MENEMPUH laluan berbukit antara ketinggian 255 sehingga 310 meter di sekurang-kurangnya enam kawasan berbukit di Banjaran Nakawan, Perlis selain terpaksa berdepan cuaca panas.
Itu antara cabaran ditempuh hampir 1,000 peserta yang datang dari seluruh negara termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Poland dan Belanda dalam larian Nakawan Ultra yang berlangsung selama dua hari baru-baru ini.
Para peserta mengambil bahagian dalam tiga kategori dipertandingkan iaitu larian sejauh 10 kilometer (km), 27km dan 50km.
Namun, segala rintangan dan cabaran tersebut yang memakan selama hampir 12 jam amat berbaloi apabila peserta disajikan dengan pemandangan indah.
Larian Nakawan Ultra anjuran Putra Trail Running Club dan MEP21 yang memasuki edisi kedua itu cukup unik kerana sepanjang laluan larian berkenaan, para peserta menelusuri banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia.
Boleh dikatakan, tidak pernah ada larian seumpama itu di negeri-negeri lain sebelum ini.
Di sebalik cabaran bentuk muka bumi dan suhu yang agak panas, peserta dihidangkan dengan pemandangan indah sepanjang larian termasuk merentasi denai, kampung tradisi, sawah padi yang menghijau serta kawasan agro pelancongan sekitar sini.
Lebih menarik, larian ini umpama berlari sambil bercuti di Perlis kerana peserta akan melalui kawasankawasan menarik di sekitar Banjaran Nakawan serta lokasi pelancongan sekitarnya sekali gus membantu menyemarakkan lagi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Pengarah acara, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, acara itu adalah cetusan ilham Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin
Putra Jamalullail bertujuan mempromosikan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia.
Katanya, kategori paling menarik perhatian adalah larian 50km yang memberi 1,001 cabaran kepada peserta yang ada diantaranya pelari elit dari Thailand dan Indonesia.
Pihaknya mengambil masa dua tahun membuat persediaan menjayakan Nakawan Ultra yang membabitkan kerjasama
ramai pihak.
“Bila sebut Nakawan, ia sudah pastinya memberi gambaran larian yang cukup mencabar. Sepanjang larian, ada kawasan mendaki yang terpaksa menggunakan tali selain laluan lain yang mencabar.
“Meskipun laluan mencabar, namun ia memberi nikmat kepada peserta. Nakawan Ultra yang dianjurkan dua tahun sekali sangat dinanti oleh peserta seluruh dunia,” katanya.
Di samping itu, dalam menjayakan larian berkenaan, Ku Hasrin juga mendapat kerjasama daripada komuniti, penduduk-penduduk kampung serta pemilik dusun.
“Mereka bersama menjayakan Nakawan Ultra khususnya membabitkan bahagian-bahagian teknikal selain berperanan dalam aspek keselamatan. Mereka juga antara tulang belakang yang banyak membantu,” katanya.
TARIKAN PELANCONGAN
Penganjuran larian itu juga memberi impak besar kepada ekonomi Perlis selain membantu mempromosikan ekopelancongan sukan negeri itu.
Katanya, penganjuran itu bukan sekadar penglibatan pemain industri semata-mata sebaliknya turut memperkenalkan ekopelancongan sukan negeri itu di mata dunia.
“Jika penganjuran program atau festival lain di negeri ini, kebanyakan pengunjung dari negeri ini atau Kedah, namun Nakawan Ultra ini menarik lebih 80 peratus peserta luar termasuk dari negara-negara luar seperti Asia Tenggara dan Eropah.
“Mereka yang menyertai larian berkenaan juga sudah pastinya akan bermalam di sini dan sekurang-kurangnya berbelanja antara RM500 ke RM800 seorang sekali gus bakal memberi limpahan ekonomi di negeri ini.
“Ia juga bakal memberi impak daripada sudut limpahan ekonomi buat komuniti, pemain industri, kedai makan, inap-inap desa serta hotel-hotel kerana para peserta akan berada di negeri ini lebih daripada sehari,” katanya.
Ku Hasrin berkata, pihak kerajaan Pusat dan negeri harus melihat Nakawan Ultra sebagai peluang dan potensi besar dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 memandangkan Perlis negeri yang giat membangun dalam sektor pelancongan sempadan.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Nurul Hana Mohd. Sayuti berkata, penganjuran itu turut membantu menarik kehadiran pengunjung khususnya di kawasan ekopelancongan di negeri itu.
“Secara tidak langsung, ia juga mempromosikan kawasan-kawasan menarik di bawah Jabatan Perhutanan negeri. Kita lihat
ia sememangnya menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung negeri ini malah dari luar negeri ini,” katanya.
Seorang peserta, Anis Mashita Azizan berkata, meskipun laluan larian agar mencabar namun yang menariknya mereka juga dapat menikmati keindahan alam semula jadi di sini.
“Kita harap Nakawan Ultra dianjurkan lagi pada masa akan datang kerana ia cukup unik berbanding larian di tempat-tempat lain,” katanya. –UTUSAN










