Sejuta nanas tarik pelancong asing ke Kampung Parit Jerman

Sejuta nanas tarik pelancong asing ke Kampung Parit Jerman

Restoran Jermanpine yang terletak di Pontian, Johor menawarkan pelbagai jenis masakan berasaskan nanas. – UTUSAN/RAJA JAAFAR RAJA ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAERAH Pontian memang terkenal dengan tanaman nanas sejak dahulu.

Sebut sahaja Pontian, sudah terbayang betapa luasnya tanaman nanas yang menjadi ikon daerah tersebut.

Jika dahulu tanaman nanas diusahakan oleh individu atau syarikat tetapi kini ada yang mengusahakannya secara berkelompok.

Nyata usaha dan kegigihan sekumpulan penduduk di Kampung Parit Jerman, Pontian menjayakan Projek Tanaman Nanas Berkelompok (PTNB) bermula tahun lalu membuahkan hasil yang memberangsangkan apabila kian menjadi sebutan ramai.

Mereka memilih nanas variety MD2 yang dianggap sebagai sumber ‘kekayaan baharu’ dalam bidang pertanian seperti durian Musang King yang berjaya menembusi pasaran global.

Di bawah teraju utama, Mohammad Anal Talha, 52, selaku penaung projek, mereka berjaya menanam nanas MD2 di kawasan seluas 30 hektar dengan sasaran keseluruhan seluas 48.56 hektar pada masa hadapan.

Menurut Mohammad Anal, PTNB telah berjaya menarik penglibatan 20 anak muda untuk menjayakannya, selain mengoptimumkan penggunaan tanah yang tidak ekonomi dengan menukarnya menjadi ladang nanas.

Malah, sasaran bagi menanam nanas MD2 sebanyak sejuta pokok telahpun terlaksana dan kini menjadi tumpuan ramai pengunjung yang ingin mengetahui ‘rahsia’ kejayaan mereka.

“Saya telah berjaya membawa masuk pelancong dari Korea Selatan, Jepun, Singapura selain pelancong tempatan dari Kuala Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan negeri ini.

“Bagi fasa pertama ini, ladang kami akan mula mengeluarkan 10,000 hingga 25,000 biji nanas sebulan pada tahun hadapan, manakala proses penuaian dijangka berterusan selama setahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pihaknya menyasarkan pendapatan PTNB menerusi jualan nanas segar dan anak benih antara RM6 juta hingga RM9 juta menjelang pertengahan tahun depan.

Selain pasaran nanas segar tempatan, pihaknya juga menyasarkan untuk mengeksport buah tersebut ke negara-negara Timur Tengah, China dan Jepun.

Usaha itu sekali gus akan membuka lebih banyak kawasan tanaman nanas MD2 di Kampung Parit Jerman, Parit Haji Osman dan Kampung Peradin bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Mungkin kita akan mencapai keluasan tanaman nanas sebanyak 50 hektar, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kebun-kebun kelapa sawit yang tidak ekonomi dan telah tua.

Mohamad Anal berkata, PTNB Parit Jerman dan sekitarnya akan menjadi ‘Lembah Nanas’ yang baharu bagi daerah Pontian.

Menurutnya, PTNB turut mendapatkan sokongan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dalam bentuk input pertanian dan khidmat nasihat.

“Pihak LPNM juga mengambil inisiatif untuk mendaftarkan Kampung Parit Jerman sebagai Kampung Angkat: Santuni Madani berdasarkan kesungguhan dan potensi masa hadapan yang cerah bagi industri nanas.

“Kami juga telah membina tugu nanas bersaiz mega yang menjadi mercu tanda tumpuan pelancong dan orang ramai untuk bergambar ketika melawat ladang nanas,” katanya.

Pihaknya menjenamakan projek tanaman nanas MD2 serta lain-lain produk hilirannya di Kampung Parit Jerman sebagai Jermanpine.

Mohammad Anal berkata, sebagai langkah awal ke arah mempelbagaikan produk bagi menarik pelancong tempatan, pihaknya telah membuka gerai buah-buahan dan jus buah nanas Jermanpine.

Pembukaan gerai buah-buahan dan jus segar nanas turut memberikan peluang kepada pekebun nanas dalam kalangan penduduk tempatan menghantar buah nanas mereka ke gerai tersebut.

“Buah yang kecil kami proses jadikan jus nanas segar, manakala yang bersaiz besar akan dijual kepada pengunjung,” katanya.

Setiap hari pihaknya memerlukan satu tan metrik buah nanas MD2.

Penghasilan jus nanas menggunakan sebanyak 400 biji nanas yang dapat menghasilkan antara 600 hingga 700 cawan jus.

“Sambutan terhadap jus nanas segar Jermanpine amat baik memandangkan gerai buah-buahan terletak di laluan utama dari Pekan Nanas ke Tanjung Piai.

Setakat ini, PTNB telah menawarkan peluang pekerjaan kepada 60 penduduk tempatan termasuk bagi kerja-kerja pembuatan kuih tat, gerai buah-buahan segar dan yang terbaharu, Restoran Jermanpine.

Bagi mempelbagaikan produk hiliran, pihaknya turut menghasilkan kuih tat nanas sebanyak 100 balang sehari yang dijual kepada penduduk sekitar dan pengunjung.

Pekerjanya terdiri daripada suri rumah daripada golongan B40, sekali gus membantu mereka menambah pendapatan keluarga.

“Kuih tat jenama Jermanpine dibuat dua jenis iaitu tat gulung dan tat bunga serta turut dijual di Restoran Jermanpine,” katanya.

Bagi melengkapkan usaha yang bermula dengan ladang berkelompok, pihaknya membuka Pusat Agro Pelancongan yang menempatkan Restoran Jermanpine dengan pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis masakan berasaskan nanas.

Walaupun restoran hanya dibuka pada pukul 2 petang hingga 10 malam, namun orang ramai boleh berkunjung sehingga pukul 12 tengah malam setiap hari ini.

Pengunjung juga berpeluang menanam pokok nanas, seterusnya menamakan tanaman tersebut sebagai tanda kenangan.

Pihak pengurusan merancang membina jeti di Sungai Peradin yang terletak berhampiran bagi membolehkan pelawat melihat hutan paya bakau sambil menyaksikan kunang-kunang di kawasan berkenaan pada waktu malam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN