YCK ubah nasib anak jalanan - Utusan Malaysia

YCK ubah nasib anak jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melangkah ke dalam bangunan baharu Yayasan Chow Kit (YCK), di Jalan Belia, terasa berdebar. Di dalam hati terbayang bagaimana keadaan kanak-kanak dan remaja di sini.

Kaki terus melangkah meniti anak-anak tangga sambil membaca tulisan-tulisan berbentuk motivasi dan lakaran gambar bangunan ikon di bandaraya Kuala Lumpur yang menghiasi di dinding sepanjang menuju ke tingkat satu.

Sebaik tiba, mata terpandang potret hitam putih seorang wanita di dinding bertentang pintu masuk. Wanita berkenaan adalah Pengasas YCK, Datuk Dr. Hartini Zainudin.

Di ruang itu, terdapat kelas khusus untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Ia sengaja dibiarkan kosong bagi membolehkan kanak-kanak menjalankan pelbagai aktiviti.

Di tingkat dua pula adalah ruang untuk remaja berumur 13 hingga 17 tahun.

Manakala, tingkat tiga menempatkan sekolah untuk kanak-kanak bukan warganegara yang tidak boleh ke sekolah biasa.

Selain pembelajaran akademik, pelajar di situ turut diberi peluang mengasah kemahiran bertani di tingkat atas atau bumbung yang dijadikan kebun tanaman seperti pisang, betik, daun pandan dan serai.

Ketua Pegawai Eksekutif YCK, R. Ananti berkata, kini terdapat 120 kanak-kanak dan remaja yang datang ke yayasan berkenaan untuk berlindung dan belajar di situ.

“Hampir 70 peratus daripada mereka adalah warganegara Malaysia berstatus B40.

“Mereka pergi ke sekolah biasa dan datang ke sini selepas waktu sekolah.

“Manakala 30 peratus lagi adalah kanak-kanak dan remaja warga asing seperti pelarian yang tiada dokumen serta tiada peluang untuk ke sekolah,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bangunan YCK baharu di Jalan Belia, Chow Kit, baru-baru.

Pelancaran disempurnakan oleh penaja, Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Majeed; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Allianz Malaysia, Sean Wang; Ketua Kad Malaysia, Malayan Banking Berhad, Md. Gharif Talib dan Pengerusi YCK, Zakri Mohd Khir.

Pada majlis itu, kanak-kanak dan remaja YCK menunjukkan bakat menyanyi di samping bermain gitar dan piano iaitu sebahagian kemahiran yang dipelajari serta diasah oleh tenaga pengajar.

Ananti berkata, sejak beroperasipada 2007, YCK dibuka untuk anak-anak pekerja seks dan ibu bapa yang berdepan masalah sosial lain seperti hidup dengan HIV atau penyalahgunaan dadah.

Kanak-kanak ini tiada tempat melepak dan datang ke YCK untuk berlindung di tempat selamat.

YCK kemudian membina program pendidikan bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

Namun, situasi kini berbeza kerana kebanyakan kanak-kanak berkenaan berjaya keluar daripada kitaran hidup berkenaan kepada kehidupan dengan hala tuju yang lebih positif.

“Tiada lagi anak-anak jalanan tetapi kebanyakannya lebih kepada miskin bandar. Bagaimanapun masih ada yang datang daripada keluarga terbabit dengan dadah.

“Lazimnya, mereka datang ke sini selepas habis waktu sekolah untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti bermain bola sepak, badminton, futsal dan kelas seni supaya masa dapat dipenuhi dengan berfaedah,” katanya.

Aktiviti bermula dari 7.30 pagi hingga 7 malam

Kata Ananti, setiap hari ada saja aktiviti dijalankan seperti bola sepak pada setiap Isnin di padang bola di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Mereka akan dibawa menaiki bas manakala Selasa pula, diadakan kelas seni selain kelas fotografi.

Ananti berkata, setakat ini YCK mempunyai empat guru dan lapan pekerja sosial termasuk pengasuh.

 

68 graduan
Sejak ditubuhkan lebih sedekad lalu, YCK berjaya melahirkan warga berpendidikan tinggi dan profesional dalam pelbagai bidang.

Sejumlah 84 kanak-kanak jalanan sekitar Chow Kit yang pernah belajar di YCK dari 2007, sudah menamatkan pengajian peringkat diploma, ijazah dan sijil kemahiran vokasional di institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada jumlah itu, 68 orang warganegara kini berkhidmat sebagai doktor, akauntan, jurutera mekanikal, cef, pramugari dan pendandan rambut profesional.

Manakala 16 yang bukan warganegara dari Rohingya dan Myanma, kini berada di universiti di Amerika di samping ada yang sudah bekerja.

Remaja syukur ada tempat berlindung
Beberapa pelajar yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana mempunyai tempat berlindung yang selamat serta berpeluang memperbaiki nasib diri serta membentuk masa depan lebih cerah.

Muhd. Feroz Syed Alam, 18, berkata, dia dibawa ke YCK sejak berusia sembilan tahun lagi.

Kini anak kepada warga Myanmar itu sudah menamatkan persekolahannya di KL Krash Pad di Jalan Chow Kit.

“Saya rasa selamat membesar di sini sementara ibu bapa bekerja di pasar Gombak. Banyak program menarik dijalankan, malah kawan-kawan yang pelbagai bangsa sudah dianggap macam keluarga.

“Saya berharap, lebih ramai kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat pendidikan seperti saya.

“Di KL Krash Pad, saya belajar macam sekolah lain. Kini saya sedang berusaha untuk mendapatkan sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2026. Buat masa ini saya bekerja di YCK sebagai guru matematik, sains dan geografi untuk tingkatan satu hingga tiga,” katanya.

Manakala, Siti Jihadah Abdullah, 13, pula tidak pernah mengenal siapa ayahnya dan hanya dibesarkan oleh ibu yang berasal dari Sabah.

Buat masa ini, anak tunggal itu sedang berusaha untuk mendapatkan kad pengenalan diri.

“Memang dari kecil saya tidak permah jumpa ayah. Saya ada bertanya kepada emak tetapi katanya, tunggu dulu sehingga satu masa yang sesuai baru saya boleh berjumpa dengannya.

“Saya dibesarkan di YCK sejak 2014 dan gembira di sini sementara menunggu emak balik kerja di Bukit Bintang.

“Banyak aktiviti dijalankan seperti tae kwan do an fotografi. Saya gemar bermain fresbie iaitu cakera layang selain belajar ilmu agama daripada ustaz yang mengajar di sini,”katanya.

Gadis manis ini bersama rakannya, Nur Azura Yasepun, 16, sempat menunjukkan kebun sayur dan herba yang terletak di bumbung bangunan berkenaan.

Norhidayah Masakri, 10, pula sedang sibuk melayan pelanggan yang ingin melukis inai di gerai pameran sempena majlis pelancaran bangunan berkenaan.

Dia yang agak pemalu, mula mahir dalam seni itu sejak berumur tujuh tahun lagi, hasil ilmu yang ditimba di YCK.

“Saya minat dengan seni melukis inai dan melukis apa sahaja mengikut imaginasi sendiri. Paling disukai ialah gambar bunga tulip,” katanya yang tinggal di Jinjang Utara.
Norachira Mohd. Ali, 17, pula sibuk mempromosikan beg kecil dan pengalas cawan yang diperbuat daripada benang kait beraneka warna. Setiap satunya dijual pada harga RM25 dan RM15.

“Saya membesar di YCK sejak berusia lapan tahun lagi. Disebabkan ibu bapa berasal dari Indonesia, maka saya tidak dapat ke sekolah kerana kekurangan beberapa dokumen.

“Saya hanya belajar di YCK dari pukul 10 pagi hingga 3.30 petang. Di sini, kami belajar semua subjek.

“Sebenarnya saya baru belajar mengait sebulan lalu dan menjualnya apabila ada majlis di YCK,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×