Ramadan antara bulan yang sering menjadi pilihan umat Islam untuk mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dan Madinah.
Namun, kepadatan manusia yang sangat tinggi di kawasan tersebut berisiko menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit, termasuk penyakit meningokokus atau penyakit meningokokus invasif (IMD).
Penyakit ini adalah jangkitan serius yang disebabkan oleh bakteria neisseria meningitidis, yang menyebabkan jangkitan pada lapisan otak dan tulang belakang.
Kajian terhadap jemaah haji menunjukkan kadar pembawa penyakit ini adalah antara lima hingga 10 peratus disebabkan oleh kepadatan dan keadaan sesak semasa menunaikan ibadah haji.

Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Penasihat Perubatan, Dr. Hazlee Abdul Hadi berkata, penyakit meningokokus ini amat mudah merebak melalui titisan pernafasan dan hubungan rapat, yang mana jemaah haji dan umrah terdedah kepada situasi seperti ini semasa berada di tanah suci.
Katanya, kuman berkenaan biasanya membiak di rongga hidung dan tekak, dan apabila seseorang dijangkiti, mereka akan menjadi pembawa penyakit tersebut.
“IMD boleh berkembang dengan cepat dan mempunyai kadar kematian yang tinggi. Terdapat 12 serogrup bakteria Neisseria meningitidis, namun enam serogrup iaitu A, B, C, W, X dan Y bertanggungjawab terhadap 95 peratus kes IMD di seluruh dunia.
“Berbeza dengan penyakit lain, IMD mempunyai kadar kejadian yang rendah namun, kadar kematiannya sangat tinggi.
“Jika tidak dirawat dengan segera, pesakit berisiko mengalami komplikasi teruk dan kematian dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas dijangkiti,” katanya.
Pada peringkat awal, antara empat hingga 12 jam selepas dijangkiti, pesakit akan mengalami gejala biasa seperti selsema, sakit tekak, batuk, bersin, dan masalah gastrointestinal.
Hazlee menegaskan di peringkat ini, jika tidak diperiksa dengan teliti, doktor mungkin memberikan rawatan untuk selsema, batuk, atau sakit tekak yang tidak berkesan terhadap bakteria penyebab IMD.
Selepas 12 hingga 15 jam, gejala menjadi lebih spesifik, termasuk ruam berdarah, sakit leher, loya, muntah, pening, meningismus (tanda keradangan otak), dan fotofobia (sensitif terhadap cahaya).
Pada tahap ini, pesakit semakin celaru dan mengalami sawan serta kehilangan kesedaran. Pada masa ini, kebanyakan pesakit akhirnya dibawa ke hospital.
Dalam kebanyakan kes, selepas 24 jam, pesakit berisiko tinggi meninggal dunia atau mengalami komplikasi teruk seperti kerosakan otak, kegagalan organ atau kerosakan saraf akibat bakteria yang merebak ke seluruh tubuh.
Hazlee menjelaskan, apabila seseorang disyaki atau disahkan IMD, rawatan kecemasan perlu dimulakan segera.
Antibiotik intravena (IV) adalah rawatan utama dan antibiotik dalam bentuk pil tidak berkesan.
Rawatan lain seperti cecair IV untuk dehidrasi dan oksigen untuk bantuan pernafasan juga diberikan bergantung kepada keadaan pesakit.
Penyiasatan tambahan seperti ujian CT scan dan identifikasi kuman akan dijalankan untuk mengenal pasti jenis bakteria dan rawatan yang sesuai.
Walaupun rawatan segera diberikan, sekitar 15 peratus pesakit akan meninggal dunia, dan 20 peratus lagi mungkin mengalami komplikasi serius.
Di Malaysia, kes IMD sukar untuk dipantau kerana tiada garis panduan yang jelas mengenai laporan penyakit ini.
Walaupun begitu, terdapat kes yang dirawat di hospital, namun pemantauan kes ini tidak dilakukan dengan teliti.
Namun, IMD tetap mempunyai kadar kejadian yang rendah walaupun ia berisiko menyebabkan kematian yang tinggi.
Selain penyakit IMD, terdapat beberapa jenis meningitis yang disebabkan oleh bakteria, virus, dan kulat.
Meningitis bakteria adalah yang paling bahaya, dan dalam kalangan jenis meningitis bakteria, Neisseria meningitidis adalah penyebab utama.
Semasa musim haji tahun 2000, lebih 400 kes dilaporkan di 18 negara selepas wabak meningokokus merebak.
Sehubungan itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksin konjugat meningokoku untuk semua pelawat yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah.

Vaksin ini disyorkan untuk diambil setiap lima tahun, dan sebaiknya diambil 10 hari sebelum berangkat ke tanah suci agar antibodi dapat terbentuk dalam sistem badan.
Hazlee turut menekankan yang vaksinasi adalah pendekatan yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko IMD.
Jika sekurang-kurangnya 85 peratus populasi divaksinasi, imuniti kelompok dapat dicapai.
Ini bermakna, walaupun sebahagian kecil individu tidak divaksin, penyakit ini sukar untuk merebak kerana kebanyakan orang sudah mempunyai antibodi yang melindungi mereka.
Selain penyakit IMD, jemaah haji dan umrah juga terdedah kepada pelbagai penyakit lain, termasuk jangkitan paru-paru seperti pneumonia, influenza, dan penyakit respiratori lain seperti batuk dan selsema.
Penyakit yang disebabkan oleh jantung ini sering berlaku akibat gaya hidup sedentari, di mana ramai jemaah lebih banyak duduk dan kurang bersenam.
Penyakit lain yang sering berlaku ialah strok haba dan keletihan, terutama semasa musim panas. Jemaah juga boleh terdedah kepada penyakit yang berkaitan dengan makanan, seperti keracunan makanan.
Masalah kulit dan alahan juga biasa berlaku disebabkan perbezaan kualiti air di tanah suci, selain masalah sakit kaki dan sendi akibat berjalan jauh dengan kasut yang tidak sesuai.
Secara keseluruhannya, penyakit meningokokus invasif merupakan ancaman serius yang perlu diberi perhatian oleh setiap jemaah umrah dan haji.
Oleh itu, vaksinasi sebelum berangkat adalah penting untuk memastikan jemaah berada dalam keadaan sihat dan selamat semasa melaksanakan ibadah mereka di tanah suci.










