Malaysia perlukan juara penyakit NCD

Malaysia perlukan ‘juara’ penyakit NCD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pesakit jantung di Malaysia adalah sepuluh tahun lebih muda iaitu berusia 56 sehingga 59 tahun, berbanding pesakit di negara membangun lain iaitu sekitar 63 sehingga 69 tahun.

Lebih membimbangkan, pada 2019, kira-kira 24.5 peratus pesakit kardiovaskular di negara ini semakin muda iaitu berusia di bawah 50 tahun.

Rentetan itu, pakar kardiologi dan penyelidik tersohor di peringkat antarabangsa, Prof. Dr. Chim C. Lang menggesa campur tangan ramai pihak bagi mengatasi isu penyakit tidak berjangkit (NCD).

NCD merujuk kepada diabetes, hipertensi, kolesterol dan obesiti yang menjadi punca utama penyakit jantung dan strok di Malaysia.

Hal itu kerana, penyelesaian kepada krisis seperti obesiti dan diabetes tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja.

“Sudah sampai masanya Malaysia perlu ada ‘juara’ yang membabitkan semua pemegang taruh.

“Juara inilah yang akan minta kerajaan tampil dengan penyelesaian dan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap enam bulan tentang apa yang berlaku,” katanya dalam forum Cabaran Menangani

Penyakit Jantung-Harapan dan Masa Depan yang dipengerusikan oleh pakar endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Norlaila Mustafa.

Panel lain ialah bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Prof. Datuk Dr. Rohaizat Yon.

Dr. Chim berkata, United Kingdom (UK) merupakan antara negara yang mempunyai juara dalam menangani masalah obesiti.

Juara itu bekerja dengan semua pemegang taruh bagi membangunkan perkhidmatan kerana obesiti memerlukan pencegahan dan perubahan gaya hidup serta pemakanan.

“Mereka juga bertanggungjawab memberikan maklumat penyelidikan, selain menyediakan perkhidmatan khas seperti pembedahan bariatrik.

“Malah, pasukan juara ini perlu menyalurkan maklumat kepada kerajaan dan menunjukkan kesan polisi yang digunakan, sebagai contoh, adakah cukai gula berkesan dalam menurunkan kadar obesiti atau sebaliknya,” katanya.

Tegas Dr. Chim, di Malaysia, semua pemegang taruh perlu menjadi juara dalam isu penyakit NCD, sama ada sebagai individu atau satu pasukan.

Langkah itu penting bagi memastikan kejayaan mengawal penyakit ini dalam kalangan masyarakat.

“Kita ada kenaikan cukai gula ke atas minuman pada 2019, adakah ia berkesan? Saya pulang minggu lepas dan berdepan kesukaran untuk mendapatkan minuman tidak manis di kedai kopi. Pada saya, kopi o kosong sudah mencukupi.

“Selain itu, terdapat juga kempen pemakanan sihat yang dijalankan oleh pihak kerajaan iaitu suku-suku separuh. Ia kempen yang hebat,” katanya.


Wujud lombong data
Terdahulu, menerusi syarahan sulungnya sebagai Penyandang Kursi Diraja Tuanku Muhriz, bertajuk, Carpe Diem, (merangkul peluang), Seizing the Day: A Personal Journey, Dr. Chim turut menyarankan penubuhan pautan data pesakit untuk pengurusan NCD yang lebih teratur.

Usaha itu boleh menjadi lombong data berguna bagi Kementerian Kesihatan, universiti dan hospital.

Katanya, selagi tiada data, sukar untuk merancang penyelesaian krisis NCD.

“Malah, ia boleh dijadikan sebagai sumber maklumat untuk penyelidikan dan memanggil pesakit untuk uji kaji.

“Dengan adanya data ini, semua fail korporat, penjagaan primer dan sekunder atau pakar dapat dikumpulkan,” katanya.

Katanya, di Dundee, UK, terdapat program penyelidikan Go Share yang membabitkan sejumlah 450,000 orang.

Daripada jumlah itu, 300,000 sudah bersetuju untuk menyertainya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengambil sampel darah peserta bagi tujuan penyelidikan.

Selain usaha mewujudkan juara dan lombong data, pesakit juga perlu mendapatkan rawatan berkesan menggunakan ubat-ubatan inovatif dalam berdepan krisis NCD.

Ujarnya, penyelidik kini teruja kerana terdapat tiga ubat baharu untuk diabetes yang bukan sahaja dapat menurunkan kadar gula tetapi juga mengatasi komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang.

“Pada masa kini, rawatan untuk kebanyakan pesakit diabetes adalah mengurangkan kadar gula dalam darah.

“Tahun lalu, kita mempunyai empat ubat yang membantu mengatasi komplikasi NCD.

“Jika 40 tahun dahulu, kegagalan jantung adalah hukuman mati tetapi dengan empat ubat baharu ini, pesakit bukan saja rasa lebih sihat, tetapi fungsi jantung hampir kembali normal,” katanya.

Atasi diabetes, kawal semua komplikasi
Sementara itu, Dr. Rohaizat berkata, kawalan penyakit diabetes memberi kesan kepada penyakit jantung, kegagalan buah pinggang dan strok.

Ia kerana, penyakit buah pinggang juga adalah berpunca daripada kencing manis.

“Di Singapura, mereka mengatakan jika boleh mengawal diabetes, Yayasan Buah Pinggang boleh ditutup.

“Pada saya, inisiatif juara itu memang baik. Kini, kita bercakap tentang ubat bertepatan dan tidak boleh tertumpu kepada penjagaan kesembuhan sahaja,” katanya.

Kira-kira 2.3 juta penduduk Malaysia hidup dengan tiga penyakit NCD.

Manakala 2.3 juta dewasa pula menderita diabetes dengan seorang daripada enam orang mengalaminya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN