Hadis al-Jariyah merujuk kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah bertanya kepada seorang hamba perempuan: “Di manakah Allah” lalu hamba wanita tersebut telah menjawab: “Di langit”. Jawapan hamba wanita tersebut tidak pula dibantah oleh Rasulullah SAW bahkan baginda menyatakan bahawa hamba tersebut adalah seorang wanita yang beriman.
Lalu, hadis ini membawa kepada perbincangan hangat di kalangan para ulama Ahlus Sunnah kerana akidah yang benar yang dipegang oleh Ahlus Sunnah adalah Allah tidak bertempat sedangkan hadis al-Jariyah seolah-olah menunjukkan Allah berada di langit.
Hadis al-Jariyah menurut riwayat al-Imam Muslim adalah seperti berikut: Daripada Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulamiyy, beliau telah berkata: Ketika saya melaksanakan solat bersama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba seorang lelaki telah bersin lalu saya telah berkata: “(Semoga) Allah merahmatimu” lalu para jemaah [yang sedang melaksanakan solat bersama saya] telah memandang saya dengan tajam lantas saya telah berkata: “Apa kena dengan kalian semua memandang kepada saya (seperti itu)”? Lalu mereka pun telah menepuk peha mereka dengan tangan mereka. Maka apabila saya melihat mereka mahu untuk saya tidak berkata-kata (ketika solat), saya pun diam.
Usai solat, saya tidak pernah melihat seorang guru sebelum Rasulullah SAW dan setelah baginda yang lebih bagus daripada sudut mendidik.
Baginda tidak membenci saya, tidak memukul saya dan tidak mencela saya. Baginda bersabda: “Sesungguhnya solat ini tidak boleh ada sesuatupun di dalamnya sebarang kalam manusia.
Sesungguhnya ucapan (yang dibenarkan dalam solat) hanyalah tasbih, takbir dan pembacaan al-Quran” atau seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.
Saya telah berkata: “Wahai Rasulullah. Saya adalah orang yang masih terkesan dengan Jahiliah (kerana baru memeluk Islam). Allah telah datang dengan (membawa) Islam. Sesungguhnya ada beberapa lelaki daripada kalangan kami yang sering mendatangi para penenung nasib”.
Baginda bersabda: “Anda jangan mendatangi mereka”. Mu‘awiyah bin al-Hakam al-Sulamiyy berkata lagi: “Ada daripada kalangan kami beberapa orang lelaki yang menganggap perkara tertentu adalah alamat buruk”.
Baginda bersabda: “Itu hanyalah sesuatu perkara yang mereka mendapatinya di dalam dada mereka. Maka janganlah perkara tersebut menghalang mereka (daripada melakukan perbuatan yang ingin dilakukan oleh mereka hanya disebabkan sangkaan alamat buruk)”.
Beliau berkata lagi: “Ada daripada kalangan kami beberapa orang lelaki yang melakar garisan (untuk meramal sesuatu berdasarkan garisan tersebut)”. Baginda bersabda: “Dahulu ada seorang nabi daripada kalangan para nabi yang melakar garisan. Lalu sesiapa yang lakaran garisannya menepati lakaran garisan nabi tersebut, maka itu (adalah benar)”.
Beliau berkata: “Saya satu dahulu memiliki seorang hamba perempuan yang mengembala kambing milik saya di (kawasan yang berada) pada arah (gunung) Uhud dan al-Jawaniyyah (nama tempat).
Maka saya pada satu siang telah datang (ke tempat kambing saya dijaga oleh wanita itu).
Tiba-tiba, seekor serigala telah membaham seekor kambing yang dijaga oleh wanita itu.
Saya seorang lelaki daripada anak-anak Adam. Saya merasa sedih sebagaimana mereka merasa sedih.
Tetapi, saya telah menampar hamba wanita itu (dengan kuat). Maka, ssaya mendatangi Rasulullah SAW lalu baginda menganggap tindakan menampar itu adalah (kesalahan) besar. Saya telah berkata: “Wahai Rasulullah. Adakah patut saya membebaskan hamba wanita itu (daripada perhambaan)”?
Baginda bersabda:“Datangkanlah wanita itu kepadaku”.
Maka saya pun telah membawa hamba wanita itu kepada baginda. Lalu baginda bersabda kepadanya: “Di manakah Allah”? Dia menjawab: “Di langit”. Baginda bersabda lagi: “Siapakah saya”? Dia berkata: “Anda adalah Rasulullah”. Baginda telah bersabda (kepada saya): “Bebaskanlah dia kerana dia adalah seorang wanita yang beriman”.
HADIS BUKAN MUTAWATIR TIDAK DIJADIKAN DALIL AKIDAH
Sebahagian pihak mendakwa hadis al-Jariyah adalah bukti bahawa Allah berada di langit. Namun, dakwaan ini dibantah oleh para ulama Ahlus Sunnah dengan pelbagai jawapan.
Antaranya, hadis yang boleh menjadi sandaran untuk menetapkan sesuatu pegangan akidah hanya hadis yang sampai ke tahap mutawatir.
Sekiranya hadis tersebut tidak mencapai darjat mutawatir, hadis tersebut sekalipun adalah hadis sahih tidak boleh menjadi dalil dalam menetapkan isu-isu pokok dalam ilmu akidah.
Akidah merupakan satu perkara yang sangat penting mengatasi ilmu fikah dan selainnya. Maka , oleh kerana akidah tidak terbina kecuali berdasarkan dalil-dalil yang pasti betul (al-Qot‘iyyat) yang sama sekali tidak ada kemungkinan berlaku kesilapan dalam periwayatan dalil tersebut, maka akidah tidak diambil daripada hadis Ahad (hadis yang bilangan perawinya tidak mencapai jumlah yang ramai) sekalipun hadis Ahad tersebut adalah hadis sahih. Oleh itu, hadis al-Jariyah tidak boleh menjadi dalil akidah kerana ia tidak mencapat tahap mutawatir.
DALIL AL-QURAN BAHAWA ALLAH TIDAK DI LANGIT
Sekiranya ada pihak yang mendakwa: “Kita hendaklah percaya bahawa Allah di langit kerana ayat al-Quran dan hadis menyatakan keberadaan Allah di langit”, maka kenyataan ini tertolak.
Ini kerana ada juga ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan Allah ada bersama-sama dengan kita yang secara zahirnya seolah-olah menunjukkan bahawa Allah berada di bumi. Walau bagaimanapun Ahlus Sunnah dalam berinteraksi dengan ayat al-Quran dan hadis tersebut berpendirian bahawa makna zahir tersebut bukanlah yang diinginkan oleh Allah kerana mustahil Allah berlokasi.
Dr. Umar Abdullah Kamil dalam tulisannya bertajuk Hadis Al-Jariyah menyatakan bahawa kenyataan bahawa Allah SWT berada di arah tertentu atau berada di langit akan membawa kepada akidah tajsim (mengatakan bahawa Allah berjasad). Bahkan menurut Dr. Umar Abdullah Kamil lagi; ayat-ayat al-Quran secara zahirnya menafikan keberadaan Allah di langit.
Antara contoh ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut:
Ayat 128 Surah al-Nahl: “Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berlaku baik”
Ayat 4 Surah al-Hadid: “Dia (Allah) bersama-sama dengan kalian di mana sahaja kalian berada”
Ayat 186 Surah al-Baqarah: “Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu [wahai Nabi Muhammad] tentang-Ku, maka (jawablah): Sesungguhnya Aku adalah dekat [dengan kalian]”
Ayat 16 Surah Qaf: “Kami (Allah) adalah lebih dekat dengannya daripada urat leher [dirinya sendiri]”
Ayat 3 Surah al-An‘am: “Dialah Allah di langit dan di bumi”
Ayat 84 Surah al-Zukhruf: “Dialah (Allah) yang di langit adalah tuhan dan di bumi adalah tuhan”
Ayat 19 Surah al-‘Alaq: “Sujudlah [kepada Allah] dan hampirilah [Allah]”
Ayat 52 Surah Maryam: Kami telah memanggil baginda (Nabi Musa) dari tepi (gunung) al-Tur yang paling kanan”
Ayat 115 Surah al-Baqarah: “Di mana sahaja kalian menghadap, maka di sanalah Wajah Allah”.
Ayat 7 Surah al-Mujadalah: “Tidaklah berlaku tiga orang yang berbisik-bisik kecuali Dia (Allah) adalah yang keempat bagi mereka dan tidaklah berlaku lima orang yang berbisik-bisik kecuali Dia (Allah) adalah yang keenam bagi mereka. Tiadalah yang lebih sedikit daripada itu dan tiadalah yang lebih banyak daripada itu melainkan Dia (Allah) adalah bersama-sama dengan mereka di mana sahaja mereka berada”.- UTUSAN
(bersambung)










