Peiyu Yao gadis Yunnan yang juarai Ratu Kebaya

Peiyu Yao gadis Yunnan yang juarai Ratu Kebaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MALAYSIA merupakan destinasi yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran. Rakyatnya pun baik-baik dan memiliki budaya unik seperti kebaya yang saya pakai ini. Keunikan lain ialah lokasi percutian menarik seperti di Pulau Langkawi, Semporna dan Pulau Redang yang pernah saya kunjungi sebelum ini.”

Demikian jawapan ringkas dan padat jelitawan ini, lantas menyerlahkan lagi kebijaksanaannya ketika ditanya mengenai keunikan Malaysia.

Tidak hairanlah, Ariel Peiyu Yao, 28, yang berasal dari Wilayah Yunnan, China dinobatkan sebagai juara Miss World Kebaya 2024, sekali gus mengalahkan sembilan peserta lain dari Malaysia, Russia, Indonesia, Korea, Sudan, Kazakhstan, Afrika, Singapura dan Syria.

Pertandingan itu dianjurkan sempena Festival Kebaya Dunia 2024 yang berlangsung di Wyndham Ion Majestic, Genting Highlands, baru-baru ini.

Keanggunan Peiyu Yao yang menggayakan kebaya hijau bersulam bunga raya dengan padanan kain batik bermotif taburan bunga tanjung turut menarik perhatian juri hingga berjaya merangkul gelaran sampingan, Miss Body Beautiful.

Anak tunggal ini memiliki dua sarjana iaitu dalam bidang seni dari Amerika Syarikat dan pendidikan dari United Kingdom.

Dia bakal menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di City Universiti, Petaling Jaya pada April tahun depan.

“Di China, saya tubuhkan Sekolah Seni antarabangsa (Ariel International Art School) di Quijing, Yunnan sejak 2021 bagi mengasah bakat kanak-kanak dalam bidang seni. Setakat ini, ada 400 pelajar dan 20 guru,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peiyu Yao menerima mahkota, sejambak bunga dan selempang yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Zurainah Musa.

Tempat kedua dimiliki peserta Kazakhstan, Rauan Kassymova, 24, manakala Zainab Alkabbani, 27, dari Syria (ketiga).

Peserta negara, Siti Nur Afifah Zafirah, 26, muncul pemenang keempat diikuti Maria, 33, dari Russia (kelima) yang turut dinobatkan sebagai Most Elegant Queen.

Barisan juri terdiri daripada Nicole Fe Lynne; Miss Universe 2013, Carol Lee; Pengarah filem China, Hong Hu; Pengarah Urusan Hotel Wyndham Ion Majestic, David Lean Dong Hui; Pengarah

Nasional Supermodel Universe Malaysia dan Ketua Eksekutif Target Fitness, Ammettaa Malhotra Bergin di samping usahawan, Matthias Gelber.

Dalam pada itu, Peiyu Yao mengakui yang dirinya gemar menyertai pertandingan ratu cantik, saban tahun.

Antaranya ialah Miss World, Miss Universe, Miss Eko International dan Miss Gia China 2024.

“Dalam pertandingan ini, persiapan saya tidak banyak beza dengan acara-acara lain.

“Memandangkan saya juga merupakan jurulatih profesional kecantikan, jadi, saya tahu selok-belok dalam ratu cantik,” katanya.

Jelitawan ini turut meminati sukan seperti menyelam dan bola jaring selain berbakat bermain piano.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×