Endometriosis merupakan penyakit kronik yang kerap disalah sangka oleh wanita sebagai sekadar kesakitan haid biasa.
Perunding Endometriosis dan Pakar Kesuburan, Prof. Dr. Prasanna Supramaniam berkata, penyakit tersebut berlaku apabila sejenis tisu yang dipanggil endometrium yang bertindak sebagai tisu yang melapisi rahim, ditemui di luar rahim.
Keadaan kesihatan tersebut menimbulkan reaksi keradangan kronik selain boleh mengakibatkan pendarahan tidak teratur, masalah kesuburan serta kesakitan.
“Darah haid mengalir dari rahim dan keluar dari badan melalui faraj, tetapi darah dan tisu yang ‘ditumpahkan’ daripada pertumbuhan endometrium tidak mempunyai cara untuk keluar daripada badan.
“Ini boleh mengakibatkan pendarahan dalaman, menyebabkan kesakitan, ketidaksuburan, pembentukan tisu parut dan masalah usus,” katanya ketika Bengkel Penjagaan Endometriosis Holistik: Mengurus Sakit dan Kesihatan di Hospital Thomson baru-baru ini.
Dianggarkan 80 peratus wanita di negara ini disyaki mempunyai masalah endometriosis, namun disebabkan kurang kesedaran tentang penyakit yang boleh membahayakan kesuburan wanita ini, ramai yang tidak tampil mendapatkan rawatan.
Kajian sebelum ini mendapati, kira-kira 10 peratus daripada populasi wanita mengalami endometriosis dengan separuh daripadanya adalah wanita yang tidak subur.
Tidak subur bukan sekadar mandul
Presiden MyEndosis, Surita Mogan berkata,masalah ketidaksuburan juga merupakan satu lagi gejala endometriosis yang sering disalah anggap sebagai mandul.
Justeru, rata-rata pesakit yang beranggapan sedemikian mengambil jalan penyelesaian dengan menggunakan Persenyawaan In Vitro (IVF) bagi memperoleh zuriat.
“Proses keradangan dan parut yang terhasil impak daripada endometriosis boleh memberi kesan buruk kepada organ pembiakan serta memesongkan struktur pembiakan.
“Di samping itu, kesakitan akibat endometriosis boleh menghalang hubungan seks yang kerap, seterusnya menyumbang kepada ketidaksuburan,” katanya.
SIMPTOM AMARAN
Ramai wanita yang menderita dalam diam semasa datang bulan dengan menganggap kekejangan yang menyakitkan itu sebagai perkara biasa atau sekadar senggugut biasa.
Justeru, ramai penghidap endometriosis tidak didiagnosis sehingga menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk hamil atau mengalami kesakitan yang semakin teruk pada rahim.
Kata Surita, gejala endometriosis yang boleh diperhatikan biasanya akan muncul dalam kalangan umur 30 tahun ke bawah.
Antara simptom-simptom yang dialami ialah sakit ketika haid, rasa pedih semasa atau selepas melakukan hubungan seks, ngilu semasa membuang air kecil atau darah dalam najis selain tidak mampu hamil.
“Lazimnya, wanita yang menghidap endometriosis mengalami kesakitan semasa atau sebelum haid. Ada yang mengalami sakit semasa hubungan seks, malah ada yang mengadu sakit ketika membuang air besar atau membuang air kecil,” katanya.
Wanita disarankan agar tidak mengambil ringan kesakitan yang terjadi semasa haid.
Bertahan dengan rasa sakit itu dalam tempoh yang lama hanya mengakibatkan kesakitan berterusan.
Sementara itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi ( O&G ) dan Pakar Kesuburan, Dr. Khairun Marina berkata, kaedah laparoskopi atau pembedahan digunakan untuk mendiagnosis endometriosis.
“Proses akan dilakukan dengan pembuangan tisu berpenyakit yang perlu dikeluarkan untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, ia adalah prosedur invasif dan penjagaan mesti diambil untuk mengelakkan risiko yang tidak perlu bagi wanita tanpa endometriosis,” katanya.-UTUSAN










