PENYUSUAN eksklusif disarankan selepas kelahiran sehingga bayi berusia enam bulan.
Penyusuan badan secara eksklusif bermaksud bayi tidak diberi makanan atau minuman tambahan lain selain daripada susu ibu.
Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, hanya 44\ peratus bayi berumur sehari hingga enam bulan diberim susu ibu secara eksklusif dari tahun 2015 hingga 2020.
Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Perubatan Janin, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Vicky Ho Miaw Ping, berkata bagi menikmati kebaikan penyusuan eksklusif secara optimum, ibu disarankan menyusukan bayi secara eksklusif hingga bayi berumur enam bulan dan diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.
Katanya, kajian menunjukkan kolostrum, kaya dengan mineral penting, protein, vitamin dan antibodi dalam menyokong sistem imuniti tubuh, menggalakkan tumbesaran dan meningkatkan fungsi penghadaman.
“Kolostrum merupakan bentuk susu pertama dihasilkan semasa kehamilan dan sejurus selepas melahirkan bayi.
“Malah sentuhan kulit ke kulit sewaktu menyusu dapat membantu menstabilkan suhu badan bayi dan menenangkan mereka, sekali gus membuatkan mereka berasa selamat,” katanya.

Penyusuan juga memberi kebaikan kepada ibu dengan merangsang pengecutan rahim.
Hormon Oksitosin yang merangsang pengecutan rahim akan terhasil apabila bayi menyusu badan sekali gus mengelakkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage).
Penyusuan susu ibu juga dapat mengurangkan risiko golongan ibu menghidap kanser payudara dan ovari seumur hidup serta membantu mencapai berat optimum selepas bersalin.
PERSEDIAAN AWAL
Usaha penyusuan boleh dimulai sejak kandungan berusia 37 minggu lagi dengan menghadiri kelas antenatal bagi mendapat maklumat berharga daripada pakar sakit puan dan laktasi serta mempersiap diri menyambut kelahiran si comel.
Dr. Vicky berkata, bakal ibu juga boleh melakukan urutan lembut pada payudara bagi\ merangsang kelenjar susu dan menggalakkan penghasilan susu.
“Selepas bersalin, pengambilan air mencukupi sangat diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh menjejaskan pengeluaran susu.
“Penghidratan juga mampu mencegah ibu daripada mendapat trombosis iaitu\ masalah darah beku, dan memastikan golongan ibu dapat menyusukan bayi dengan selamat,” jelasnya.
Ibu disarankan mengamalkan diet seimbang termasuk pengambilan nutrien diperlukan seperti kalsium dan zat besi yang berkurang sewaktu kehamilan dan penyusuan badan.
Rehat mencukupi serta pengurusan tekanan fizikal, emosi dan mental turut memainkan peranan penting dalam kelangsungan penyusuan.
Hari ini, penerimaan masyarakat umum terhadap penyusuan susu ibu juga dilihat bertambah baik kini.
Gaya hidup moden yang menuntut ibu melakukan lebih banyak aktiviti, tidak menghalang mereka daripada menyusukan bayi.
Malah lambakan pakaian mesra penyusuan dan apron menyusu di pasaran serta penyediaan ruangan menyusu, menunjukkan orang ramai semakin mengiktiraf kepentingan penyusuan susu ibu dan kelebihannya terhadap ibu dan bayi.
KAEDAH PENYUSUAN
Penyusuan bukan sesuatu yang mudah kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa proses penyusuan berlangsung.
Apatah lagi jika bayi high demand yang hanya mahu ‘bergayut’ sepanjang hari.
“Ibu yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada payudara, puting, leher atau belakang badan semasa menyusukan bayi boleh melakukannya dengan lebih selesa sekiranya bayi diletakkan pada posisi yang betul.
“Antara posisi yang lazim ialah pegangan buaian (cradle hold), pegangan buaian silang (cross-cradle hold), pegangan bola sepak (football hold), atau posisi sebelah santai (side lying),” jelasnya.
Paling penting, pastikan mulut bayi diletakkan dengan betul pada bahagian areola dengan bibir bawah mereka menjuih pada payudara.
Ibu perlu memastikan kepala bayi sejajar dengan badan mereka supaya bayi dapat menghisap susu dan menelan dengan baik.
Bagi mengurangkan sakit leher dan belakang badan pula ibu perlu duduk tegak dengan meletakkan bantal kecil untuk menyokong belakang badan atau leher.
Penyusuan badan tidak disarankan dalam sesetengah keadaan seperti dijangkiti HIV dan tuberkulosis atau pengambilan ubatan tertentu, contohnya psikotropik, antimetabolit atau kemoterapi.
Dalam keadaan tertentu, sesetengah bayi juga mungkin tidak sesuai disusukan dengan ekeftif.
Misalnya, mempunyai masalah sumbing bibir dan lelangit, lidah pendek atau dilahirkan pramatang sebelum 34 minggu.










