REPUBLIK Azerbaijan masih lagi asing dalam kalangan rakyat negara ini berbanding jiran serantaunya, Turkiye dan Iran.
Tidak ramai orang kita yang pernah melancong ke sana mahupun mengetahui secara mendalam tentang sejarah dan kebudayaan mereka.
Bagi mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara dalam jangka panjang, Pertubuhan Persahabatan Malaysia Azerbaijan (MAFA) merintis beberapa usaha termasuk program silang budaya.
Presidennya, Muhammad Fadhil Yusni berkata, langkah pertama yang diambil ialah menterjemahkan bahan-bahan bacaan dari negara Kaukasus Selatan itu ke dalam bahasa Melayu.
Usaha murni itu digerakkan dengan kerjasama institut pengajian tinggi (IPT) bermula awal tahun ini. Ujarnya, antara yang berjaya diselesaikan ialah terjemahan buku biogra Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan ayahnya, Heydar Aliyev.
Terkini, kerja-kerja tersebut giat dijalankan melibatkan karya puisi daripada penyair popular. “Sebagai sebahagian daripada empayar Parsi dan berkait dengan Uthmaniyah, Azerbaijan melahirkan ramai golongan penyair ternama.
“Kami sudah merangka kerjasama dengan universiti dan buku terjemahan itu dijangka dapat dikeluarkan tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Kebudayaan Azerbaijan di Badan Warisan Malaysia, baru-baru ini.

Majlis anjuran Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov itu bertujuan menjelaskan tentang kedudukan semasa negara berkenaan terutama kon ik dengan Armenia yang tercetus sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Muhammad Fadhil berkata, jumlah pelajar Azerbaijan yang direkodkan menuntut di Malaysia ketika ini tidak lebih daripada 30 orang.
Kebanyakannya terdiri daripada keluarga diplomat yang menetap di negara ini.
“Berdasarkan maklumbalas diterima, ramai pelajar mahu ke Malaysia namun ia agak terhalang dek jarak perjalanan kerana tiada penerbangan terus untuk masuk ke negara ini.
“Kekangan penerbangan itu turut menyebabkan kurangnya orang kita berkunjung ke sana sedangkan banyak destinasi pelancongan menarik dan bersejarah yang boleh dilawati,” katanya.

TEH DAPAT SAMBUTAN
Muhammad Fadhil yang juga pemilik Kafe Convivencia di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) turut memperkenalkan teh Azerbaijan kepada para pelanggannya. Inisiatif itu selaras misinya untuk mempromosikan sajian negara berkenaan kepada rakyat tempatan.
“Saya tidak sangka teh itu mendapat sambutan yang agak tinggi dan selepas ini mungkin lebih banyak lagi menu akan dijual.
“Sebenarnya makanan Azerbaijan tidak jauh berbeza dengan Turkiye tetapi rasa ditawarkan lebih sedap,” katanya.
Menurutnya, di kebanyakan restoran di Azerbaijan, pelanggan akan dihiburkan dengan alunan muzik dan tarian ketika menikmati hidangan.

HILANG 700 MONUMEN
Lebih 700 monumen bersejarah milik Azerbaijan, 22 muzium di samping 927 perpustakaan dengan 4.6 juta buku termasuk manuskrip yang jarang ditemui dilaporkan musnah, dirompak dan disalahgunakan Armenia.
Ia tidak termasuk 58 tapak arkeologi, 26 kubu dan objek warisan lain yang ‘lenyap’ dalam kon ik selama tiga dekad antara kedua-dua negara itu.
Pertikaian tersebut tercetus berhubung wilayah Nagorno-Karabakh di selatan rantau Caucasus, yang dikatakan sebahagian daripada Azerbaijan.
Duta Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov berkata, seterunya sedaya-upaya mahu menghapuskan warisan kebudayaan dan keagamaan negara itu.
Sekurang-kurangnya 65 masjid di seluruh Karabakh dan Zangezur Timur dikatakan dirompak dan dirosakkan dalam konflik tersebut.
Paling menyedihkan apabila kebanyakan daripadanya dijadikan sebagai kandang lembu. “Kerja-kerja untuk mengenal pasti dan mendokumentasikan semua bukti tapak warisan yang musnah masih diteruskan.
“Proses itu akan mengambil masa panjang, sukar dan berbahaya terutama dengan kewujudan ratusan ribu periuk api Armenia,” katanya.











