Dalam dunia yang semakin berkembang dengan kepelbagaian pilihan makanan, persoalan mengenai status halal sering menjadi topik utama dalam kalangan pengguna Muslim di Malaysia.
Salah satu penanda aras yang sering dirujuk ialah logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang menjadi simbol jaminan terhadap kepatuhan sesebuah premis makanan kepada syariat Islam dan standard kebersihan yang ketat.
Namun, sejauh mana kepentingan logo halal ini dan apakah risiko yang mungkin timbul jika makanan yang diambil tidak mendapat pensijilan sah?
Artikel ini akan membincangkan secara mendalam mengenai peranan dan kepentingan sijil halal dalam memastikan makanan yang selamat dan berkualiti untuk pengguna Muslim.
Kesilapan persepsi terhadap logo halal
Ramai beranggapan ketiadaan logo halal di sesebuah premis bermakna makanan di situ haram dimakan.
Ini adalah tanggapan yang kurang tepat. Sebenarnya, tidak semua makanan di restoran yang tiada logo halal itu haram dimakan, namun ia boleh terdedah kepada beberapa risiko.
Tanpa pengesahan rasmi daripada pihak berwajib seperti Jakim, pengguna Muslim sukar untuk memastikan yang setiap bahan, proses penyediaan dan kebersihan premis benar-benar mematuhi piawaian halal yang ditetapkan.
Berikut adalah beberapa risiko utama apabila makanan atau restoran tidak memiliki sijil halal sah:
1. Kebersihan yang tidak dipantau ketat
Restoran yang tiada sijil halal tidak tertakluk kepada pemantauan berkala dan ketat oleh pihak berkuasa seperti Jakim dan Kementerian Kesihatan. Oleh itu, standard kebersihan mungkin tidak menepati piawaian yang sepatutnya. Ini termasuk isu seperti:
• Kawasan dapur yang kurang bersih atau tidak mengikut peraturan sanitasi.
• Risiko pencemaran silang antara makanan halal dan bahan tidak halal.
• Penggunaan peralatan memasak yang mungkin tercemar dengan bahan tidak halal. Dalam Islam, kebersihan dan kesucian makanan sangat dititikberatkan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah yang menyatakan: al-yaqīn lā yazūl bi al-syak (keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh keraguan).
Maka, tanpa pemantauan ketat terhadap kebersihan makanan dan tempat penyediaannya, wujud keraguan yang boleh menggugat keyakinan terhadap kehalalan sesuatu makanan.
2. Ketiadaan audit halal berkala
Restoran atau pengeluar makanan yang mempunyai logo halal Jakim diwajibkan menjalani audit berkala untuk memastikan kepatuhan berterusan terhadap peraturan halal.
Tanpa sijil halal, tiada jaminan yang bahan dan proses penyediaan makanan kekal konsisten dengan standard halal.
Ini boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna Muslim yang mementingkan kehalalan makanan yang dimakan.
Kaedah fiqh yang relevan dalam hal ini ialah: mā lā yatim al-wājib illā bihi fahuwa wājib (sesuatu perkara yang wajib tidak dapat disempurnakan kecuali dengan perkara lain, maka perkara tersebut juga menjadi wajib).
Oleh itu, memastikan makanan halal tidak cukup sekadar niat dan anggapan, tetapi perlu melalui proses pemantauan dan pengesahan rasmi yang menjadikannya sah di sisi syarak.
3. Ketiadaan suntikan kesihatan bagi pekerja
Salah satu keperluan utama bagi restoran halal ialah suntikan tifoid untuk pekerja, yang bertujuan mengelakkan penyebaran penyakit melalui makanan.
Di restoran yang tidak memiliki pensijilan halal, mungkin tiada pemantauan ketat terhadap kesihatan pekerja.
Ini boleh meningkatkan risiko pencemaran makanan oleh individu yang mungkin membawa penyakit berjangkit.
Dalam Islam, konsep ad-darar yuzāl (kemudaratan mesti dihindari) amat penting dalam urusan makanan dan kesihatan. Sekiranya pekerja restoran tidak divaksin dan tidak dipantau kesihatannya, ia boleh membawa mudarat kepada pengguna.
4. Ketidaktentuan status logistik dan sumber bahan
Sijil halal bukan hanya berkaitan dengan dapur dan cara makanan disediakan, tetapi juga melibatkan keseluruhan rantaian bekalan.
Bahan-bahan mentah seperti daging, ayam, minyak, dan perisa perlu diperoleh daripada pembekal yang sah dan telah mendapat pensijilan halal.
Dalam restoran tanpa sijil halal, tiada jaminan bahawa:
• Daging yang digunakan berasal daripada sumber sembelihan halal.
• Proses penyimpanan dan penghantaran bahan tidak berlaku percampuran dengan bahan tidak halal.
• Bekalan makanan tidak tercemar dengan unsur haram seperti alkohol atau lemak haiwan yang tidak halal.
Dalam Islam, prinsip sadd al-zarā’i (menutup pintu kepada perkara yang meragukan dan membawa kepada haram) amat berkait rapat dengan aspek pemantauan logistik dan sumber bahan.
Jika wujud keraguan dalam sumber sesuatu makanan, langkah terbaik ialah mengelakkan daripada mengambilnya.
Restoran dengan logo halal Jakim: lebih terjamin
Sebaliknya, restoran yang memiliki logo halal Jakim menawarkan jaminan kehalalan yang lebih kukuh kerana mereka perlu:
• Mempunyai pegawai eksekutif halal untuk memastikan pematuhan piawaian.
• Mengikuti sistem pengurusan halal yang ketat.
• Menggunakan bahan mentah yang disahkan Jakim.
• Mematuhi audit berkala dan pemantauan oleh pihak berkuasa. Menurut statistik terkini, jumlah permohonan pensijilan halal di Malaysia meningkat 15 peratus setiap tahun, menunjukkan yang lebih banyak perniagaan menyedari kepentingan pensijilan halal sebagai satu nilai tambah dan bukan sekadar keperluan agama.
Menurut data terkini, Jakim menerima 15,605 permohonan untuk Pensijilan Halal Malaysia (SPHM) pada 2023, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, 8,509 permohonan diluluskan, melibatkan kira-kira 132,106 produk.
Contoh: McDonald’s Malaysia
McDonald’s Malaysia adalah antara syarikat yang memperoleh sijil halal daripada Jakim sejak 1990-an.
Setiap cawangan mereka mematuhi garis panduan ketat, termasuk penggunaan bahan mentah disahkan halal dan proses penyediaan yang diaudit secara berkala.
Walaupun terdapat fitnah mengenai status halal mereka, Jakim telah mengesahkan yang semua produk disajikan adalah halal dan mematuhi piawaian ditetapkan.
Kesimpulan: Keperluan pengguna Muslim berhati-hati
Sebagai pengguna, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa makanan yang diambil adalah benar-benar halal dan bersih.
Logo halal Jakim bukan sekadar satu tanda di premis restoran, tetapi ia merupakan jaminan bahawa makanan telah melalui pemeriksaan ketat dan memenuhi standard ditetapkan oleh pihak berwajib.
Kaedah fiqh irtikāb akhaff al-dararayn (memilih mudarat yang lebih ringan) juga boleh diaplikasikan dalam konteks ini.
Jika terdapat pilihan antara restoran yang memiliki logo halal dan yang tidak, memilih restoran dengan sijil halal adalah langkah yang lebih selamat dan menepati kehendak syarak.
Kesimpulannya, masyarakat Islam di Malaysia perlu lebih cakna dalam memilih makanan dan restoran.
Pensijilan halal bukan hanya untuk kepentingan umat Islam, tetapi juga untuk memastikan standard kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi oleh semua.
Dengan kesedaran lebih tinggi, kita dapat memastikan yang makanan diambil benar-benar halal, bersih dan selamat.
-Penulis ialah Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MWAIP).










