Dakwah TikTok tarik anak muda ke masjid

Dakwah TikTok tarik anak muda ke masjid

Mohamad Zaid Mohamad Amran (kiri) dan bilal, Ahmad Syaqiq Shuhairi.-UTUSAN / M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Kampung Nakhoda yang terletak di Batu Caves ini tidak segah masjid di bandar-bandar atau di perumahan elit.

Namun, popularitinya meledak di seluruh Malaysia dan di negara jiran, Indonesia kerana kandungan-kandungan dakwah yang kreatif di platform TikTok.

Justeru, tidak hairanlah masjid ini mampu memiliki lebih setengah juta pengikut dengan 14.1 juta tanda suka.

Malah, kebanyakan hantaran-hantaran video yang dimuat naik tular dengan tontonan tertinggi melebihi 19.9 juta.

Imamnya, Mohamad Zaid Mohamad Amran berkata, pendekatan dakwah di media sosial itu mula dirintis sejak Februari lalu bagi menarik golongan muda ke masjid.

Kerja keras pasukannya membuahkan hasil apabila jumlah jemaah melonjak di setiap waktu solat.

Jika sebelum ini, purata jemaah solat Subuh kira-kira dua saf, tetapi kini bilangannya mencecah enam saf.

Situasi itu amat luar biasa dan pertama kali dilihatnya sepanjang enam tahun berkhidmat di masjid berkenaan.

“Perubahan terbesar adalah dari segi kedatangan jemaah orang muda yang makin meningkat dan salah seorang daripadanya, dulu bukan kaki masjid, tetapi kini setiap malam berjemaah.

“Paling saya tersentuh apabila nampak air matanya mengalir ketika mengangkat tangan berdoa.

“Saya tidak pasti, individu itu ‘datang’ dari mana dan jika asbab media sosial dia ke masjid, alhamdulillah kerana niat dakwah kami tercapai serta diterima Allah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain Mohamad Zaid, pasukan TikTok Masjid Kampung Nakhoda turut dianggotai dua imam lain iaitu Farid Zaini dan Muhamad Bashirudin Md. Anifar Baba di samping bilal, Ahmad Syaqiq Shuhairi.

Dalam pada itu, katanya, misi mengajak orang muda ke masjid bukan tugasan mudah apatah lagi terdapat pelbagai kategori golongan tersebut.

Ia termasuk geng masjid, datang hanya seminggu atau setahun sekali pada solat Jumaat atau raya diikuti kelompok yang tidak pernah menjejaki ke rumah Allah.

Kandungan ilmu fiqh, komedi

Disebabkan kategori golongan sasar yang pelbagai, maka kandungan-kandungan kreatif yang dihasilkan sentiasa mengambil kira tiga formula iaitu ilmu fiqh, komedi dan sohor kini.

Kata Mohamad Zaid, antara pengisian ilmu fiqh itu ialah permasalahan dalam solat jemaah termasuk imam yang terbatal wuduknya, tertinggal tahiyat awal, qada subuh dan kesalahan makmum masbuk.

Perkongsian tersebut bertujuan untuk mendidik dan memberi panduan kepada orang muda agar lebih yakin ke masjid.

“Ilmu diibarat sebagai lampu yang menerangi perjalanan seseorang, termasuklah untuk ke masjid.

“Dengan adanya ilmu, sesiapa sahaja akan lebih berkeyakinan dan tidak takut-takut untuk beribadah di rumah Allah,” katanya.

Selain itu, kandungan berunsur komedi turut ditampilkan dengan pengisian yang sarat ilmu dan bukan sekadar hiburan semata-mata.

Pasukan TikTok masjid ini ‘bertuah’ kerana memiliki pelakon tetap iaitu Ahmad Syaqiq yang karakternya semula jadi lawak.

Malah, pemuda berstatus orang kurang upaya (OKU) kerdil itsu merupakan tarikan utama pada video-video yang dikongsikan.

“Walaupun berunsur komedi tetapi kandungan kita tidak sesekali menghina fizikal atau menjatuhkan maruah bilal.

“Manakala untuk video-video sohor kini pula kita sentiasa pastikan ia tidak melanggar syariah contohnya gaya old money dan babak filem Ipar Adalah Maut,” ujarnya yang merupakan penyumbang utama kandungan selain menjadi jurukamera, editor video dan pelakon.

Mengulas mengenai proses menyiapkan satu-satu video, katanya, ia boleh mengambil masa sehingga empat hari, jika sukar.

Bagi rakaman pula, kebiasannya dilakukan selepas selesai solat Zuhur atau Asar berjemaah.

“Di peringkat awal rakaman, memang kekok, bahkan nak hafal tiga patah perkataan dalam skrip pun susah.

“Bila sudah lama, alhamdulillah makin okay tetapi ada juga situasi yang riak muka tidak menjadi dan perlu diulang berkali-kali berikutan tidak dapat menahan gelak ketika bertentang mata,” kongsinya.

Infak van jenazah, penyaman udara

Selain jemaah yang bertambah ramai, perkembangan positif yang turut dikesan daripada dakwah media sosial ialah peningkatan infaq.

Dalam tempoh singkat, Masjid Kampung Nakhoda berjaya mengumpul wang sumbangan derma bagi pembelian van jenazah.

Bahkan, kempen infaq penyaman udara bernilai RM42,000 juga berjaya direalisasikan dengan 50 peratus sumbangan itu diperolehi melalui TikTok.

“Kemudahan ini sudah lebih 10 tahun tidak dinaik taraf dan hasil infaq orang ramai membolehkan kita mengganti sebanyak 11 buah bagi keselesaan jemaah.

“Ada yang infak 20 sen, RM1, RM5 dan RM10, semoga Allah sentiasa murahkan rezeki kalian,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah keseluruhan kutipan infaq sejak aktif di media sosial dianggarkan melebihi RM100,000.

Bukan hanya infaq khusus, malah mereka turut menerima infaq yang disalurkan terus ke akaun masjid.

Kutipan itu membolehkan penganjuran pelbagai program di samping menambah baik fasiliti seperti pagar, dewan dan kawasan parkir.

Masjid yang difahamkan dibina sejak 1950-an itu mampu menampung kira-kira 2,000 jemaah dari kampung berkenaan di samping Kampung Laksamana dan Sungai Kertas.

Mahu lebih ramai ke masjid

Tidak keterlaluan dikatakan usaha mengajak orang muda ke Masjid Kampung Nakhoda sudah hampir tercapai namun Mohamad Zaid mempunyai misi lebih besar.

Lulusan pondok di Jawa Timur, Indonesia ini mahu golongan pekerja turut meluangkan masa berjemaah di masjid.

“Sasaran saya bukan hanya pada belia tetapi kalangan yang bekerja agar bila balik ke rumah mereka dapat meluangkan masa berjemaah di masjid.

“Sampai satu tahap, saya mahu setiap video yang dikongsikan di media sosial dapat memberi galakan dan suntikan semangat kepada sesiapa sahaja untuk ke masjid.

“Tidak kisah di mana anda berada, jom jadikan kunjungan ke masjid sebagai amalan dan rutin dalam kehidupan,” katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, katanya, Masjid Kampung Nakhoda bakal mengeluarkan sebuah lagu nasyid bertemakan memberi makan saudara Islam sentuhan Kumpulan Inteam, dalam masa terdekat.

Bilal popular di Indonesia

Sementara itu, Ahmad Syaqiq tidak menyangka dirinya dikenali hingga ke Jakarta, Indonesia.

Perkara itu disedari ketika mengikuti percutian bersama keluarga ke negara berkenaan, baru-baru ini.

“Tiba-tiba saya ditegur ini bilal dari Malaysia kan? Walaupun terkejut tetapi saya bersyukur kerana platform media sosial membantu kami menyebarkan dakwah hingga ke negara jiran.

“Secara tidak langsung, saya jadi lebih berkobar-kobar untuk menghasilkan kandungan yang bermanfaat demi menarik umat Islam ke masjid,” katanya yang mula dikenali menerusi video mengajak bersolat dengan gaya gengster.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN