Guna khidmat ‘bone setting’ tidak bertauliah boleh sebabkan

Guna khidmat ‘bone setting’ tidak bertauliah boleh sebabkan lumpuh

Mohd. Shaharil Abdul Aziz menerangkan mengenai kesihatan tulang semasa ditemui di Hospital Pakar CMH, Seremban baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TREND masyarakat ketika ini yang mendapatkan khidmat kaedah pembetulan tulang ataupun disebut sebagai bone setting dan bone alignment daripada individu tidak bertauliah memberi ancaman kepada tulang belakang.

Pakar ortopedik, Dr. Mohd. Shaharil Abdul Aziz berkata, dalam kes lebih serius, masalah sakit tulang belakang yang dihadapi seperti cakera teranjak (slip disc) boleh menjadi lebih teruk dan menyebabkan lumpuh.

“Ini adalah trend yang salah. Saya perhatikan di media sosial terdapat khidmat yang ditawarkan daripada individu tidak bertauliah iaitu bukan ahli kiropraktik. Ada yang hanya mempelajari sendiri sahaja untuk beri khidmat ‘kruk krak’ buat pesakit yang mengadu ada sakit slip disc. Apabila buat, jadi makin teruk dan terpaksa dirujuk ke hospital.

“Jadi nasihat saya, bagi yang mahukan khidmat ini, dapatkan daripada individu bertauliah yang ada kelulusan ijazahnya. Lebih baik lagi jika individu yang mempunyai masalah slip disc ini dapat merujuk kepada pakar ortopedik di mana-mana hospital,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar CMH, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar perunding bedah ortopedik hospital berkenaan memberitahu, pesakit slip disc yang mendapatkan rawatan di hospital akan terlebih dahulu menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Kebiasaan rawatan yang kami tawarkan adalah pesakit diberikan ubat tahan sakit dan fisioterapi tetapi jika rawatan ini gagal, ada alternatif yang baharu untuk sakit tulang belakang.

“Contohnya ada kaedah rawatan radiofrequency ablation (RFA). Kami gunakan jarum dan juga gunakan frekuensi gelombang elektrik untuk kita tidurkan saraf yang menyebabkan rasa sakit di bahagian belakang (tulang),” ujarnya.

Prosedur berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit hingga sejam dan pesakit juga tidak perlu ditidurkan.

“Pesakit hanya meniarap sahaja. Kita gunakan sinar-X dan ubat bius untuk melakukan prosedur berkenaan,” katanya sambil menjelaskan pesakit slip disc kebiasaannya merasa kebas dan lemah disebabkan tulang yang beranjak keluar dari tempat asal.

KURANG KESEDARAN

Kebanyakan pesakit hanya datang mendapatkan rawatan setelah sakit tulang tersebut mengganggu tugas harian.

“Memang kita tengok kesedaran kesihatan tulang masih kurang malah sakit ini juga berkait dengan penyakit-penyakit lain. Contohnya, berat badan berlebihan akan menyebabkan sakit lutut.

“Kebiasaannya (bagi yang tidak mempunyai kesedaran penjagaan tulang) usia 40-an sudah ada sakit lutut. Osteoartritis disebabkan faktor usia dan juga kecederaan dalam sendi itu sendiri,” jelasnya.

Katanya, pesakit osteoartritis digalakkan untuk mengurangkan berat badan dan memastikan indeks jisim badan (BMI) bermula 18.5 hingga 24.9.

“Selain itu, pesakit ini juga dinasihatkan untuk menukar aktiviti (sukan)daripada berlari kepada aktiviti berbasikal kerana berlari meningkatkan tekanan kepada lutut. Boleh guna basikal statik untuk bersenam.

“Bagi yang ingin membuat aktiviti sukan atau senaman pula dinasihatkan untuk melakukan aktiviti regangan dahulu bagi mengurangkan risiko kepada tulang. Teknik regangan ini kita sudah belajar asasnya sejak dari sekolah lagi,” ujarnya.

BELUM TERLAMBAT JAGA TULANG

Amalan minum susu sejak kecil mampu menjaga kesihatan tulang.

Namun, ada yang berpendapat agak terlambat untuk minum susu kerana di usia 30 tahun, kalsium di dalam susu tidak boleh disimpan dalam badan (tulang).

Begitupun, kata Mohd. Shaharil, tidak salah untuk mencuba bagi menyediakan keperluan vitamin D dan kalsium untuk tulang.

Terutamanya, golongan wanita yang sering terdedah dengan osteoporosis atau tulang rapuh.

“Untuk wanita, kehilangan ketumpatan tulang atau jisim tulang bermula usia 3o tahun. Sebaik menopaus pula, risiko wanita untuk mendapat tulang rapuh lebih tinggi kerana kurang penghasilan hormon estrogen.

“Bagi masalah ini, ada suplemen seperti vitamin D, kalsium untuk tambah kekuatan tulang.

“Dapatkan rawatan terkini kerana ada beberapa ubat yang mampu menguatkan tulang bagi mengelakkan risiko pesakit terutamanya warga emas patah bahu, tangan dan pinggul sekiranya terjatuh,” katanya.

Pesakit tulang rapuh juga disarankan mengambil ubat alendronic acid dalam bentuk tablet, namun ubat berkenaan tidak sesuai untuk pesakit gastrik.

“Ada juga ubat dalam bentuk suntikan sama ada sekali dalam tempoh enam bulan selama dua tahun, sekali sebulan dalam tempoh dua tahun atau suntikan setiap hari dalam tempoh dua tahun.

“Suntikan ini adalah untuk mengurangkan hormon paratiroid bagi menggalakkan kesihatan tulang,” katanya.

Sejak bergelar konsultan di Hospital Pakar CMH sejak awal tahun ini, beliau sudah menjalankan kira-kira 40 kes pembedahan serta rawatan, selain menerima pesakit harian dengan purata 10 orang sehari.

“Kebanyakan kes adalah kemalangan, kepatahan, kes sakit leher atau sakit tulang belakang, sakit sendi. Pesakit saya seawal usia dua tahun membabitkan kanak-kanak perempuan.

“Kanak-kanak ini terjatuh di rumah ketika bermain dan mengalami patah bahagian siku. Bagi kanak-kanak, kami akan usaha selagi boleh untuk tidak membuat pembedahan.

“Ada juga pesakit kanak-kanak lelaki usia lima tahun yang patah peha kerana tilam yang disandarkan ke dinding terjatuh ke kakinya,” katanya.

Menurutnya, khidmat nasihat yang ditawarkan adalah serendah harga RM85 dan bagi rawatan pula bergantung kepada keadaan iaitu sekiranya memerlukan pembedahan, kos adalah RM20,000 ke atas manakala bagi yang tidak memerlukan pembedahan pula adalah sekitar RM10,000 hingga RM15,000.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN