Hari ini masyarakat sudah tidak janggal lagi dengan solat duha. Tidak keterlaluan sekiranya kita menyatakan bahawa antara amalan sebahagian orang Islam di Malaysia adalah melaksanakan solat sunat duha. Ia juga merupakan amalan Rasulullah SAW.
SOLAT DUHA PENYATA KESYUKURAN
Al-Imam Muslim di dalam Sahihnya (Kitab Solah al-Musafirin Wa Qasruha, Bab ke-13, Hadis ke-1704) telah meriwayatkan satu hadis yang disampaikan oleh Saidina Abu Dzarr al-Ghifari seperti berikut:
Daripada Abu Dzarr, daripada Nabi SAW bahawa sesungguhnya baginda telah bersabda: Sedekah pada setiap pagi telah menjadi (satu tuntutan) atas (sebab nikmat) setiap sendi daripada setiap seorang daripada kamu semua. Maka setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Suruhan terhadap kebaikan adalah sedekah. Larangan daripada kemungkaran adalah sedekah. (Namun perbuatan) yang mencukupkan daripada (semua) itu adalah (hanya) dua rakaat yang dilakukan oleh seseorang daripada (solat sunat) duha.
Menerusi hadis lain, Nabi SAW menyatakan, jumlah sendi yang ada di dalam badan setiap manusia adalah 360 sendi. Ini bermakna setiap hari kita dituntut untuk melakukan 360 kebaikan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah yang telah merezekikan kita sendi-sendi yang sihat sehingga kita dapat hidup selesa pada hari tersebut.
Namun, cukup dengan dua rakaat solat sunat duha yang didirikan, kita telah pun menyelesaikan hak tuntutan syukur sebanyak 360 pada hari tersebut.
Selain itu hadis ini juga menyatakan kelebihan memuji dan membesarkan Allah SWT menerusi ucapan tasbih: Subhanallah, tahmid, Alhamdulillah, tahlil: Lailahaillallah dan takbir: Allahu Akbar.
Menurut mazhab al-Imam al-Syafie, sekurang-kurang solat duha adalah dua rakaat, manakala sekurang-kurang solat sunat duha yang sempurna adalah empat rakaat. Bagaimanapun, yang lebih bagus daripada empat rakaat adalah enam rakaat.
Namun, paling bagus adalah solat duha dengan rakaat yang paling banyak iaitu lapan rakaat.
Menurut pandangan yang kuat di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, surah yang paling bagus dibaca selepas surah al-Fatihah pada rakaat yang pertama bagi solat duha adalah surah al-Kafirun dan bukannya surah al-Syams manakala pada rakaat yang kedua pula selepas surah al-Fatihah adalah surah al-Ikhlas dan bukannya surah al-Duha.
Seterusnya setelah selesai mendirikan solat sunat duha, kita dianjurkan oleh para ulama untuk membaca doa ini:
Ya Allah, sesungguhnya waktu duha itu waktu duha-Mu, kecantikannya adalah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaan-Mu,
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.
Hadis riwayat Saidina Abu Dzarr di atas juga mengajak kita tanpa sedar untuk menginsafi betapa sedikitnya kesyukuran kita kepada Allah.
Namun, Allah tetap terus memberikan nikmat kesihatan dan kebahagiaan kepada kita. Wajarlah kita berterima kasih kepada Allah dengan melakukan ketaatan kepadaNya dan meninggalkan segala perbuatan yang dimurkaiNya.
Kesyukuran sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama adalah “Tindakan seorang hamba yang mengalihkan semua yang telah dikurniakan kepadanya oleh Allah berupa (nikmat) pendengaran dan selainnya kepada apa sahaja [tujuan] yang nikmat tersebut telah diciptakan untuknya”.
Maka wajarlah kita berterima kasih kepada Allah dengan cara menggunakan segala nikmat dengan cara yang diredai oleh Allah iaitu melakukan ketaatan kepada-Nya dan meninggalkan segala perbuatan yang dimurkai-Nya.
UMRAH DAN HAJI SETIAP PAGI
Al-Imam at-Tirmidzi ada menukilkan di dalam Sunan beliau hadis yang menyatakan bahawa gabungan beberapa amalan dapat menghasilkan pahala ibadah dan haji dengan sempurna yang antaranya adalah solat sunat duha.
Hadis tersebut adalah: Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang solat Subuh secara berjemaah, kemudian dia telah duduk dalam keadaan dia menyebut (nama) Allah sehinggalah matahari terbit, kemudian dia telah solat (sunat duha) dua rakaat, nescaya (pahala) ibadat-ibadat tersebut telah menjadi baginya seperti pahala haji dan umrah”.
Beliau (Saidina Anas) berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “[Seperti pahala haji dan umrah] yang sempurna. (Seperti pahala haji dan umrah) yang sempurna. (Seperti pahala haji dan umrah) yang sempurna”.
Menerusi hadis ini, kita diberitahu oleh Nabi SAW bagaimana cara untuk kita mendapatkan pahala melakukan ibadah haji dan umrah secara sempurna tanpa perlu pergi ke Mekah. Caranya adalah:
• Mendirikan solat subuh secara berjemaah.
• Kemudian duduk berzikir mengingati Allah sehinggalah matahari terbit.
• Kemudian melakukan solat sunat duha apabila sudah masuk waktu duha. Waktu duha di Malaysia bermula sekitar 28 minit setelah masuk waktu Syuruk.
Maka, kita menerusi hadis ini mempunyai peluang setiap hari untuk menerima pahala melaksanakan ibadah haji dan umrah secara sempurna.
Bagaimanapun hadis ini tidaklah menunjukkan dengan duduk berzikir sehingga terbit matahari, seseorang yang belum pernah menunaikan haji dan umrah sudah tidak lagi wajib melakukannya.
Hadis ini hanya menyatakan cara mendapatkan pahala seakan-akan kita telah melakukan haji dan umrah secara sempurna.
Adapun orang yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji dan umrah namun belum pernah menunaikannya, diwajibkan oleh syarak melakukan dua ibadah ini sebelum dia meninggal dunia.
ANTARA LOKASI SOLAT NABI
Para sejarawan pernah mencatatkan Rasulullah SAW pernah melaksanakan solat sunat duha sebanyak lapan rakaat di satu kawasan yang pada hari ini berada di dalam kawasan perkarangan al-Masjid al-Nabawi al-Syarif.
Lokasi tersebut dikenali dengan nama Masjid Baqi’ al-Zubayr (N 24.467653 E 39.612450).
Al-Imam Ibnu Syahin meriwayatkan bahawa para sahabat Rasulullah SAW telah bertanya akan hakikat solat sebanyak lapan rakaat tersebut lalu Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah solat ketakutan dan pengharapan (kepada Allah). Maka kalian janganlah meninggalkannya”.
Lokasi solat Rasulullah SAW ini berhampiran dengan pintu nombor 37. Lokasi ini adalah bertentangan dengan Pintu Saidina Jibril.
Lokasi bersejarah ini pernah ditandakan dengan didirikan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Baqi‘ al-Zubayr di atas lokasi solat Rasulullah SAW tersebut.
Namun, pada hari ini masjid itu sudah tiada kerana telah lama dirobohkan atas faktor perluasan Masjid Nabawi dan kawasan sekitarnya.-UTUSAN
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










