20 tahun dalam kancah dadah, Arini bantu rakan senasib

20 tahun dalam kancah dadah, Arini bantu rakan senasib

PERTANIAN antara aktiviti ditawarkan di Pengasih untuk meningkatkan kemahiran penghuni selama menjalani proses pemulihan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya melihat sendiri bagaimana ibu saya, setiap malam sebelum saya tidur, menulis kalimah Allah dan Muhammad di belakang saya, berdoa agar saya berubah.”

Itu perkongsian menyayat hati, Arini (bukan nama sebenar) mengenai kecekalan arwah ibunya yang mahu melihat dia kembali ke pangkal jalan selepas ‘terpesong’ dengan dadah.

Bapanya pula tidak putus asa membawa dia ke mana sahaja untuk mendapatkan rawatan.

Bagaikan roller coaster, perjalanan pemulihannya bukan sesuatu yang mudah, malah memakan masa sehingga 20 tahun lamanya.

Namun, berbekalkan sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada keluarga dan keazamannya sendiri untuk berubah, dia kini berjaya bebas sepenuhnya.

Malah, Arini turut terlibat secara aktif dalam program khidmat masyarakat untuk membantu individu lain yang terlibat dalam dadah selain melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengasih Negeri Selangor.

Semuanya dilakukan dengan tujuan untuk tidak kembali lagi dengan tabiat lama.

“Saya mula terlibat dengan dadah pada tahun 1980-an dan akhirnya berhenti pada penghujung 1990-an. Lebih 20 tahun saya berada dalam kancah ini secara on dan off.

“Saya berhenti sepenuhnya pada tahun 1995 dan mula mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan daripada situ saya faham realiti sebenar kehidupan pengguna dadah.

“Aktiviti ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi kisah hidup. Membantu orang lain selepas pulih daripada ketagihan adalah satu tanggungjawab yang besar. Kita perlu bersangka baik, berusaha bersungguh-sungguh dan memberi komitmen dalam membantu mereka,” katanya.

Arini ditemui ketika Projek Menelusuri Kisah Kejayaan dan Pengalaman Individu yang Berkhidmat di Organisasi Rawatan dan Pemulihan Dadah dalam Komuniti.

Projek itu merupakan hasil kolaborasi pensyarah daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsan Malaysia (UKM); Fakulti Sains Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Sehingga kini, Arini masih bergerak aktif dalam kerja-kerja sosial serta menggalas tanggungjawab sebagai penyelia di Pusat Aktiviti dan Kanak-Kanak Chow Kit.

“Saya sangat bersyukur kerana Allah mengurniakan saya semangat dan minda yang sihat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

“Pemulihan bukan satu perjalanan yang mudah, tetapi ia boleh dicapai dengan kekuatan dan ketabahan. Pendidikan, persekitaran yang harmoni dan sokongan yang berterusan adalah kunci utama dalam memastikan kejayaan dalam proses pemulihan,” kongsinya.

PENGASIH BERI HARAPAN BAHARU

Keluar daripada cengkaman dadah bukan mudah tetapi tidak juga mustahil.

Namun, paling penting adalah untuk tidak kembali kepada ketagihan yang sering kali menjadi cabaran terbesar untuk bekas pengguna.

Justeru, ramai yang mengambil keputusan untuk berkhidmat sebagai petugas pemulihan untuk menghalang diri melakukan tabiat lama selain membantu individu-individu lain untuk pulih.

Antara yang berkongsikan pengalaman adalah Hamdan (bukan nama sebenar).

Ketagihan dadah sejak usia 15 tahun mengakibatkan Hamdan bergelar gelandangan dan rasa seperti ingin mati setiap hari.

Namun, keputusan besar yang diambil olehnya untuk pulang ke kampung dan minta keluarga menghantarnya ke Pengasih menjadi titik perubahan terbesar untuknya.

Pada hari pertama dia menjejakkan kaki di situ, matanya sudah tertancap pada satu plak yang tertulis ‘Men help men, help himself’.

Lantas, terdetik di hatinya, apakah maksud ayat itu?

“Saya lalui hari demi hari di pusat pemulihan itu dan saya nampak di sana, majoriti daripada pengurusan tertinggi sehinggalah kakitangan biasa adalah bekas pengguna.

“Saya tanya diri sendiri, kenapa mereka boleh? Kenapa saya tidak boleh? Sedangkan ‘benda’ yang saya ambil dahulu sama dengan mereka.

“Jadi, di situlah motivasi saya meningkat, sebab tengok mereka hari-hari, mereka berjaya, mempunyai sumber kewangan dan kehidupan yang teratur. Saya nampak mereka berjaya dan salah seorang contoh terbaik adalah bos saya,” katanya berkongsikan pengalaman.

Selama 19 tahun dalam pemulihan, Hamdan tidak lokek menghulurkan tangan untuk membantu individu lain yang turut mengalami masalah ketagihan dengan berkhidmat di Pengasih.

“Pada mulanya, saya perlu buat khidmat, di mana saya perlu bawa junior ke hospital untuk janji temu. Di situ timbulnya keseronokan bekerja dan tolong orang.

“Daripada situ juga saya faham maksud men help men, help himself. Saya tolong orang dan saya tolong diri saya. Selepas itu, saya buat keputusan untuk memohon bekerja di Pengasih ini,” katanya.

Turut berkongsikan pengalaman, Shahir (bukan nama sebenar) yang berkhidmat di Pengasih selama tiga tahun untuk membantu dirinya keluar daripada kancah dadah sepenuhnya.

Katanya, pada awalnya, dia menyertai Pengasih Negeri Selangor sebagai pembantu kerana berasa masih belum cukup kuat untuk menghadapi keluarga dan dunia luar.

“Selepas pulih, saya bekerja di luar dan mendapat pekerjaan di sebuah kedai runcit. Namun, dalam tempoh itu, saya menyaksikan sendiri bagaimana rakan serumah masih menggunakan dadah.

“Tekanan di luar sangat tinggi dan itu membuatkan saya mengambil keputusan untuk memohon pekerjaan di Pengasih. Saya mula menjalani latihan On Job Training (OJT) di Bukit Beruntung sebelum dipindahkan ke Sungai Buloh sebagai kakitangan tetap,” katanya.

Kata Shahir, dadah tidak mengenal darjat, latar belakang atau agama seseorang.

Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang memberikan didikan agama dan kasih sayang secukupnya, namun dia tetap terjebak ke dalam kancah hitam itu.

Keputusannya untuk menjadi petugas pemulihan merupakan ikhtiar untuk terus bebas daripada dadah serta memberi contoh yang baik buat individu yang sedang dalam pemulihan.

“Bagi saya, jika ada seorang sahaja klien yang berjaya pulih, itu sudah menjadi ganjaran terbesar buat saya.

“Contohnya, jika seorang klien berjaya dalam bidang pertanian atau belajar kemahiran di sini dan mampu menjalani kehidupan seperti saya, itu sudah memadai. Kejayaan mereka adalah kejayaan saya juga,” ujarnya.

BERI MOTIVASI

Tujuh tahun dalam pemulihan, Adam (bukan nama sebenar) tahu bagaimana rasanya melalui detik paling sukar dalam hidup.

Dia juga dapat merasakan betapa hancurnya hati ibu bapa apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh terjerumus ke dalam ketagihan, kehilangan arah dan tidak dapat menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain.

“Disebabkan pengalaman itu, saya bertekad untuk memberi motivasi kepada mereka yang masih berjuang. Saya mahu menjadi seseorang yang boleh mereka lihat sebagai contoh bahawa perubahan itu tidak mustahil.

“Niat untuk membantu inilah yang memberi saya kekuatan untuk terus berada di sini dan berbakti. Saya sedar, bukan mudah untuk melalui pemulihan dan memiliki kekuatan sebenar untuk berubah.

“Tetapi saya berdiri di sini hari ini sebagai bukti bahawa dengan usaha dan sokongan yang betul, seseorang boleh bangkit dan membina kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

Katanya, bekerja dan bergaul dengan individu yang sedang berjuang melawan ketagihan memerlukan keseimbangan. Tidak boleh terlalu keras, tetapi tidak boleh terlalu berlembut.

“Jika kita terlalu lembut, kita mudah dipergunakan. jika kita terlalu tegas, kita mungkin menolak mereka ke arah yang lebih gelap.

“Kita perlu mendekati mereka dengan empati, memahami sifat dan emosi mereka supaya dapat membantu dengan cara yang paling berkesan,” kongsinya.

Bagi Rosie (bukan nama sebenar) pula, dia mendapat semangat untuk berubah selepas menyertai pelbagai aktiviti di Pengasih Selangor seperti Narcotics Anonymous dan program motivasi tingkah laku.

Aktiviti-aktiviti itu memberi kesedaran seorang penagih dadah mampu pulih dan membina kehidupan baharu.

Sekali gus, membuka matanya bahawa perubahan itu bukan sekadar impian, tetapi sesuatu yang boleh dicapai dengan usaha dan sistem soko­ngan yang betul.

“Se­pan­jang perja­lanan saya dalam pemulihan, saya tidak mempunyai sokongan daripada keluarga. Segala-galanya saya urus­kan sen­diri.

“Na­mun, program yang dijalankan di Teduhan Kasih telah banyak membantu saya membuka minda dan mengu­atkan sema­ngat untuk terus beru­bah ke arah yang lebih baik. Tiada siapa yang boleh meng­ubah saya kecuali diri saya sen­diri,” katanya.

Dunia penagihan kini semakin mencabar. Ia bukan sekadar isu ketagihan dadah, tetapi juga melibatkan masalah kesihatan mental yang semakin serius dalam kalangan mereka yang sedang berjuang untuk pulih.

Ini menjadikan tanggungjawab petugas pemulihan semakin berat serta menun­tut kesa­baran yang tinggi.

“Setiap hari, kami berdepan dengan individu yang datang daripada pelbagai latar belakang, membawa beban trauma dan cabaran mereka sendiri.

“Namun, bagi saya, setiap cabaran itu adalah peluang untuk membantu seseorang bangkit semula,” jelasnya.

Pengalaman yang boleh dijadikan teladan 

Sokongan yang betul dan berterusan daripada masyarakat serta orang sekeliling sangat membantu individu untuk pulih daripada ketagihan dan mengubah nasib.

Ketua projek, Dr. Azahah Abu Hassan Shaari berkata, semakin ramai bekas pengguna dadah berjaya membina kehidupan baharu yang lebih baik.

“Perjalanan pemulihan mereka bukan sahaja mencerminkan ketabahan dan keinginan untuk berubah, tetapi juga menunjukkan bahawa dengan sokongan yang betul, mereka mampu menjadi individu berjaya dan menyumbang kepada masyarakat.

“Sebagai individu yang telah menempuh pelbagai cabaran dalam kehidupan, mereka memiliki pengalaman berharga yang boleh dijadikan teladan kepada orang lain.

“Mereka bukan sahaja memahami kesukaran dalam pemulihan, tetapi juga mampu menjadi penyokong kepada individu lain yang sedang berusaha untuk berubah,” katanya yang juga Penyelidik dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Tambahnya, pemulihan adalah proses atau satu perjalanan yang sangat mencabar, penuh dengan liku dan ujian yang menguji kekuatan mental, emosi dan fizikal seseorang.

Ia bukan sekadar tentang berhenti daripada ketagihan, tetapi tentang membina semula kehidupan, mendapatkan kembali kepercayaan diri serta membuktikan bahawa perubahan adalah sesuatu yang boleh dicapai.

“Saya yakin, pemulihan bekas pengguna dadah bukan hanya satu perjalanan peribadi, tetapi satu usaha kolektif yang memerlukan sokongan daripada seluruh masyarakat.

“Dengan memberikan peluang, memperkukuhkan peranan organisasi pemulihan dan melihat mereka bukan berdasarkan kesilapan lampau tetapi potensi masa hadapan, kita dapat membina sebuah komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan penuh harapan.

“Setiap individu berhak mendapat peluang bukan sekadar untuk pulih, tetapi untuk berkembang, menyumbang dan mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka,” ulasnya.

Justeru, masyarakat diseru untuk mengubah stigma menjadi sokongan dan ketidakpercayaan menjadi harapan agar pemulihan bukan sekadar impian tetapi satu realiti yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN