PEMAKANAN dan gaya hidup sihat bukan sahaja mempengaruhi kecantikan kulit wajah serta bentuk badan seseorang.
Malah, amalan itu dikatakan turut memberi kesan terhadap kesejahteraan mental individu.
Walaupun banyak kajian mengenainya dilakukan, namun, isu pemakanan dalam menyokong kesihatan mental dilihat masih lagi terpinggir.
Pensyarah pemakanan dan Dietetik Universiti IMU, Prof. Dr. Winnie Chee berkata, otak manusia sememangnya memerlukan nutrien untuk berfungsi dan glukosa digunakan sebagai sumber tenaga.
Protein pula berfungsi untuk neurotransmiter seperti dopamin dan serotonin, di samping lemak bagi menutup selaput tisu sistem saraf.
“Berdasarkan penyelidikan berterusan, kita menemukan banyak bukti yang mengaitkan pemakanan dengan kesihatan mental.
“Sehingga kini, beberapa kajian berkohort besar jelas menunjukkan kaitan antara pemakanan dan gangguan kesihatan mental seperti kemurungan dan kecelaruan keresahan.
“Bahkan, sesetengah kajian juga mendapati hubungan antara pemakanan dan perkembangan gangguan neurokognitif seperti demensia dan Alzheimer, yang disebabkan oleh kekurangan nutrien tertentu,” jelasnya baru-baru ini.

Emosi, tingkah laku
Dalam perkembangan sama, Winnie berkata, emosi dan tingkah laku manusia sebenarnya dipengaruhi oleh makanan.
Contohnya, makan beremosi, iaitu keadaan yang mencetuskan keinginan terhadap makanan tinggi kandungan lemak dan gula.
Selain itu, cetusan akibat tekanan turut menyebabkan seseorang makan lebih banyak berbanding biasa.
Ujarnya lagi, kitaran hidup juga menjadi faktor yang mempengaruhi tabiat pemakanan seseorang.
“Asas pemakanan yang baik bermula semasa kehamilan dan kanak-kanak akan mengikut tabiat makan ibu bapa mereka, sama ada baik atau buruk.
“Manakala, untuk warga emas pula, mereka mungkin menghadapi pelbagai cabaran, yang membabitkan isu-isu kefungsian seperti sukar mengakses atau memasak makanan berkhasiat untuk diri sendiri.
“Selain itu, golongan berkenaan mungkin kurang selera makan dan kecenderungan tinggi mengalami masalah kesihatan yang kronik dan gangguan kognitif,” katanya.
Diet ‘Mediterrasian’
Diet Mediterranean sering menjadi pilihan ramai kerana manfaatnya dalam pemakanan sihat dan piramid makanan.
Namun, faktor kos mengekang seseorang untuk mengamalkan diet ini.
Hal itu kerana, makanan tersebut biasanya ditemui di negara yang bersempadan dengan Laut Mediterranean seperti Sepanyol, Greece dan Itali.
Bagaimanapun, Winnie berkata, prinsip panduannya boleh disesuaikan dengan mudah mengikut pendekatan setempat.
“Justeru, sesetengah golongan menamakannya sebagai diet Mediterrasian. Sebagai permulaan, kita perlu tahu yang dasar piramid ini bukan berasaskan makanan sebaliknya aktiviti.
“Ini kerana asas pemakanan sihat bermula dengan gaya hidup aktif, yang membantu meningkatkan endorfin dan menyokong kesejahteraan mental,” katanya.
Menurut Winnie, kategori makanan utama adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan, dengan mengutamakan bijirin penuh dan kekacang.
Ia termasuk kacang kuda, biji bunga matahari, kacang tanah dan kacang soya, yang kaya serat dan menggalakkan perkembangan bakteria baik dalam mikrobiom usus.
Tegasnya, aspek itu perlu dititikberatkan kerana kesihatan usus sangat berkait rapat dengan kesihatan mental.
Bagi protein pula, ikan seperti sardin membantu membekalkan omega-3 manakala daging, telur dan ayam memiliki asid amino triptofan yang diperlukan oleh otak untuk menghasilkan serotonin.
Rancang sajian
Kesedaran dan sikap berhemah dalam pemakanan adalah kunci kepada kesejahteraan mental.
Justeru, Winnie menyarankan masyarakat untuk memantau dan mengawal tabiat makan masing-masing.
Langkah itu, dapat membantu seseorang mengenal pasti punca atau pencetus keinginan untuk mengunyah.
“Secara tidak langsung, seseorang dapat menentukan sama ada dirinya makan lebih banyak ketika tertekan, bosan atau mengantuk.
“Apabila faktor pencetusnya dikenal pasti, maka ia mendorong anda untuk tidak ‘menyerah diri’ melayan keinginan selera,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengesyorkan masyarakat untuk melakukan beberapa perubahan mudah bagi mencapai kesejahteraan mental.
Pertama, merancang dengan lebih awal setiap sajian yang ingin dinikmati.
“Kemudian, ambil snek sihat atau buah-buahan seperti pisang yang mudah dimakan semasa dalam perjalanan.
“Gunakan aplikasi penjejakan makanan untuk membantu memasukkan pilihan makanan lebih sihat ke dalam sajian harian,” katanya.
Nasihat Winnie, masyarakat tidak boleh lari daripada konsep asas pemakanan sihat dan perlu melebihkan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang serta ikan.
Justeru, golongan sasar diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan mengambil makanan yang menyeluruh atau diproses secara minimum.
Kongsinya, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, sejumlah 95 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil lima hidangan buah dan sayur setiap hari seperti disarankan.
Malah, 50 peratus orang dewasa didapati mengamalkan gaya hidup sedentari dan 84 peratus tidak aktif dalam aktiviti sukan, kecergasan mahupun riadah.
“Sebenarnya lima hidangan sehari tidak banyak, cuma perlu ambil satu setengah cawan sayuran hijau bersama makanan anda dan dua hiris buah seperti betik atau nanas.
“Tetapi semudah itupun kita tidak buat, walaupun Malaysia ada banyak buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan,” katanya.
Walau apa jua langkah yang diambil, beliau menyokong pendekatan holistik ke arah pemakanan sihat dan kesihatan mental, kerana kedua-duanya saling berkaitan.
Justeru, aktiviti pendidikan perlu diperbanyakkan supaya rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang aktif dan bertanggungjawab terhadap apa yang dimakan.
Hal itu kerana kerana pemakanan sihat yang mengandungi pelbagai nutrien, disertai aktiviti fizikal, sangat penting untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan mental, selain mengurangkan risiko penyakit serius.-UTUSAN










