SEBELUM ini kebanyakan orang muda menganggap pemakaian sari sebagai melecehkan, kurang selesa dan menyukarkan pergerakan mereka.
Namun, persepsi itu makin terhakis dengan kemunculan sari jumpsuit yang menawarkan 1,001 kelebihan buat si pemakainya.
Gabungan elemen tradisi dan moden menjadikan busana fusion ini lebih menarik dan praktikal untuk digayakan di Hari Deepavali.
Pengarah Urusan Mayasilk, Deepa Ubrani Khiyani berkata, ia bukan sahaja dapat menyerlahkan keanggunan pemakai seperti pemakaian sari, malah turut menawarkan keselesaan dan keceriaan berganda.

Justeru, tidak hairanlah gaya ini menjadi pilihan ramai pada sambutan Pesta Cahaya kali ini.
Trend sari jumpsuit mula popular di India sejak tahun lalu dan kini merebak ke sini.
“Busana fusion ini boleh didapati di butik saya dengan tawaran pelbagai gaya dan warna.
“Kelebihan potongan ini kerana pemakai boleh bebas bergerak, namun masih mengekalkan nilai-nilai estetika tradisi dengan sentuhan kontemporari.
“Selain pada musim perayaan, pakaian ini juga sering menjadi pilihan golongan muda ketika menghadiri majlis perkahwinan, parti dan acara fesyen,” katanya.
Sebelum ini Mayasilk turut memperkenalkan sari sedia dipakai di samping kurta potongan Barat.










