Pendekatan ikonik Raja Muda Perlis bantu rakyat

Pendekatan ikonik Raja Muda Perlis bantu rakyat

raja muda perlis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai kayuhan basikal memasuki kampung-kampung menyantuni dan membantu rakyat tanpa sebarang protokol, merupakan pemandangan biasa.

Selain dapat memantau keadaan rakyat dengan lebih dekat di kampung-kampung, ia juga merupakan cara unik baginda untuk menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada insan memerlukan.

Ironinya, melalui kayuhan basikal itu, Tuanku Syed Faizuddin dapat menjejaki dan menyantuni asnaf di seluruh pelosok negeri seterusnya menyampaikan sumbangan.

Pendekatan tersebut disifatkan cukup ikonik dan sejak lebih 10 tahun lalu, baginda sudah mengetuai sebanyak 978 kayuhan.

Malah, kayuhan yang diberi nama program MAIPs Peduli yang diperkenalkan sejak 2013 itu juga telah berjaya mengagihkan sumbangan agihan zakat sebanyak RM33,195,600 membabitkan 51,028 penerima.

Tahun lalu, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs telah mengetuai sebanyak 111 kali kayuhan program tersebut dengan menyaksikan seramai 5,563 golongan asnaf disantuni membabitkan agihan wang sebanyak RM3,894,100.

Lazimnya, kayuhan tersebut turut disertai ketua-ketua jabatan serta korporat dan swasta bagi menyampaikan bantuan selain melihat keperluan termasuk di lokasi-lokasi pelancongan dan peniaga kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, program kayuhan MAIPs Peduli bukan sekadar simbolik, sebaliknya sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak demi membantu asnaf.

Katanya, MAIPs juga amat beruntung kerana kesemua program melibatkan komitmen penuh daripada Raja Muda Perlis yang berangkat sendiri mengetuai program.

Ujarnya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen MAIPs yang terus turun ke lapangan bersama masyarakat negeri ini.

“Saya juga menzahirkan rasa bangga atas dedikasi Tuanku Syed Faizuddin dan sokongan padu pelbagai pihak terhadap program ini.

“Inisiatif ini adalah peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka secara langsung,” katanya.

Mohd. Nazim berkata, menerusi kayuhan tersebut, MAIPs juga dapat menyampaikan bantuan dengan lebih efektif.

Katanya, ia juga sebahagian daripada visi MAIPs untuk terus relevan dan disayangi rakyat.

“Program ini turut melibatkan kerjasama erat pemimpin kariah seperti amil, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid selain mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan.

“Inisiatif ini juga selaras dengan pelan strategik MAIPs untuk mendekati masyarakat secara langsung dan memperkukuhkan peranan MAIPs dalam pembangunan sosio ekonomi umat Islam di Perlis.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan golongan asnaf dan memerlukan di negeri ini terus disantuni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×