MENDIDIK anak mengenai kaedah pemakanan seimbang sejak awal usia bukan tugas yang mudah, lebih-lebih lagi jika anak cerewet makan.
Baru-baru ini The Nurts melancarkan kad permainan baharu, Happy Diners bertujuan menggalakkan kanak-kanak mempelajari mengenai pemakanan seimbang melalui kaedah interaktif.
Pengasas, Rachel Tan berkata, kad permainan ini direka untuk menyemai asas pemakanan seimbang dengan cara menyeronokkan.
“Mainan ini menggalakkan tabiat pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, malah mampu merapatkan hubungan
kekeluargaan dengan meluang masa bermain bersama-sama.
“Ia turut seiring dengan peningkatan kesedaran tentang tabiat pemakanan rakyat Malaysia,” katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri Pakar Pemakanan bertauliah, Jessica Ong, Ketua Pemasaran BookXcess Dewgem Yen dan pereka Happy Diners, Adrian Tan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan sebanyak 29.7 peratus kanakkanak berusia sifar hingga empat tahun mengalami bantut akibat kekurangan zat.
Permainan berasaskan kad itu mensasarkan pemain berusia empat tahun ke atas.
Ia mencabar pemain mencipta makanan seimbang dengan nilai tertinggi di setiap pusingan sambil mengajar konsep penting tentang
pemakanan.
Kad dibahagikan kepada kumpulan pemakanan seperti karbohidrat, protein dan sayursayuran.
Setiap makanan dinilai berdasarkan jumlah bintang yang disertakan pada setiap kad.
Makanan yang sihat, nilai bintangnya lebih tinggi.
“Pemain mesti seimbangkan komponen ini sambil mempertimbangkan juga kesan kaedah penyediaan makanan terhadap nilai pemakanan.Kami juga bekerjasama dengan profesional untuk memastikan maklumat pada setiap kad adalah tepat,” jelasnya.
Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM) sudah lama menggalakkan pendidikan pemakanan komprehensif dan menarik.
“Produk ini sejajar dengan matlamat NSM dengan menawarkan alat interaktif yang mendidik tentang makanan seimbang yang boleh diakses dan menyeronokkan untuk semua peringkat umur.
“Ia bukan sekadar permainan tetapi ia satu langkah ke arah komuniti lebih sihat. Ramai orang terutama kanak-kanak tidak menyedari kepentingan makanan seimbang dan bagaimana pilihan ini memberi kesan kepada kesihatan jangka panjang mereka,” katanya.
Sementara itu, Jessica Ong berkata, Happy Diners membantu kanak-kanak meluaskan pemahaman tentang kumpulan makanan berbeza dan kebaikan makan makanan seimbang yang betul.
“Maksud makanan seimbang, berbeza untuk setiap kanak-kanak. Mereka perlu belajar dari kecil supaya mereka lebih mengenali badan mereka,” katanya.
Happy Diners boleh didapati di kedai BookXcess terpilih di Lembah Klang.











