Bantu OKU kenal Allah!

Bantu OKU kenal Allah!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mereka tahu al-Quran datang dari Allah. Mereka mahu tahu apa mesej Allah kepada mereka, namun tak mampu membaca kerana tiada kemudahan untuk berinteraksi dengan al-Quran bagi orang bisu dan pekak. Akhirnya, mereka cuma memeluk erat mushaf al-Quran sebagai tanda cinta dan penghargaan.”

Tersentak saya mendengar perkongsian Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Norakyairee Mohd. Raus, dalam sebuah forum tidak lama dahulu.

Orang kurang upaya (OKU) pendengaran biasanya berkait rapat dengan OKU pertuturan. Al-Quran pula lazimnya sebuah kitab yang dituturkan lidah dengan kaedah pembacaan yang khusus.

Pernahkah kita terfikir bagaimana OKU bisu dan pekak mahu menutur kalam tuhan ini lalu mendapat pahala per huruf yang dijanjikan Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajkan itu digandakan 10. Aku tidak kata Alif-Lam-Mim itu satu huruf, sebaliknya Alif itu (dikira) satu huruf, Lam (dikira) satu huruf dan Mim (dikira) satu huruf (Sunan al-Tirmidzi, 2835).

Pada 21 November 2024, saya dikunjungi calon ijazah sarjana USIM, Syaza Athirah. Beliau merupakan OKU pendengaran yang diuji Allah apabila hilang nikmat itu akibat jangkitan pada saraf ketika berusia 13 tahun.

Ketika menemu bual saya, beliau memakai alat bantuan pendengaran. Alat ini berfungsi seperti ‘pembesar suara’ bagi membantu OKU.

Pendengaran menangkap bunyi di sekeliling secara sekata tanpa tapisan. Walaupun membantu mereka menangkap bunyi, ia tidak berapa selesa seperti telinga asli kerana bunyinya bingit daripada berbagai penjuru.

Ini kerana telinga asli kurniaan Allah mempunyai kemampuan menapis bunyi yang mahu kita dengar dan fokus.

Dengan kata lain, telinga asli membantu kita mendiskriminasi bunyi yang mahu difokuskan sahaja dan otak kita tidak akan terbeban dengan tusukan semua bunyi yang masuk ke telinga.

Aduhai, banyak sungguh nikmat Allah yang wajib kita syukuri walaupun sekadar dua cuping telinga dan tisu halus bernama gegendang. Benarlah firman Allah! Kita tak mampu mengira segala nikmat Allah pada kita (Ibrahim:34)

Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nahl:18)

Menurut Syaza, pengetahuan OKU pendengaran tentang agama sangat rendah dan lemah. Pernah beliau bertanya kepada OKU pendengaran tentang Allah. Siapa Allah? Adakah Allah seperti makhluk, makan dan minum? Jawapannya sangat mengejutkan: “Allah ialah Tuhan orang Islam. Allah juga makan dan minum!”

Tunggu dahulu! Jangan kita cepat melenting setelah mendengar jawapan mereka kerana mereka mempunyai sumber pengetahuan yang sangat terbatas.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita membantu mereka dengan menambah bahan pembelajaran yang sesuai dengan kekurangan mereka. Jangan pula kita mengejek ikan yang tak mampu bersaing berlari bersama kuda di trek larian sebuah stadium. Itu tidak adil namanya!

Syaza Athirah menemuramah saya tentang kajiannya berkaitan Pembangunan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) Khusus bagi Terminologi Asmaul Husna dalam Terjemahan Quran Mesra OKU Pendengaran.

Pendekatan memasyarakatkan Terminologi Asmaul Husna atau nama Allah Yang Maha Indah sangat bagus kerana ia boleh menjadi pintu awal dan mudah untuk mengenal Allah. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang mempunyai halangan komunikasi yang tinggi seperti OKU pendengaran dan pertuturan.

Nabi SAW mengajar kita laluan mudah ke syurga melalui nama-nama Allah. Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: Allah punyai 99 nama, sesiapa yang menghitungnya (menghafal dan menghayatinya sebagai jalan mengenal Allah) akan masuk syurga. (Sahih al-Bukhari, 2736).

Sebenarnya nama Allah tidak terbatas hanya pada jumlah ini kerana dalam sebuah doa hebat yang diajar Nabi SAW, baginda mengangkat nama Allah secara infiniti sebagai perantara mencapai sesuatu hajat.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Ya Allah! Aku mohon dengan semua nama yang Engkau miliki, nama yang Engkau namakan sendiri untuk diri-Mu, atau (nama-Mu) yang Engkau pernah ajarkan kepada mana-mana makhluk-Mu, atau (nama-Mu) yang pernah Engkau turunkan dalam (semua) kitab-Mu, atau (nama-Mu) yang Hanya Engkau ketahui dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, (Aku mohon dengan semua nama-Mu itu) agar Engkau jadikan al-Quran sebagai musim bunga hatiku, sinar bagi hati jantungku, penghilang kesedihanku dan penghapus kesusahanku. (Musnad Ahmad, 3528).

Manusia tanpa mengira status mereka, yang sihat atau OKU sangat memerlukan bantuan Allah dan ia biasanya dibuat melalui doa. Oleh itu, Allah menyarankan kita berdoa kepada-Nya dengan menggunakan nama-Nya. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mempunyai nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu. (al-A’raf:180)

Kajian sebegini perlu dikembangkan agar semua golongan OKU tidak terpinggir dalam arus perdana pengajian agama. Saya amat terharu apabila melihat Projek Wakaf Aplikasi Quran Isyarat untuk OKU Pekak yang dihasilkan pengkaji dari USIM.

Projek ini mendapat sokongan dana daripada pelbagai pihak seperti Yayasan Taqwa. Walaupun kelihatan ringkas, ia sangat bererti bagi membantu memperkenalkan Allah dan al-Quran kepada golongan itu.

Ayuh! Ubah cara kita berinteraksi dengan OKU. Jangan hanya berkata mereka ini anak syurga, sebaliknya muliakan mereka dengan pengajian agama secara mendalam mudah-mudahan ia menjadi saham berharga untuk kita ke syurga bersama mereka. – UTUSAN

-Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN