Tiga langkah cegah anak tercekik

Tiga langkah cegah anak tercekik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha menangani gejala tercekik dalam kalangan kanak-kanak.

Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik.

Antaranya, makan sambil berlari, bermain atau tidak mengunyah makanan dengan betul yang menyebabkan tersedak lalu tercekik makanan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan hanya makanan, kanak-kanak juga boleh tercekik disebabkan oleh mainan, misalnya belon getah.

Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, terdapat kes di mana seorang kanak-kanak tercekik belon getah selepas cuba meniup belon tersebut.

Malangnya, belon getah yang melekat di saluran utama pernafasan (trakea) kanak-kanak tersebut menyebabkan oksigen tidak dapat sampai ke otak dan berakhir dengan kematian.

“Kes ini diceritakan oleh pakar pediatrik anak saya. Kanak-kanak itu cuba meniup belon tapi disebabkan belum pandai meniup maka dia menyedut belon tersebut hingga melekat di trakea.

“Kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan. Ini menjadi pengajaran bahawa risiko tercekik ada di mana-mana sahaja dan memerlukan pantauan teliti daripada ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kesedaran masih rendah
Tambahnya, kesedaran mengenai risiko tercekik masih rendah dalam kalangan ibu bapa kerana menganggap perkara itu tidak akan terjadi kepada anak mereka.

“Ibu bapa perlu memantau anak-anak ketika makan kerana selain bayi, anak yang sudah bersekolah juga berisiko tercekik jika makan sambil berlari atau bermain.

“Apabila tersedak, ruang pernafasan utama tersumbat dan menghalang oksigen ke otak. Hanya tiga minit oksigen tidak sampai ke otak sudah boleh menyebabkan kerosakan otak,” jelasnya.

Justeru, beberapa langkah keselamatan boleh diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini ini berlaku.

Pertama, tanamkan dalam diri anak-anak mengenai adab ketika makan.

Seterusnya, didik anak untuk tidak makan gula-gula, gula-gula getah atau seangkatan dengannya.

Tambahan pula, jajan atau gula-gula tidak memberi sebarang manfaat kepada tumbesaran si cilik.

Katanya, jika gula-gula itu bersifat menyerap air dan kemudian tersangkut di trakea akan menyebabkan ia mengembang dan kemudian semakin sukar untuk dikeluarkan.

Malah, teknik pertolongan kecemasan untuk tercekik seperti tekanan abdomen (heimlich maneuyer) juga tidak akan berkesan.

Selain itu, kesedaran tentang khasiat makanan juga perlu ditingkatkan supaya anak-anak tidak terlalu ‘galak’ makan jajan atau gula-gula.

Seterusnya, ibu bapa juga perlu cakna dengan saiz makanan yang sesuai dengan usia anak.

“Saya paling tekankan anggur kerana ia berbentuk bulat dan senang buat anak tercekik.

“Ramai ibu bapa sambil lewa perihal memberi anggur kepada anak kecil dengan alasan ‘mereka sudah biasa’.

“Nasihat saya, kalau hendak beri anak anggur, belahkannya kepada empat supaya mudah dimakan. Jika tercekik juga sekurang-kurangnya ia boleh melepasi trakea dan mungkin tersangkut di bahagian lain.

“Paling penting, makanan itu tidak menyumbat trakea kerana ia adalah saluran pernafasan utama yang penting,” sarannya.

Justeru, kata Yong Junina, pihak berwajib perlu memainkan peranan yang lebih efektif dalam menyampaikan kesedaran kepada awam supaya risiko dapat dikurangkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini