Bayangkan kaki daging wagyu seberat 50 kilogram terhidang cantik sedang menanti anda untuk berbuka.
Sudah tentu tidak sabar jadinya. Begitu juga saya ketika berpeluang menjamu selera di The Westin Desaru Coast Resort baru-baru ini.
Kaki wagyu yang dimasak perlahan selama 24 jam itu benar-benar membuka selera dengan bau rempah yang wangi menusuk ke hidung.
Suapan pertama tidak mengecewakan. Benar, memang lembut dan enak beraroma.
Dipadankan pula dengan sos lada hitam, bertambah enak jadinya. Bertemakan Sajian Pantai Desaru, terdapat lebih 100 lagi pilihan menu di sini yang membuatkan saya rambang mata, sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak.
Jadi, tidak perlu risau jika bawa anak kecil kerana menu seperti nasi goreng cina dan pelbagai makanan laut rebus yang tidak pedas disediakan.
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencuba mi jawa yang terkenal di sebelah selatan.
Rasa mi kuning yang lembut dipadankan dengan kuah pekat sungguh syahdu. Masin dan manisnya seimbang serta perahan limau memberikan rasa yang lebih kick dan tidak muak.
Selepas itu, saya mencuba pula nasi putih dengan pelbagai pilihan kerabu.
Antaranya kerabu daging, kerabu sotong dan kerabu ayam. Saya padankan dengan sup ekor berempah dan sup tulang merah.
Hirup panas-panas dengan sup yang pekat memang puas.
Sedap juga dicicah bersama roti. Sup yang disediakan lebih ke arah cita rasa Melayu bagi membangkitkan suasana tradisi sempena Ramadan.

Tidak lengkaplah kalau tidak diakhiri dengan manisan. Manisan di sini memang melimpah-ruah.
Daripada kuih-muih tradisi sehinggalah pelbagai jenis kek, semuanya memikat selera.
Antara manisan yang menambat hati saya adalah kek durian. Kek ini bukan sahaja cantik, malah rasanya juga enak dan lemak berkrim. Rasa duriannya cukup kuat dan memuaskan bagi saya pencinta durian.
Tekstur keknya juga lembut dan cair di mulut. Pasti menjadi kegemaran anak kecil. Sudahlah suasana malam yang cantik dengan sayup-sayup kedengaran bunyi ombak pantai yang nyaman sangat membangkitkan selera.
Padanlah dengan harga RM168 bagi dewasa dan RM84 untuk kanak-kanak.
Ruang makan yang terletak di Seasonal Taste ini boleh memuatkan 120 orang dalam satu-satu masa dengan kerusi meja juga terdapat di bahagian luar untuk yang ingin merasai suasana segar sambil menjamu selera.
Usai makan, kami sekeluarga membuat keputusan untuk melihat sekitar kawasan resort. Memang cantik tempatnya, sesuai mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti bersama keluarga. Di hadapan restoran terdapat banyak ruang rehat seperti katil dan di hadapan pula terdapat kolam mandi dewasa dan kanak-kanak di sebelah kanan.
Angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan kami rasa mengantuk ditambah pula dengan perut yang kenyang.
Kami kemudian naik ke bilik untuk berehat. Bilik yang berhadapan pantai sangat nyaman apabila pintu gelongsor di bahagian balkoni di buka.
Angin malam menderu-deru masuk mengibarkan langsir putih. Saya sangat sukakan suasana bilik ini. Dekorasinya ringkas tetapi nampak elegan. Katilnya bersaiz besar dan selesa untuk kami tiga beranak.
Keesokan paginya, kami sempat melawat restoran baharu di sini iaitu Kedidi. Restoran yang terletak bersebelahan kolam mandi untuk kanak-kanak dan dewasa ini sangat indah dan santai.
Lebih menarik, setiap sayuran yang dihidangkan di sini dipetik daripada kebun BoomGrow Indoor Precision Farming yang menghasilkan sayur bebas racun perosak dan organik.
Menggunakan kaedah hidroponik, 17 jenis sayur-sayuran yang terdapat di sini semuanya dipetik segar sebelum dihidangkan. Secara keseluruhannya, pengalaman di sini sangat seronok dengan pemandangan indah dan makanan enak.










