Henti fitnah telur, sayur - Utusan Malaysia

Henti fitnah telur, sayur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JANGAN makan telur, nanti luka gatal, bernanah dan lambat sembuh. Pantang larang ini sering dipesan kepada individu yang baru menjalani pembedahan.

Ia susulan pengalaman nenek moyang kita dan dikatakan mampu membantu penyembuhan luka dengan lebih cepat.

Namun, sejauh mana keberkesanan pantang larang ini? Adakah ia fakta sains atau sekadar mitos turun-temurun?

Pakar diet, Hospital Columbia Asia Taiping, Rafidah Abdul Rashid berkata, kepercayaan kononnya ayam, ikan dan telur menyebabkan luka bernanah atau lambat sembuh sebenarnya adalah mitos semata-mata.

Hal itu kerana makanan-makanan tersebut mengandungi sumber protein berkualiti tinggi yang membantu membaiki sel dan tisu rosak.

Tegasnya, pengambilan protein selepas pembedahan bukan sahaja tidak memudaratkan, malah sangat penting untuk proses penyembuhan.

 

“Protein adalah komponen penting dalam penyembuhan luka dan nutrien ini diperlukan untuk pembentukan tisu baru serta mempercepatkan pemulihan.

“Luka bernanah biasanya berpunca daripada jangkitan bakteria dan bukan disebabkan oleh makanan,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi sesetengah individu yang mempunyai alahan kepada telur adalah disarankan untuk mengelak pengambilannya selepas pembedahan.

Justeru, pilih makanan berprotein lain bagi membantu mempercepatkan pemulihan luka.

Kongsinya lagi, sebahagian besar pantang larang selepas pembedahan adalah mitos yang tidak mempunyai asas saintifik.

Apa yang penting ialah memastikan tubuh mendapat nutrien dan pergerakan mencukupi untuk penyembuhan luka yang lancar sambil memastikan keupayaan badan terjaga.

Bagaimanapun, jika pesakit berasa kurang selesa selepas mengambil makanan tertentu atau mempunyai alahan, mereka perlu berunding dengan doktor atau pakar diet dengan segera.

Luka gatal angkara makanan laut?

Sebagaimana telur dan ayam, makanan laut juga merupakan sumber protein serta mineral yang baik untuk pemulihan luka.

Namun, hidangan ini perlu dielakkan bagi individu yang mempunyai sejarah alahan dengannya.

Rafidah sekali lagi menegaskan yang gatal-gatal dialami seseorang pada luka pembedahan bukan berpunca daripada makanan.

“Sebaliknya, situasi itu adalah sebahagian daripada proses penyembuhan semula jadi.

“Bagi yang tidak mempunyai alahan, tiada masalah untuk mereka makan makanan laut untuk memulihkan luka,” katanya.

Selain sumber protein, buah dan sayuran-sayuran turut berdepan nasib sama apabila didakwa melambatkan penyembuhan luka kerana ‘sejuk’.

Ujar Rafidah, istilah sejuk pada timun dan tembikai tidak mempunyai asas saintifik dalam konteks tersebut.

Tegasnya, semua jenis buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan vitamin serta mineral yang membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka.

“Walaupun istilah makanan berangin seperti kubis, brokoli dan kekacang boleh menghasilkan gas di dalam usus, tetapi ia tidak memberikan kesan langsung kepada penyembuhan luka.

“Jika seseorang menghadapi ketidakselesaan perut, makanan ini boleh dielakkan buat sementara waktu, tetapi ia bukan pantang-larang mutlak,” katanya.

Bentan jika aktif
Antara mitos lain ialah luka bentan dan lambat sembuh jika terlalu aktif atau terlebih bergerak.

Pengurus fisioterapi hospital sama, Nur Izwa Mohd. Mukhtar berkata, bergerak secara terkawal dan dengan bimbingan profesional kesihatan adalah kunci untuk pemulihan yang

berkesan.

Katanya, dalam konteks perubatan moden, istilah bentan merujuk kepada komplikasi seperti sakit, bengkak atau radang yang berlaku apabila pesakit tidak mematuhi panduan pemulihan pasca pembedahan.

Ia juga boleh merujuk kepada ketidakselesaan akibat otot yang tidak digunakan terlalu lama atau pergerakan yang tidak sesuai.

“Selepas pembedahan, badan memerlukan keseimbangan antara rehat dan pergerakan untuk memastikan penyembuhan yang lancar.

“Terlalu lama berbaring boleh menyebabkan kekakuan sendi hingga menjadikan pergerakan lebih susah, peningkatan risiko bagi deep vein thromobosis (DVT) atau pembentukan gumpalan darah dan pengecutan otot,” katanya.

Justeru, peranan fisioterapi menjadi penting dalam proses pemulihan.

Katanya, fisioterapi selepas pembedahan bertujuan untuk menggalakkan penyembuhan luka melalui senaman ringan bagi melancarkan aliran darah selain dapat mengurangkan risiko komplikasi seperti pneumonia atau DVT, dengan menggalakkan pergerakan aktif awal.

Tambahan pula, fisioterapi dapat meningkatkan keupayaan fungsi sekali gus membantu pesakit kembali kepada aktiviti harian dengan lebih cepat.

 

Fisioterapi bantu pemulihan
Setiap pesakit memerlukan program fisioterapi yang bersesuaian mengikut jenis pembedahan dilakukan.

Misalnya, selepas pembedahan abdomen atau tulang belakang, latihan pernafasan dan pergerakan sendi yang ringan akan diberikan kepada pesakit.

Manakala, bagi pembedahan ortopedik seperti lutut atau pinggul, pesakit perlu menjalani latihan menguatkan otot dan meningkatkan julat pergerakan sendi.

Jelas Nur Izwa, fisioterapi membantu mendidik pesakit tentang posisi dan teknik yang selamat untuk bangun, duduk atau berjalan bagi mengelakkan tekanan pada kawasan pembedahan.

Selain itu, pesakit juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor dan fisioterapis untuk mendapatkan panduan yang betul bagi program fisioterapi selepas pembedahan.
Ini bukan sahaja dapat mengelakkan bentan, tetapi juga membantu pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih baik dalam masa singkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN