradik dan ibu bapa.
“Kasihan ibu bapa yang menanti kepulangan anak di hari raya. Ingat kembali dahulu semasa kita hendakkan suami atau isteri kita gigih ambil hati ibu bapa mereka dan keluarga untuk sukakan kita.
“Selepas berkahwin dan apabila terjadinya konflik antara pasangan janganlah pula menidakkan perasaan mereka,” katanya.
Tambahnya, dalam kes yang lebih teruk, pasangan suami isteri mengambil keputusan untuk beraya berasingan di kampung masing-masing kerana tidak mahu mengalah.
Sudah tentu, perkara ini bagai mencurah minyak ke dalam api.
Bukan sahaja merenggangkan perhubungan suami isteri, malah turut mengheret anak-anak yang tidak bersalah dalam konflik orang tua.
“Apabila ini terjadi, biasanya rumah tangga sudah retak menanti belah. Mereka mula tidak pedulikan pasangan dan keluarga mentua.
“Lebih kasihan lagi, anak-anak dipaksa pilih hendak ikut ibu atau ayah untuk beraya. Anak-anak pula yang menjadi mangsa,” ujarnya.
Bahkan, raya berasingan sudah tentu menimbulkan fitnah atau bibit-bibit prasangka dalam kalangan saudara-mara terdekat mengenai status perhubungan dengan pasangan.
PUNCA PERBALAHAN
Menukar penggiliran balik kampung di saat akhir kebiasaannya menjadi punca kepada perbalahan suami isteri di Aidilfitri.
Lalu, lebaran yang sepatutnya menjadi hari untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim menjadi permulaan kepada gelora dalam rumah tangga.
Semuanya kerana ada pihak yang cuba ‘memotong’ giliran demi kepentingan diri sendiri.
“Selalunya, jadi masalah apabila bertukar giliran di saat akhir. Tahun lepas sudah raya di kampung suami, tiba-tiba tahun ini suami ajak balik kampung dia lagi dengan pelbagai alasan.
“Benda ini sebenarnya boleh sahaja dibincang dan dipertimbangkan antara kedua-dua belah pihak. Tetapi disebabkan tidak mahu beralah, maka isu jadi besar,” katanya.
JALAN PENYELESAIAN
Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya.
Dalam kes ini, persetujuan awal mengenai penggiliran beraya akan membantu mengelakkan perbalahan di masa hadapan.
Kaedah ini juga sangat disarankan kepada pasangan yang baharu berkahwin untuk menetapkan giliran beraya di kampung masing-masing secara adil.
“Perkara ini perlu ada persetujuan awal, terutamanya bagi pasangan yang berbeza negeri. Berbincang hendak balik kampung siapa dahulu dan kemudian tetapkan penggiliran secara adil.
“Kemudian, lebih baik kalau ada ‘akad’ yang menyatakan kelonggaran penggiliran sekiranya ada keperluan atau kecemasan. Maksudnya, jika tahun sebelumnya sudah beraya di kampung suami tetapi tiba-tiba tahun ini ibu atau bapa suami tidak sihat, maka suami hendak beraya di kampungnya.
“Ataupun pada tahun ini ibu bapa suami beraya berdua sahaja kerana adik-beradik lain tidak dapat pulang. Baliklah beraya di kampung suami tetapi tebus balik giliran tidak balik beraya di kampung isteri pada tahun berikutnya dengan balik beraya lebih lama dan sebagainya,” sarannya.
Paling penting adalah masing-masing beralah dan bertolak-ansur kerana salah satu kunci kebahagiaan suami isteri adalah saling memahami serta toleransi.
Ikut penggiliran, saling memahami kunci kebahagiaan
Patuh dengan penggiliran balik beraya di kampung setiap kali raya menjadi kunci kebahagiaan buat pasangan Zulhilmi dan Fatin Amira Ahmad Saidi selama sembilan tahun perkahwinan.
Tidak pernah culas dan potong giliran, sebaliknya sejak awal perkahwinan, pasangan ini sudah membuat persetujuan untuk bergilir-gilir balik beraya setiap tahun.
“Tidak pernah ada isu balik kampung kerana kami sentiasa mengikut giliran.
“Saya pun bersepakat dengan adik-beradik yang sudah berkahwin untuk beraya bersama-sama apabila tiba giliran beraya di kampung.
“Misalnya, pada tahun ini kami semua beraya di rumah mentua dan tahun seterusnya kami semua akan beraya di kampung sendiri, jadi kami dapat berkumpul beramai-ramai. Paling penting, kena ada persetujuan dan kesepakatan,” kata ibu dua anak ini.
Bagi Emma Azra pula, selama 13 tahun perkahwinan, dia dan suami pernah beraya berasingan, namun atas persetujuan masing-masing.
“Pernah raya asing-asing sebab ibu mentua saya tinggal sendirian dan ibu saya pun tinggal sendiri.
“Jadi, kalau tiada adik-beradik yang balik tahun itu, kami buat keputusan untuk beraya di rumah ibu masing-masing untuk tolong masak, kemas rumah dan sebagainya.
“Lagi pun, kami tinggal di daerah bersebelahan sahaja. Asalkan dua-dua setuju dan rela hati, tiada masalah,” kongsinya.
Begitu juga dengan Mustika yang sudah 10 tahun mengamalkan sikap bertolak ansur ketika tibanya hari raya.
Walaupun tinggal bersama mentua di ibu kota, mereka tetap mengamalkan penggiliran raya setiap tahun.
“Paling penting adalah tolak ansur. Kadang kala suami izinkan saya untuk pulang beraya di kampung walaupun waktu itu giliran beraya bersama ibu mentua kerana suami faham suasana raya di bandar tidak sama meriah seperti di kampung.
“Ibu mentua pula sangat memahami. Katanya, kami sudah setiap hari di depan mata. Hendak pulang beraya setahun sekali bersama keluarga apa salahnya,” kongsinya.-UTUSAN










