KECANTIKAN adalah anugerah Tuhan yang diimpikan oleh setiap individu.
Dari wajah yang berseri hingga senyuman yang menawan, setiap perincian memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan diri.
Menyelusuri dunia moden hari ini, pelbagai kaedah dan rawatan telah diperkenalkan bagi membantu individu mencapai kecantikan yang diidamkan termasuk dalam penjagaan gigi.
Salah satu inovasi terkini yang semakin mendapat perhatian ramai ialah penggunaan venir gigi.
Seiring dengan peningkatan teknologi, venir gigi kini menjadi pilihan utama dalam kalangan mereka yang menginginkan gigi putih, rapi dan bersih.
ESTETIKA GIGI
Pakar Pergigian, Klinik Pergigian Humaira Plus dan Persada Dental, Dr. Yasmin Lukman berkata, venir adalah satu lapisan nipis bahan pemulihan yang ditampal pada bahagian hadapan gigi asal.
Katanya, ia merupakan kaedah konservatif untuk meningkatkan estetika gigi khususnya dari segi susunan gigi yang lebih teratur dan warna yang lebih cerah selain berfungsi melindungi permukaan gigi yang rosak.
“Terdapat dua jenis venir iaitu komposit dan porselin, juga dikenali sebagai seramik. Venir jenis komposit ditampal secara langsung ke atas permukaan gigi.
“Manakala venir seramik dibuat oleh juruteknik pergigian di makmal pergigian,” katanya.
Tambahnya, ramai yang lebih memilih venir jenis seramik kerana ia lebih cantik dan kemas.
“Pesakit bebas memilih reka bentuk gigi yang diinginkan sama ada ingin mencantikkan atau mengubah bentuk gigi taring mengikut kesesuaian,” tambahnya.

PROSEDUR PEMAKAIAN
Mengulas lanjut, yasmin menjelaskan, sebelum prosedur pemakaian venir dimulakan, doktor gigi akan memeriksa keadaan gigi pesakit terlebih dahulu.
Jelasnya, ini bertujuan untuk mengenal pasti sebarang kerosakan pada bahagian gigi seperti gigi berlubang sebelum venir dipasang.
“Sekiranya ada masalah pada gigi, ia perlu diperbaiki terlebih dahulu. Kalau tiada kerosakan, gigi akan dicuci dan diteruskan dengan pemakaian venir.
“Dalam sesetengah kes, doktor gigi mungkin perlu menghakis lapisan nipis enamel gigi untuk memastikan bahan pemulihan melekat dengan baik. Namun, prosedur ini bergantung pada keadaan gigi masing-masing.
“Perlu juga diingatkan, jika enamel gigi perlu dihakis (dengan nipis), pesakit mungkin mengalami sensitiviti terhadap makanan sejuk atau panas, namun ia adalah perkara normal dan rasa sensitif itu tidak terlalu ketara,” jelasnya.
KOS PEMAKAIAN
Mengulas mengenai kos yang diperlukan, Yasmin mendedahkan anggaran perbelanjaan untuk pemakaian venir adalah sekitar RM1,000 per gigi dan kebiasaannya ia dipasang pada gigi hadapan sahaja.
Namun begitu, ujarnya, bagi mereka yang mempunyai bajet tambahan, memasang venir pada empat atau enam gigi hadapan bahagian atas dan bawah sudah memadai.
“Paling penting, pastikan rawatan ini dilakukan oleh doktor gigi yang bertauliah dan bukan daripada pengamal kecantikan yang menawarkan harga murah.
“Ada pelbagai potensi untuk mendapat komplikasi sekiranya venir dipasang oleh individu yang tidak berkelayakan,” ujarnya.
RUTIN PENJAGAAN
Menurut Yasmin, rutin penjagaan venir sama seperti gigi biasa di mana individu disarankan berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan untuk melakukan scaling dan pemeriksaan lanjut.
Selain itu, pemakanan juga perlu dijaga dan seeloknya elakkan daripada mengambil makanan yang keras seperti ketam, ais atau epal yang berupaya merosakkan venir.
“Pesakit perlu ke klinik gigi setiap enam bulan sekali untuk pembersihan, pembaik pulih sekiranya ada venir yang retak, pecah dan sebagainya
“Memberus gigi dua kali sehari dan menggunakan floss juga disarankan bagi memastikan kebersihan mulut terjaga.
“Hal ini supaya dapat mengelakkan sisa makanan tersangkut di celah-celah gigi dan boleh menyebabkan kerosakan pada venir,” jelasnya.
Secara keseluruhannya, dengan penjagaan yang baik, venir komposit boleh bertahan sekitar lima tahun manakala venir seramik mampu bertahan sehingga sepuluh tahun.










