Dugaan jadikan diri lebih baik

Dugaan jadikan diri lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setahun berlalu, setiap insan pasti diuji dengan pelbagai dugaan sama ada kewangan, kesihatan, musibah tidak terduga atau kehilangan insan tersayang.

Ada yang berjaya mengatasi segala cabaran dan tidak kurang yang terus kecewa apabila satu demi satu ujian datang menimpa begitu sukar ditepis sehingga ada yang putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Pendakwah terkenal dari Zimbabwe, Ismail Menk atau Mufti Menk berkata, dugaan dan cabaran yang dihadapi sebenarnya menjadikan setiap individu lebih dekat kepada Allah atau sebaliknya.

“Hidup ini penuh dugaan. Kita semua pasti melalui pelbagai cabaran setiap hari. Sesetengah orang akan lebih mendekatkan diri kepada Allah, setengahnya pula mungkin jauh daripada Allah.

“Perkara pertama apabila berdepan dengan sesuatu masalah adalah mengatasinya dengan usaha keras. Dugaan sebenarnya menjadikan diri anda lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bertajuk Laluan Takdir anjuran Badan Amal Kasih Sayang (Bakasa) baru-baru ini.

Turut hadir, Yang DiPertua Bakasa, Datuk Indera Tun Putera Muhammad Abu Bakar Munir.

Mufti Menk berkata, selain berusaha mengatasi sebarang masalah, memohon doa kepada Allah adalah senjata terbaik untuk mengubah laluan takdir yang dilalui.

“Apabila ada masalah sikit, janganlah meminta Allah mengambil nyawa semata-mata kerana tidak mampu berdepan dugaan. Doa yang paling baik iaitu meminta Allah panjangkan usia jika ia baik untuk kita. Ambillah nyawa kita apabila Allah tahu sekiranya ia lebih baik untuk kita.

“Allah akan memberi balasan kepada mereka yang sabar. Berusaha sebaiknya untuk mencapai sebarang manfaat kepada anda, yakin dengan Allah. Sabda Rasulullah, mereka yang yakin dengan Allah, lebih disayangi oleh Allah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sekiranya sudah berusaha dan berdoa tetapi apa yang diharapkan masih belum tercapai, berkemungkinan Allah sebenarnya mahu memberikan yang lebih baik untuk hambanya.

Beliau memberikan contoh rakyat Palestin di Gaza yang diduga hebat dengan genosid atau pembunuhan beramai-ramai yang berterusan.

Tiada yang dapat menghalang dan melindungi mereka. Apa yang anda hadapi tidak sehebat dibandingkan dengan mereka.

“Apakah sebenarnya rancangan Allah? Mengapa ada takdir. Takdir menjadi dinding memberikan keceriaan dan kebahagiaan melalui isu yang anda hadapi. Apabila berjaya mengatasinya, iman dan kecintaan kepada Allah lebih mendalam.

“Berdoa kepada-Nya ketika mengalami kesulitan, memohon kekayaan, wang, kesihatan, pasangan dan keluarga yang baik, semua doa ini adalah doa yang baik. Allah mendengar doa anda, Allah tahu apa yang baik untuk anda pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Katanya lagi, jangan sesekali menyalahkan Allah dengan apa yang berlaku ke atas diri kita. Takdir adalah sesuatu yang sudah ditulis oleh Allah tetapi itu tidak bermakna anda tidak perlu berusaha untuk mengubahnya.

Apa yang penting adalah yakin kepada Allah SWT. Kesabaran mungkin menjadi satu tiket untuk anda ke syurga.

Sebagai contoh, jika ada anak autisme, orang kurang upaya (OKU), anda sayangi anak tidak kira apapun keadaannya dan cuba bantu mereka menjadi insan yang baik.

Balasannya pasti syurga untuk ibu bapa.

“Bayangkan kehidupan ini adalah satu laluan di mana anda perlu membuat pilihan jalan yang betul. Kanan atau kiri, setiap hari kita perlu memilih laluan .

“Allah tahu apa yang kita pilih. Kalau kita memilih kawan-kawan yang baik, kita tidak melakukan perbuatan tidak sihat. Kalau orang sekeliling kita berpakaian sopan, kita pun akan berpakaian sopan,” katanya.

 

INISIATIF BAKASA
Sementara itu, Muhammad Abu Bakar Munir berkata, majlis tersebut dianjurkan bagi mengisi kerohanian penghuni dan anggota Bakasa.

Selain itu, aktiviti lain yang pernah dianjurkan ialah bantuan bencana dan kemanusiaan.
“Bakasa ditubuhkan sejak lebih 20 tahun oleh Tengku Puteri Seri Teja dan rakan-rakannya dengan tumpuan utama menyediakan rumah perlindungan, Rumah Kanak-Kanak

Tengku Ampuan Afzan (Ruktaa) di Raub.

“Penghuninya terdiri daripada anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.

“Sehingga kini, rumah berkenaan memberikan perlindungan kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun sehinggalah mereka mendapat peluang pekerjaan, “katanya.

Muhammad Abu Bakar berkata, menerusi usaha berterusan Bakasa, seramai 18 pelajar Ruktaa kini berjaya ke menara gading hasil kelas tuisyen dan kurikulum tambahan yang diberikan.

Mereka berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang seperti Perundangan dan Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Kota Bharu, Kelantan serta politeknik dan kejururawatan.

“Sebanyak 30 peratus pelajar berjaya mencapai gred tertinggi hasil usaha mereka menghadiri kelas tuisyen ketika musim Covid-19. Kami juga bertegas dalam memastikan anak-anak mendapat maklumat terkini pendidikan.

“Oleh itu, dalam usaha untuk merangsang minat anak-anak dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kami mendedahkan mereka kepada program seperti bilik darjah dan bengkel,” katanya.

Menurut Muhammad Abu Bakar, Bakasa percaya setiap kanak-kanak mempunyai potensi unik yang harus dipupuk dan dikembangkan dengan penuh tenaga dan semangat.

Lebih membanggakan, beberapa daripada mereka juga telah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN